Sunday, July 28, 2019

Perlembagaan,institusi raja sebagai pemangkin perpaduan


Oleh Dr Shamrahayu A Aziz

SOAL perpaduan menjadi tajuk sepanjang masa. Perlembagaan adalah dokumen yang menjadi asas kepada perpaduan. Sebagai dokumen yang menjadi tunggak kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara, soal perpaduan adalah cabaran besar kepada Perlembagaan, pada suatu ketika dulu, ketika ini dan pastinya masa akan datang.
Bermula dari masa ia mahu digubal, itulah juga cabaran utamanya. Pada masa itu jugalah, ia perlu memberi perhatian utama kepada perubahan landskap kewarganegaraan. Maka Perlembagaan, sebagai undang-undang tertinggi negara hendaklah juga menyantuni keadaan atau perubahan tersebut dengan memberi perhatian kepada keadaan keseluruhan sistem sosial dan ekonomi kumpulan warganegara terbabit.

Perlembagaan perlu dihasratkan sebagai peneraju kepada perpaduan, walaupun perkataan tersebut tidak disebut dengan lafaz harfiah di dalamnya. Perlembagaan kita tidak menyebut dalam mana-mana peruntukannya, sebagai contoh, tentang perpaduan atau simbol perpaduan bagi komponen masyarakat.

Ini tidak bermakna Perlembagaan kita tidak mementingkan perpaduan. Beberapa peruntukan Perlembagaan boleh difahami sebagai pemangkin kepada perpaduan dan seterusnya penyatuan masyarakat Malaysia yang jelas dikenali dengan identiti kaum dan juga agama yang berbeza-beza.

Demokrasi tangani isu penting
Perlembagaan meletakkan tanggungjawab ke atas institusi di luar demokrasi, terutamanya institusi raja sebagai satu mekanisme penting tentang perpaduan. Walaupun mekanisme demokrasi dilihat sebagai boleh menangani isu atau perkara penting dalam pembentukan negara, namun, dalam konteks perpaduan, keupayaan demokrasi masih lagi boleh dibahas.
Dalam demokrasi itu terkandung konsep kelebihan yang ada pada kelompok majoriti walaupun di dalamnya juga terzahir hak kumpulan minoriti. Namun, dalam negara seperti Malaysia, prinsip yang ada dalam demokrasi itu belum tentu dapat menyamai teori dan aplikasinya. Kesukaran menerima prinsip demokrasi sepenuhnya dalam konteks perpaduan kerana demokrasi juga membabitkan power struggle atau perebutan kuasa, dan dibimbangi demokrasi itu menjadi hanya satu ilusi.

Seperti juga pendapat Aristotle, ahli falsafah Greek yang terkenal tentang penyatuan tiga sistem pemerintahan, iaitu demokrasi, monarki dan aristokrasi, adalah sistem terbaik pembinaan negara.

Dalam meraikan sistem demokrasi diperlukan satu mekanisme pengimbang, supaya power struggle dalam demokrasi itu tidak mendatangkan impak negatif ke atas subjek yang dipimpin dalam sesebuah negara. Dalam konteks perpaduan, subjek yang dimaksudkan ialah rakyat yang berbilang kaum, bangsa, agama dan budaya.

Dari sini, wujudnya satu keperluan kepada sistem lain yang wujudnya di luar sistem demokrasi. Ini bagi memastikan demokrasi tidak dinodai oleh power struggle semata-mata dan seterusnya memburukkan keadaan.

Demokrasi dalam negara kita juga begitu. Demokrasi diseimbangkan dengan kuasa di luar demokrasi. Kuasa di luar demokrasi itu adalah sistem monarki. Sistem monarki, atau sistem raja ini tidak berada secara mutlaknya dalam sistem demokrasi kerana pemilihan atau lantikannya bukan bersandarkan sistem asas demokrasi.

Raja berperlembagaan
Kedudukan raja dalam pentadbiran sosial dan ekonomi negara dapat dilihat dengan sempurna dengan beberapa peruntukan perundangan walaupun istilah raja berperlembagaan tidak disebut dengan patah perkataannya dalam Perlembagaan. Dengan kata lain, dua istilah penting, iaitu demokrasi dan raja berperlembagaan tidak disebut dengan harfiah dalam Perlembagaan.

Hanya ciri-ciri keduanya itu dimaksudkan oleh pelbagai peruntukan Perlembagaan. Dalam konteks perpaduan, selain daripada demokrasi, Perlembagaan menonjolkan peranan institusi raja.

Sebagai contoh, Perkara 153. Perkara 153 ini sering dimomokkan sebagai satu peruntukan mendiskriminasi, tetapi ia sebenarnya satu contoh tentang peruntukan mencernakan perpaduan dan meletakkan peranan penting yang boleh dimainkan oleh institusi raja.
Perkara 153 meletakkan tanggungjawab ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kuota kepada orang Melayu dan dengan pembentukan Malaysia, setelah Perlembagaan memperakui kedudukan Sabah dan Sarawak, Perlembagaan meletakkan juga tanggungjawab institusi raja dalam menjaga kemaslahatan anak-anak Negeri. Pada masa sama, institusi Yang di-Pertuan Agong juga diberikan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan sah kumpulan-kumpulan lain bukan berbangsa Melayu.