Artikel terbitan Berita Harian Online
Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain - Mac 22, 2020 @ 11:00am
Pengumuman kerajaan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut digerakkan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan pergerakan rakyat mulai hari ini, menterjemah betapa kritikalnya keselamatan insan diperjuangkan.
Sebelum perang dingin, soal keselamatan nasional sering dirujuk berkait rapat dengan negara atau pemerintah.
Pemerintah atau negara menjadi aktor penting dalam konsep keselamatan. Ia bermakna, jika keselamatan pemerintah dan konteks negara terjamin, maka ia mampu memelihara dan menjamin keselamatan rakyat di bawah.
Ancaman keselamatan pula lebih berbentuk fizikal seperti ketenteraan dan peperangan. Hal ini sememangnya mempengaruhi tindakan pemerintah untuk menjamin keselamatan negara dengan menyediakan peruntukan besar dalam ketenteraan misalnya.
Namun, soal keselamatan nasional mengalami evolusi apabila cakupannya semakin meluas. Ia tidak lagi tertumpu soal keselamatan pemerintah, tetapi kelangsungan dan kesejahteraan hidup manusia.
United Nation Development Programme (UNDP), melalui United Nation Development Report diterbitkan pada 1994 memasukkan satu bahagian dengan keselamatan insan, iaitu Redefining Security: The Human Dimension.
Dalam laporan ini, aspek keselamatan insan dan indikator yang boleh mengancam keselamatan insan dikenal pasti seperti ekonomi, makanan, kesihatan, persekitaran, peribadi, alam sekitar, masyarakat dan politik.
Apa yang menarik, dalam konteks kesihatan, soal keselamatan insan menggariskan faktor penyakit berjangkit atau pandemik yang boleh mengancam nyawa manusia.
Banyak buku dihasilkan sarjana antarabangsa atau tempatan mengenai keselamatan insan. Antaranya, Non-Traditional Security Issues in Southeast Asia, suntingan Andrew T H Tan dan J D Kenneth Boutin pada 2001, serta Keselamatan Nasional Malaysia, suntingan Profesor Dr Kamarulnizam Abdullah pada 2012.
Sarjana berhujah bahawa fokus keselamatan kini melangkaui aspek ketenteraan. Justeru, fokus utama keselamatan adalah rakyat dan bukan lagi pemerintah, kerana jika masyarakat tidak terjamin keselamatannya, maka ia boleh menjejaskan keselamatan pemerintah atau negara.
Contoh paling jelas, penularan COVID-19 yang boleh menjejaskan keselamatan negara secara keseluruhannya jika tidak ditangani dan diuruskan dengan baik. COVID-19 memberi pengajaran kita tidak boleh berkompromi mengenai keselamatan insan.
Sehingga kini, penularan virus itu masih berlaku di seluruh dunia dan di Malaysia, tiga kematian pertama direkodkan, selain lebih 1,000 kes jangkitan positif.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini. Kita yakin kerajaan sedang dan akan melakukan yang terbaik.
Tidak dinafikan, wujud isu komunikasi dan koordinasi dalam menangani hal ini, namun ia boleh menjadi pengajaran berharga bagi semua pihak dalam berhadapan situasi sama pada masa akan datang.
Apa yang jelas, penularan COVID-19 memberi beberapa pengajaran. Pertama, ancaman keselamatan nasional bukan lagi berkisar soal ancaman berbentuk fizikal atau ketenteraan. Dalam kata lain, ancaman utama keselamatan nasional bukan lagi peperangan atau soal melindungi sempadan semata-mata, tetapi kelangsungan dan kesejahteraan hidup manusia.
Kedua, masyarakat kita semakin terdedah aspek keselamatan menyeluruh dan semakin kompleks, yang terkandung dalam soal keselamatan insan. Meskipun Malaysia sebuah negara bebas merdeka, mereka perlu diingatkan bahawa negara tidak terkecuali daripada ancaman keselamatan bukan fizikal seperti pandemik.
Ketiga, dengan meluasnya cakupan keselamatan ini, soal menjaga dan memelihara keselamatan bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata. Sebaliknya, masyarakat turut bertanggungjawab dengan meningkatkan tahap pengetahuan dan kefahaman mereka tentang keselamatan insan dan ancaman terhadapnya. Kerjasama antara kerajaan dan rakyat sangat penting ketika ini.
Sebelum ini, pendekatan Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH diperkenalkan dalam menangani isu keselamatan negara secara holistik. Ia membabitkan pelbagai entiti pertahanan dan keselamatan negara seperti ATM dan PDRM.
Di banyak negara, sudah ada pendekatan seperti Military Operation Other Than War yang mempromosi keamanan dan melihat aspek keselamatan bukan fizikal atau ketenteraan.
Tanpa menafikan ancaman berbentuk fizikal dan ketenteraan seperti apa berlaku di beberapa kawasan berkonflik di seluruh dunia, ancaman keselamatan kini lebih tertumpu kelangsungan dan kesejahteraan hidup insan.
Negara seperti Malaysia tidak lagi berhadapan ancaman peperangan, tetapi ancaman seperti pandemik COVID-19 yang memberi risiko kepada kehidupan manusia.
Tuntasnya, aspek keselamatan insan perlu ditekankan dalam masyarakat. Advokasi awam perlu diperluaskan agar masyarakat bersiap siaga dan tidak lagi panik menghadapi situasi sukar seperti dilalui sekarang.
Hakikatnya, COVID-19 mengakibatkan kehidupan kita sangat rapuh. Justeru, tiada lebih penting, selain bersatu dan menolak perbezaan demi kesejahteraan Malaysia tercinta, sekurang-kurangnya pada saat getir ini.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/03/667824/ketepi-perbezaan-tangani-isu-keselamatan-negara