Oleh Dr Rahmah Ismail
Menangani isu lambakan pekerja asing
KESAN negatif lambakan pekerja asing lebih dominan berbanding kesan positif kepada pembangunan negara. - Foto Syaharim Abidin
KEMENTERIAN Dalam Negeri pada tahun lalu melaporkan pekerja asing
berdaftar di negara ini berjumlah 2.1 juta atau 15.5 peratus daripada
keseluruhan guna tenaga di Malaysia, manakala pekerja asing tanpa izin
dianggarkan berjumlah melebihi tiga juta orang.
Hampir
separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia, diikuti Nepal
dan Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India, Myanmar,
Pakistan, Filipina dan Vietnam.
Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir
yang mendominasi sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan
perkhidmatan. Pada 2015, pegawai dagang yang merupakan pekerja
profesional asing tidak sampai pun 10 peratus. Kehadiran pekerja asing
secara berlebihan adalah satu fenomena membimbangkan negara. Apa yang
lebih membimbangkan adalah kemasukan mereka secara tidak sah yang
jumlahnya mengatasi pekerja asing secara sah.
Pekerja sememangnya
diperlukan dalam sesuatu proses pengeluaran kerana ia adalah input
penting dan sebagai penggerak kepada input lain. Tanpa pekerja
mencukupi, proses pengeluaran boleh terbantut dan menjejaskan
pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks ini, pekerja
berkualiti amat diperlukan kerana mereka dikatakan lebih produktif yang
akhirnya membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
Namun,
persoalannya adakah pekerja asing mempunyai ciri-ciri ini dan mampu
dimanfaatkan dengan sepenuhnya? Dalam erti kata lain, adakah kehadiran
mereka mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa sama,
tidak membawa kesan negatif kepada ekonomi dan sosial di Malaysia? Bagi
menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada kesan positif dan
negatif daripada kemasukan dan penggajian pekerja asing.
- Meringankan
beban majikan dalam mendapatkan pekerja. Kehadiran pekerja asing sama
ada secara sah mahupun tidak sah mampu menyelesaikan masalah majikan
dalam mendapatkan pekerja ketika diperlukan. Ini boleh menjimatkan kos
pencarian dan kos masa yang boleh membantutkan 'output' sesebuah operasi
pengeluaran.
- Menjimatkan kos pengeluaran. Pekerja asing
sanggup menerima upah lebih rendah dan bekerja lebih masa. Walaupun
kerajaan telah melaksanakan upah minimum, majikan masih boleh mengelak
daripada membayar pekerja upah minimum ini dengan mengambil pekerja
asing tidak sah. Malah pekerja asing ini sanggup menerima apa saja upah
dibayar, di samping mampu memberi komitmen yang lebih tinggi berbanding
dengan pekerja tempatan.
Menurut teori neoklasik, input
menyumbang secara positif kepada output. Maka peningkatan dalam
pengambilan pekerja asing ini menyumbang kepada bilangan guna tenaga dan
meningkatkan output negara. Setiap aktiviti ekonomi memerlukan
permintaan yang tinggi dan sentiasa meningkat.
Kehadiran pekerja
asing meningkatkan jumlah permintaan negara kerana mereka akan
berbelanja untuk keperluan keluarga. Aktiviti perbelanjaan mereka akan
meningkatkan kuasa beli negara dan mendorong kepada pengeluaran yang
lebih tinggi.
Kesan negatif
Walaupun pekerja asing mampu
meningkatkan output, pertumbuhan output menjadi perlahan kerana
kebanyakan mereka adalah tidak mahir. Kajian menunjukkan sumbangan
positif mereka terhadap pertumbuhan output hanya daripada pekerja asing
mahir dan separa mahir. Itu pun ia hanya berlaku dalam jangka panjang
selepas mereka lebih berpengalaman dalam pekerjaan masing-masing.
Sebahagian besar pekerja asing adalah tidak mahir dan sanggup menerima
upah rendah. Ini boleh membantutkan pertumbuhan upah dan menyekat
pekerja tempatan dalam proses tawar menawar upah, lebih-lebih lagi
sekiranya pekerja asing itu pengganti kepada pekerja tempatan.
Kenaikan kadar upah yang tidak sejajar dengan pertumbuhan produktiviti
memang pun menjadi isu penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia (Bank
Dunia, 2010). Malah, isu utama yang membawa kepada pelaksanaan upah
minimum adalah bagi meningkatkan pertumbuhan upah sejajar dengan
pertumbuhan produktiviti.
Malah, ada sektor yang mempunyai
pekerja profesional kurang daripada lima peratus seperti sektor
pertanian dan pembinaan (Jabatan Perangkaan 2012). Satu daripada
penyumbang kepada rendahnya peratus ini adalah kehadiran pekerja asing
tidak mahir yang terlalu ramai.
Walaupun kadar pengangguran di
Malaysia adalah sekitar 2.8 peratus pada 2014, jumlah penganggur
meningkat dan masih kelihatan besar, iaitu melebihi 410,007 pada 2014,
peningkatan sebanyak 6,300 dibandingkan dengan 2010. Sebahagian besar
penganggur adalah berpendidikan peringkat menengah, iaitu melebihi 50
peratus daripada jumlah penganggur sepanjang 2008 hingga 2014
(Kementerian Sumber Manusia 2015). Persoalannya adakah mereka ini tidak
mampu memegang jawatan atau bekerja di tempat yang dikuasai pekerja
asing?
Kesan negatif lebih dominan
Secara imbasan kesan
negatif lebih dominan daripada kesan positif. Saban hari kita
dikejutkan dengan pengangguran siswazah yang menggambarkan terlebih
penawaran daripada yang diperlukan pasaran. Mungkin Malaysia masih
memerlukan pekerja berkemahiran rendah, namun kita terlebih didik rakyat
tempatan.
Kemungkinan pula pekerjaan yang tersedia banyak yang
berbentuk sektor pekerjaan sukar, kotor dan berbahaya (3D) tidak sanggup
dilakukan oleh rakyat tempatan, walaupun mereka berpendidikan rendah
dan pekerjaan itu sesuai dengan kelayakan akademik mereka. Jika kita
meninjau data pasaran buruh Malaysia, kelihatan masalah ketaksepadanan
agak serius. Pada satu sudut kita lihat lambakan pekerjaan tidak terisi
dan di sudut lain, jumlah penganggur masih berleluasa. Malah akhir-akhir
ini kita dikejutkan dengan banyak kes pembuangan kerja oleh syarikat
swasta di Malaysia.
Lazimnya pekerja asing memang masih
diperlukan di Malaysia. Namun persoalannya, berapa ramai dan apakah
tahap mereka yang sepatutnya diambil? Dalam jangka pendek pengambilan
pekerja asing tidak mahir mungkin tidak boleh dielakkan. Namun, mereka
perlu dihadkan kepada sektor tertentu seperti pertanian dan pembinaan.
Sektor lain perlu dibuka luas kepada pekerja tempatan terutama yang
berkelulusan menengah dan layak bekerja di sektor perkhidmatan dan
pembuatan.
Dalam jangka panjang kerajaan perlu mempunyai strategi
tertentu dalam mengoptimumkan kehadiran pekerja asing. Malaysia menuju
ke arah negara maju yang bertunjangkan teknologi tinggi dan penggenap
kepadanya adalah pekerja berkemahiran tinggi. Oleh itu, selagi berlaku
ledakan pekerja asing tidak mahir, selagi itu ia memberi gambaran kepada
teknologi rendah yang masih mendominasi proses pengeluaran di Malaysia.
Ini memberi implikasi negatif kepada pertumbuhan output, produktiviti
dan keperluan kemahiran, sekali gus memburukkan lagi masalah
pengangguran siswazah dalam jangka panjang. Sektor swasta yang
mendominasikan dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di Malaysia,
mempunyai tanggung jawab besar dalam mengoptimumkan pekerja asing.
- Ketelusan
dalam mengambil pekerja. Majikan perlu telus dalam mengambil pekerja
dengan mengiklankan keperluan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan.
Dalam hal ini campur tangan kerajaan diperlukan dalam merangka
undang-undang bagi memastikan perkara ini berlaku.
-
Pembayaran upah yang lebih tinggi. Majikan perlu lebih bertimbang rasa
dalam menawarkan upah yang lebih tinggi tanpa mengaut keuntungan
berlebihan. Ini boleh menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi
pekerjaan yang kini dipenuhi pekerja asing. Berdasarkan kepada bilangan
penganggur yang ramai berpendidikan menengah, adalah tidak sukar bagi
mereka berkecimpung dalam pekerjaan tahap rendah yang kini dipegang oleh
pekerja asing.
- Perubahan minda pekerja tempatan. Dalam
menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka sepatutnya
mengubah minda agar tidak terlalu memilih pekerjaan. Contohnya,
pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu dilakukan oleh
pekerja tempatan. Pekerja asing sepatutnya dihadkan kepada pekerjaan
sektor pertanian dan pembinaan yang memerlukan tenaga berat yang mungkin
tidak mampu dilakukan oleh pekerja tempatan.
- Komited
terhadap pekerjaan. Pekerja tempatan perlu lebih komited terhadap
pekerjaan seiring dengan apa yang mampu dilakukan oleh pekerja asing.
Mereka perlu menghayati konsep bahawa pekerjaan adalah satu amanah yang
perlu dilakukan dengan baik dan berkesan.
Pekerja tempatan
perlu bijak mencari peluang pekerjaan di negara sendiri. Sudah tiba
masanya rakyat tempatan mengubah minda ke arah yang lebih positif dan
merebut peluang pekerjaan yang tersedia. Sebagai rumusannya, pengambilan
pekerja asing diperlukan dalam memenuhi pekerjaan di sektor tertentu
sahaja seperti pembinaan dan pertanian.
Namun, bagi merancakkan
pertumbuhan ekonomi negara, pengambilan mereka yang tidak mahir perlu
dikurangkan dan dalam masa sama, kehadiran pekerja asing tanpa izin
perlu dibanteras agar ia tidak mengganggu pelaksanaan dasar kerajaan
seperti upah minimum. Nisbah pekerja berkemahiran perlu ditingkatkan
seiring dengan misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020 yang
bertunjangkan teknologi tinggi dan buruh berkemahiran tinggi.
PENGAMBILAN buruh luar perlu dioptimum selaras dasar negara maju berpendapatan tinggi. - Foto Salhani Ibrahim
KAJIAN menunjukkan sumbangan positif mereka terhadap pertumbuhan output
hanya daripada pekerja asing mahir dan separa mahir. - Foto hiasan
Penulis ialah Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM
https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2016/03/137736/menangani-isu-lambakan-pekerja-asing