Monday, August 2, 2021

4IR bakal ubah imej pembangunan negara

 Artikel terbitan Utusan Malaysia 

  • Oleh AMREE AHMAD
  • 1 Julai 2021, 11:49 am



PUTRAJAYA: Pembangunan sosioekonomi Malaysia dijangka berubah melalui transformasi penggunaan teknologi termaju di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).

Polisi baharu itu yang direka agar bersifat lebih menyeluruh, bakal memacu usaha bersepadu dan akan menyediakan prinsip panduan utama serta hala tuju strategik bagi kemajuan negara.

Menurut kenyataan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, pelancaran Dasar 4IR hari ini bakal memberi manfaat kepada rakyat.

“Semua kementerian dan agensi terlibat dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan, akan mengoptimumkan agihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan teknologi baharu,” katanya.

Pelancaran dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya.

Kenyataan itu menambah, dasar ini akan menyokong pelbagai polisi nasional antaranya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.


Ia jelasnya, melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dengan segala strategi serta inisiatif Dasar 4IR yang akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

“Menerusi dasar ini, rakyat, komuniti perniagaan dan kerajaan dapat memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang mungkin wujud daripada 4IR,” jelas kenyataan itu.

Ini meliputi kemunculan teknologi baharu seperti robotik, kecerdasan buatan dan internet benda yang telah mengubah cara dunia beroperasi khususnya ketika berdepan Covid-19.

Teknologi 4IR sebenarnya sudah pun berjaya digunakan secara meluas untuk membantu usaha pelbagai negara dalam memerangi bersama pandemik itu.

Melalui pelaksanaan Dasar 4IR, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia disasarkan melonjak kepada 136.5 pada 2030 berbanding cuma 124.4 yang direkodkan pada 2018.

“Malaysia juga disasarkan berada pada kelompok 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global pada 2030 dan mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentasi semua sektor,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu menambah, dasar ini hanya akan dapat dicapai apabila pihak berkepentingan memainkan peranan masing-masing secara aktif dan kerjasama erat dijalin.

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/4ir-bakal-ubah-imej-pembangunan-negara/