Tuesday, August 3, 2021

Kabinet tiada kuasa batalkan Ordinan Darurat

 Artikel terbitan Berita Harian Online

Oleh Saiful Haizan Hasam - Julai 26, 2021 @ 10:44pm


KUALA LUMPUR: Penamatan Proklamasi Darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat mengundang beberapa persoalan berkaitan kemampuan kerajaan menangani pandemik COVID-19, tanpa peruntukan undang-undang yang memberi kuasa segera dan drastik.

Turut berbangkit ialah isu berkenaan kaedah pembatalan Ordinan Darurat kerana Jemaah Menteri dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata pembatalan semua Ordinan Darurat itu menyebabkan kerajaan hanya boleh menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada dan pastinya ini memberi cabaran kerana situasi semasa semakin kritikal dengan jangkitan harian pernah mencecah 17,000 kes.

Beliau berkata, kenam-enam Ordinan Darurat itu amat penting kerana memberi kuasa yang segera dan drastik kepada kerajaan, misalnya dalam urusan mengambil alih bangunan untuk tujuan rawatan COVID-19 dan arahan kepada hospital swasta untuk membantu.

"Apabila tamatnya ordinan-ordinan ini, kembalilah kita kepada keadaan sebelum darurat. Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan digunakan dengan kadar kompaun kembali kepada jumlah maksimum RM1,000 untuk perlanggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun Akta 342 ini masih memberi kuasa kepada kerajaan untuk ambil alih bangunan atau hospital tetapi dari segi ganti rugi, boleh dibawa ke mahkamah sekiranya tidak dipersetujui.

"Prosesnya mungkin mengambil masa yang lama dan boleh memberi kesan kepada usaha kerajaan. Cuma saya dapati isu ganti rugi ini tidak banyak berbangkit. malah hospital swasta juga dengan rela hati membantu," katanya kepada BH, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada Ahad ini.

Katanya, berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat turut dibatalkan kerana kerajaan menarik balik ordinan berkenaan pada 21 Julai lalu.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal, berkata pada peringkat awal pandemik tahun lalu, kerajaan hanya menggunakan akta sedia ada dan itu didapati berjaya mengurangkan kes jangkitan, walaupun ada kritikan yang mengatakan Malaysia tidak membuat saringan secara besar-besaran.

Katanya, apabila kes mula meningkat pada 2021, kerajaaan menguatkuasakan Proklamasi Darurat dan walaupun dengan kuasa yang besar melalui ordinan-ordinan darurat, secara objektifnya itu tidak memberikan kesan yang besar kepada pandemik COVID-19.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/843681/kabinet-tiada-kuasa-batalkan-ordinan-darurat



Monday, August 2, 2021

Dasar Pandang ke Timur dalam kerjasama pertahanan serantau

 Artikel terbitan Berita Harian Online

Hasbi Sidek - September 10, 2018 @ 7:37pm


KUALA LUMPUR: Kerajaan menggunakan pendekatan memenangi hati dan minda dalam usaha mengurangkan risiko ancaman pengganas di rantau Asia Tenggara, selain meningkatkan kerjasama serantau selari dengan dasar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerapkan semula Dasar Pandang ke Timur.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, berkata beliau menekankan betapa ASEAN harus menjadi platform penggerak kepada kerjasama serantau di Asia Tenggara khususnya melalui platform Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM– Plus dalam menangani isu keselamatan bukan tradisional serta inisiatif bantuan kemanusiaan.

“Konsep diplomasi pertahanan melalui kerjasama strategik pertahanan secara dua hala dan pelbagai hala di Asia Tenggara mahupun Asia Pasifik serta global adalah fokus utama forum ini.

“Kerjasama pertahanan seperti ADMM, ADMM-Plus dan antara ASEAN bersama rakan dialog seperti Hubungan Dialog ASEAN-Jepun adalah mekanisme penting yang perlu dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan pertumbuhan serantau.

“Dalam usaha menangani isu antikeganasan, pendekatan memenangi hati dan minda adalah penting bagi mengurangkan risiko punca keganasan daripada berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad dijemput Menteri Pertahanan Jepun untuk menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Defence Cooperation of The New Mahathir Administration’ dalam program 10th Japan-ASEAN Defense Vice-Ministerial Forum di Nagoya, Jepun, hari ini.

Forum itu disertai Ketua-ketua Setiausaha Pertahanan negara ASEAN dan Jepun untuk bertukar pandangan dan pengalaman serta mengeratkan kerjasama ASEAN dengan Jepun sebagai antara anggota ASEAN ADMM-Plus.

Beliau berkata, strategi antikeganasan melalui mekanisme kerjasama pertahanan dua hala mahupun serantau seperti inisiatif perkongsian maklumat risikan, rondaan bersama di kawasan maritim dan udara menerusi platform ADMM dan ADMM-Plus amat penting untuk memastikan rantau Asia Tenggara bebas daripada ancaman pengganas.

“Saya juga menyatakan bahawa pentadbiran Perdana Menteri memperkenalkan semula Dasar Pandang ke Timur yang akan diterapkan dalam kerjasama pertahanan serantau.

“Beberapa dasar terkini yang dipelopori Tun Dr Mahathir khususnya ke atas isu Laut China Selatan sebagai platform kerjasama dan bukannya pertembungan kuasa-kuasa besar selain mempertingkatkan diplomasi sebagai jalan penyelesaian kepada isu serantau dan hubungan dua hala,” katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/472113/dasar-pandang-ke-timur-dalam-kerjasama-pertahanan-serantau


Malaysia tak kompromi isu Laut China Selatan

 Artikel terbitan Berita Harian Online

Oleh Saiful Haizan Hasam - Jun 18, 2021 @ 12:21pm


KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi pendirian tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya dalam kawasan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Malaysia turut menggesa semua pihak lebih bersederhana dalam tingkah laku mereka di kawasan perairan berkenaan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, berkata gesaan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-8 yang berlangsung secara maya semalam.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut meminta semua pihak bekerjasama bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

"Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara," kata Ismail Sabri dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam merangkap Pengerusi ADMM 2021, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof.

Mesyuarat ADMM-Plus ke-8 itu membabitkan Menteri-Menteri Pertahanan atau wakil dari negara anggota ASEAN dan lapan negara rakan dialog Plus (Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea dan Rusia) serta Setiausaha Agung ASEAN.

Dalam kenyataan itu, Ismail Sabri turut mengulas berkenaan pentingnya kerjasama antara negara untuk memerangi wabak COVID-19 dan peranan sektor pertahanan yang semakin meningkat dalam mendepani isu keselamatan manusia yang perlu ditangani secara holistik.

Ismail Sabri juga menekankan bahawa ruang siber yang bersifat dinamik memerlukan sektor pertahanan yang sentiasa berwaspada dan peka, terutamanya terhadap ancaman siber yang boleh menggugat kestabilan negara.

"Kerjasama serantau dalam keselamatan siber, terutamanya melalui ASEAN adalah cara terbaik untuk menangani ancaman siber dan membina keyakinan serantau," kata Ismail Sabri.

Mesyuarat itu diakhiri dengan Deklarasi Bandar Seri Begawan oleh ADMM-Plus bagi meraikan ulang tahun ke-15 ADMM.

Semua negara juga bersetuju supaya ADMM terus menjadi platform utama kerjasama pertahanan multilateral di rantau ini dengan ASEAN sebagai peneraju utama.

Sementara itu, kenyataan itu juga memaklumkan Ismail Sabri turut menyertai Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China pada Selasa lalu.

Katanya, mesyuarat itu bagi membincangkan kerjasama pertahanan serantau dan bertukar pandangan mengenai isu-isu pertahanan dan keselamatan yang menjadi perhatian bersama.

"Dalam mesyuarat itu, Malaysia mengulangi pendiriannya walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan navigasi, kehadiran aset ketenteraan di Laut China Selatan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan dan seterusnya menyebabkan konflik yang boleh menjejaskan keamanan, keselamatan, dan kestabilan serantau.

"Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat ini menandakan komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi pertahanan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/829202/malaysia-tak-kompromi-isu-laut-china-selatan


4IR bakal ubah imej pembangunan negara

 Artikel terbitan Utusan Malaysia 

  • Oleh AMREE AHMAD
  • 1 Julai 2021, 11:49 am



PUTRAJAYA: Pembangunan sosioekonomi Malaysia dijangka berubah melalui transformasi penggunaan teknologi termaju di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).

Polisi baharu itu yang direka agar bersifat lebih menyeluruh, bakal memacu usaha bersepadu dan akan menyediakan prinsip panduan utama serta hala tuju strategik bagi kemajuan negara.

Menurut kenyataan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, pelancaran Dasar 4IR hari ini bakal memberi manfaat kepada rakyat.

“Semua kementerian dan agensi terlibat dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan, akan mengoptimumkan agihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan teknologi baharu,” katanya.

Pelancaran dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya.

Kenyataan itu menambah, dasar ini akan menyokong pelbagai polisi nasional antaranya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.


Ia jelasnya, melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dengan segala strategi serta inisiatif Dasar 4IR yang akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

“Menerusi dasar ini, rakyat, komuniti perniagaan dan kerajaan dapat memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang mungkin wujud daripada 4IR,” jelas kenyataan itu.

Ini meliputi kemunculan teknologi baharu seperti robotik, kecerdasan buatan dan internet benda yang telah mengubah cara dunia beroperasi khususnya ketika berdepan Covid-19.

Teknologi 4IR sebenarnya sudah pun berjaya digunakan secara meluas untuk membantu usaha pelbagai negara dalam memerangi bersama pandemik itu.

Melalui pelaksanaan Dasar 4IR, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia disasarkan melonjak kepada 136.5 pada 2030 berbanding cuma 124.4 yang direkodkan pada 2018.

“Malaysia juga disasarkan berada pada kelompok 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global pada 2030 dan mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentasi semua sektor,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu menambah, dasar ini hanya akan dapat dicapai apabila pihak berkepentingan memainkan peranan masing-masing secara aktif dan kerjasama erat dijalin.

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/4ir-bakal-ubah-imej-pembangunan-negara/

Ketepi perbezaan tangani isu keselamatan negara

 Artikel terbitan Berita Harian Online

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain - Mac 22, 2020 @ 11:00am


Pengumuman kerajaan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut digerakkan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan pergerakan rakyat mulai hari ini, menterjemah betapa kritikalnya keselamatan insan diperjuangkan.

Sebelum perang dingin, soal keselamatan nasional sering dirujuk berkait rapat dengan negara atau pemerintah.

Pemerintah atau negara menjadi aktor penting dalam konsep keselamatan. Ia bermakna, jika keselamatan pemerintah dan konteks negara terjamin, maka ia mampu memelihara dan menjamin keselamatan rakyat di bawah.

Ancaman keselamatan pula lebih berbentuk fizikal seperti ketenteraan dan peperangan. Hal ini sememangnya mempengaruhi tindakan pemerintah untuk menjamin keselamatan negara dengan menyediakan peruntukan besar dalam ketenteraan misalnya.

Namun, soal keselamatan nasional mengalami evolusi apabila cakupannya semakin meluas. Ia tidak lagi tertumpu soal keselamatan pemerintah, tetapi kelangsungan dan kesejahteraan hidup manusia.

United Nation Development Programme (UNDP), melalui United Nation Development Report diterbitkan pada 1994 memasukkan satu bahagian dengan keselamatan insan, iaitu Redefining Security: The Human Dimension.

Dalam laporan ini, aspek keselamatan insan dan indikator yang boleh mengancam keselamatan insan dikenal pasti seperti ekonomi, makanan, kesihatan, persekitaran, peribadi, alam sekitar, masyarakat dan politik.

Apa yang menarik, dalam konteks kesihatan, soal keselamatan insan menggariskan faktor penyakit berjangkit atau pandemik yang boleh mengancam nyawa manusia.

Banyak buku dihasilkan sarjana antarabangsa atau tempatan mengenai keselamatan insan. Antaranya, Non-Traditional Security Issues in Southeast Asia, suntingan Andrew T H Tan dan J D Kenneth Boutin pada 2001, serta Keselamatan Nasional Malaysia, suntingan Profesor Dr Kamarulnizam Abdullah pada 2012.

Sarjana berhujah bahawa fokus keselamatan kini melangkaui aspek ketenteraan. Justeru, fokus utama keselamatan adalah rakyat dan bukan lagi pemerintah, kerana jika masyarakat tidak terjamin keselamatannya, maka ia boleh menjejaskan keselamatan pemerintah atau negara.

Contoh paling jelas, penularan COVID-19 yang boleh menjejaskan keselamatan negara secara keseluruhannya jika tidak ditangani dan diuruskan dengan baik. COVID-19 memberi pengajaran kita tidak boleh berkompromi mengenai keselamatan insan.

Sehingga kini, penularan virus itu masih berlaku di seluruh dunia dan di Malaysia, tiga kematian pertama direkodkan, selain lebih 1,000 kes jangkitan positif.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini. Kita yakin kerajaan sedang dan akan melakukan yang terbaik.

Tidak dinafikan, wujud isu komunikasi dan koordinasi dalam menangani hal ini, namun ia boleh menjadi pengajaran berharga bagi semua pihak dalam berhadapan situasi sama pada masa akan datang.

Apa yang jelas, penularan COVID-19 memberi beberapa pengajaran. Pertama, ancaman keselamatan nasional bukan lagi berkisar soal ancaman berbentuk fizikal atau ketenteraan. Dalam kata lain, ancaman utama keselamatan nasional bukan lagi peperangan atau soal melindungi sempadan semata-mata, tetapi kelangsungan dan kesejahteraan hidup manusia.

Kedua, masyarakat kita semakin terdedah aspek keselamatan menyeluruh dan semakin kompleks, yang terkandung dalam soal keselamatan insan. Meskipun Malaysia sebuah negara bebas merdeka, mereka perlu diingatkan bahawa negara tidak terkecuali daripada ancaman keselamatan bukan fizikal seperti pandemik.

Ketiga, dengan meluasnya cakupan keselamatan ini, soal menjaga dan memelihara keselamatan bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata. Sebaliknya, masyarakat turut bertanggungjawab dengan meningkatkan tahap pengetahuan dan kefahaman mereka tentang keselamatan insan dan ancaman terhadapnya. Kerjasama antara kerajaan dan rakyat sangat penting ketika ini.

Sebelum ini, pendekatan Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH diperkenalkan dalam menangani isu keselamatan negara secara holistik. Ia membabitkan pelbagai entiti pertahanan dan keselamatan negara seperti ATM dan PDRM.

Di banyak negara, sudah ada pendekatan seperti Military Operation Other Than War yang mempromosi keamanan dan melihat aspek keselamatan bukan fizikal atau ketenteraan.

Tanpa menafikan ancaman berbentuk fizikal dan ketenteraan seperti apa berlaku di beberapa kawasan berkonflik di seluruh dunia, ancaman keselamatan kini lebih tertumpu kelangsungan dan kesejahteraan hidup insan.

Negara seperti Malaysia tidak lagi berhadapan ancaman peperangan, tetapi ancaman seperti pandemik COVID-19 yang memberi risiko kepada kehidupan manusia.

Tuntasnya, aspek keselamatan insan perlu ditekankan dalam masyarakat. Advokasi awam perlu diperluaskan agar masyarakat bersiap siaga dan tidak lagi panik menghadapi situasi sukar seperti dilalui sekarang.

Hakikatnya, COVID-19 mengakibatkan kehidupan kita sangat rapuh. Justeru, tiada lebih penting, selain bersatu dan menolak perbezaan demi kesejahteraan Malaysia tercinta, sekurang-kurangnya pada saat getir ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/03/667824/ketepi-perbezaan-tangani-isu-keselamatan-negara



Analisis ekonomi bukti negara tidak gagal urus impak COVID-19

 Artikel terbitan Berita Harian Online

Oleh Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin - Julai 22, 2021 @ 10:30am

Seperti negara lain di dunia, Malaysia tidak terlepas menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19. Tahun lalu, ekonomi negara berjaya mengelakkan satu bentuk 'senario paling buruk' - iaitu berlakunya tahap pengangguran besar-besaran dalam tempoh panjang.

Seperti banyak negara lain di dunia, ekonomi Malaysia tahun lalu juga mengalami kemelesetan hingga menguncup pada kadar 5.6 peratus. Namun, kadar penguncupan ini tidaklah menyamai ketika krisis kewangan Asia 1997/98 yang ekonomi Malaysia menyusut pada kadar paling teruk dalam sejarah negara, iaitu 7.4 peratus.

Ekonomi Malaysia berjaya dibangkitkan semula dan pada 2017, kita sudah pun hampir mencapai status negara berpendapatan tinggi. Tahun sama juga, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar antara tertinggi di dunia.

Pelaburan asing, terutama dari China melonjak tinggi, kadar kemiskinan tegar hampir dihapuskan, pendapatan rakyat meningkat, peluang pekerjaan dijana, tahap inflasi dan kadar pengangguran juga rendah.

Kadar ketidakseimbangan dalam agihan pendapatan juga berada pada tahap antara paling rendah dalam sejarah, tahap kebahagiaan rakyat berada pada paras paling baik, tahap fiskal defisit rendah, kadar hutang terkawal, jumlah hasil negara meningkat dan keadaan politik serta sosial stabil.

Pandemik COVID-19 menghambat Malaysia ke arah satu keadaan begitu sukar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila krisis kesihatan dan ekonomi berlaku serentak.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu dengan pelbagai variasi merencatkan ekonomi negara.

Walaupun pada Jun lalu, sekatan pergerakan penuh atau total lockdown dilaksanakan, kita dapat lihat kadar jangkitan harian semakin meningkat, malah kini melebihi 11,000 kes sehari. Kadar kebolehjangkitan juga tidak menampakkan penurunan dan sistem kesihatan negara terus tenat dari semasa ke semasa.

Hakikatnya, apabila sektor ekonomi dan sosial ditutup sepenuhnya ataupun dihadkan, keadaan ekonomi serta perniagaan akan terjejas teruk. Akibatnya, ramai hilang mata pencarian, dibuang kerja, perniagaan terpaksa gulung tikar, gaji dipotong separuh dan ada pula terpaksa mengambil cuti panjang tanpa gaji.

Tahun lalu sahaja, kadar kemiskinan negara meningkat ke paras 8.4 peratus. Selain itu, sekitar 600,000 golongan M40 tergelincir menjadi B40, hutang isi rumah sudah berada pada sekitar 93 peratus dan kadar pengangguran pada Mei 2020 sudah pun mencecah 5.3 peratus. Kadar pengangguran generasi muda pula semakin meningkat, manakala fenomena underemployed pula semakin meruncing.

Tahun ini pula, keadaan dijangka lebih teruk dengan munculnya varian baharu virus COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga baru-baru mengeluarkan kenyataan dunia kini dalam tempoh sangat bahaya akibat munculnya varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) yang mengakibatkan kes jangkitan seluruh dunia mengalami trend peningkatan.

Di Malaysia pula, dengan penerusan PKP dan banyak kawasan di beberapa negeri terutama Selangor serta Kuala Lumpur melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD), ia dijangka melumpuhkan lagi prospek pemulihan ekonomi Malaysia dalam masa terdekat ini.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dianggarkan 580,000 perniagaan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS Mikro) akan gulung tikar dan dijangka memberi kesan kepada lebih 7 juta rakyat, sekiranya mereka tidak dibenarkan beroperasi menjelang Oktober ini.

Pada ketika ini, sudah ada gerakan 'bendera putih' di negara ini, menunjukkan rakyat sudah pun begitu terdesak untuk meletakkan makanan di atas meja. Lebih merisaukan, pada ketika ini tahap kesihatan mental rakyat dianggarkan secara purata empat orang bunuh diri setiap hari sejak tiga bulan pertama tahun ini.

Persoalannya, adakah ini semua menunjukkan Malaysia menuju ke arah negara gagal? Jika dilihat sudut ekonomi, tidak sama sekali.

Pertama sekali, kita perlu menganalisis keadaan ekonomi negara dalam perspektif betul. Memang benar, Bank Dunia menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus daripada 6 peratus sebelum ini.

Hakikatnya, dengan mengambil kira semua faktor ini, ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangkakan berkembang, bukannya menguncup. Pada Mac lalu sahaja, ekonomi Malaysia sudah berkembang pada kadar 6 peratus.

Bank Dunia juga, dalam unjuran dibuat, menjangkakan ekonomi Malaysia akan bertumbuh pada kadar 5 peratus tahun depan. Jadi, ini jelas menunjukkan Malaysia bukanlah menuju ke arah negara gagal.

Ketika ini, Malaysia juga mempunyai kedudukan fiskal stabil. Walaupun sasaran fiskal defisit 5.4 peratus diunjurkan pada Belanjawan 2021 tidak dapat dicapai, kadar defisit pada sekitar 6 hingga 6.5 peratus masih lagi dilihat sebagai stabil.

Negara lain di dunia juga berbelanja besar untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi mereka akibat impak pandemik COVID-19. Singapura misalnya, dijangka merekodkan kadar defisit fiskal melebihi 15 peratus tahun ini.

Badan penarafan kredit antarabangsa seperti S&P dan Moody's juga mengekalkan penarafannya terhadap kedudukan kredit negara. Ini bukanlah ciri-ciri negara gagal dari sudut ekonomi.

Kerajaan pula sudah memperuntukkan lebih RM800 bilion, iaitu dengan lapan pakej rangsangan ekonomi dan juga Belanjawan 2021 untuk menangani cabaran pandemik COVID-19 ini. Peruntukan ini boleh ditambah lagi pada masa depan memandangkan tahap hutang negara masih dalam keadaan terkawal, iaitu di bawah 60 peratus KDNK negara.

Kerajaan juga mempunyai perancangan dan strategi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa depan seperti pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara baru-baru ini, yang dijangka mewujudkan banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan, terutama kepada generasi muda.

Program vaksinasi juga sudah berada pada tahap begitu baik yang tahap imuniti kelompok dijangka dapat dicapai seawal September ini.

Walaupun jelas Malaysia tidak menuju ke arah negara gagal, isu dan cabaran dihadapi negara ketika ini, terutama keadaan ekonomi, sosial serta mental rakyat perlu diberi perhatian segera dan menjadi fokus utama berbanding perkara lain.

Semua pihak perlu teguh bersatu supaya kita dapat menang bersama melawan pandemik ini.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM)

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/07/841952/analisis-ekonomi-bukti-negara-tidak-gagal-urus-impak-covid-19

'Situasi meruncing, sektor ekonomi rakyat perlu dibuka segera'

Artikel terbitan Berita Harian Online

Oleh Ahmad Suhael Adnan - Julai 11, 2021 @ 12:39pm


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbang pembukaan sektor tertentu secepat mungkin, bagi menyelamatkan ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata ia selaras kedudukan Malaysia yang turun 35 anak tangga ke kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam Indeks Daya Tahan COVID Bloomberg, bulan lalu.

Katanya, indeks itu menunjukkan realiti kedudukan ekonomi peniaga, pekerja dan isi rumah di Malaysia yang bertambah buruk, dan akan terus meruncing jika proses pembukaan ekonomi kekal perlahan seperti ketika ini.

Meskipun kerajaan melaksanakan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), beliau berpandangan ia hanya bersifat sementara dan tidak boleh menampung keseluruhan keperluan ketika ini.

"Melihat situasi sekarang, adalah menjadi keperluan bagi kerajaan mempertimbang untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi bagi mengelak keadaan meruncing, dengan kadar kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang semakin tinggi ketika ini.

"Keutamaan perlu diberikan kepada beberapa sektor ekonomi, antaranya sektor yang berorientasikan buruh kerana sektor ini menggajikan ramai pekerja dan apabila perniagaan dibuka, ramai pekerja akan mendapat pekerjaan.

"Selain itu, sektor ekonomi yang menggaji ramai pekerja B40 dan M40 yang terjejas teruk, serta sektor ekonomi yang bukan asas tetapi tidak membabitkan interaksi ramai orang seperti nelayan, pemandu lori tanah dan lain-lain.

"Turut perlu dipertimbangkan adalah sektor ekonomi di negeri, daerah dan kawasan yang merekodkan kadar jangkitan rendah dan terkawal," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Tahan COVID 2021 oleh Bloomberg, yang merudum ke tangga 51 daripada 53 negara pada bulan lalu berbanding di kedudukan ke-16 pada Januari, atas faktor kemajuan pembukaan semula ekonomi yang perlahan.

Kelmarin, kolumnis ekonomi Asia Bloomberg, Daniel Moss, mendakwa Malaysia yang kini bergelut mengatasi isu sosial, ekonomi dan politik, berisiko bergerak menjadi negara yang gagal.

Mohd Yusof berkata, kedudukan Malaysia merudum disebabkan beberapa petunjuk utama, khususnya sekatan pergerakan di negeri yang menjadi tunjang ekonomi Malaysia seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, selain kapasiti penerbangan yang belum pulih.

Katanya, penanda aras dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga tidak seimbang kerana tiga indikator digunakan iaitu kes harian COVID-19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan peratus penerimaan vaksin, hanya terarah kepada aspek kesihatan.

Beliau menegaskan, indikator ekonomi seperti kadar kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan penutupan operasi perniagaan adalah sama penting dalam memantau 'kesihatan' ekonomi.

"Keadaan semasa menunjukkan langkah 'mengurung' rakyat tidak lagi berkesan, malah mendatangkan lebih banyak implikasi, sekali gus kita perlu memberi keutamaan dengan membuka sektor ekonomi.

"Pembukaan ekonomi bukan sahaja dapat bantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup," katanya. 


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/838131/situasi-meruncing-sektor-ekonomi-rakyat-perlu-dibuka-segera