Tuesday, July 30, 2019

Ekonomi negara semakin perlahan

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi suku pertama 2019 pada 16 Mei ini. Pada suku keempat 2018, Malaysia mencatat pertumbuhan 4.7 peratus manakala keseluruhan tahun ialah 4.7 peratus. 

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain menjangkakan negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus untuk suku pertama ini dengan mengambil kira keseluruhan pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding suku sebelumnya.

“Prestasi eksport dengan pembuatan dan perkhidmatan juga perlahan. Ini juga termasuk dari segi penggunaan turut lemah. Keadaan ini disebabkan ketidaktentuan faktor luaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Eksport Malaysia pada Februari jatuh 5.3 peratus kepada RM66.6 bilion, terendah sejak Ogos 2016 disebabkan penguncupan dalam eksport barangan perkilangan dan produk petroleum.

Bagaimanapun menurut RAM Ratings, prestasi dagangan diunjur kembali mencatat pertumbuhan pada Mac apabila data-data diumumkan esok, dengan eksport meningkat 2.5 peratus manakala import pula 2.9 peratus selepas masing-masing mencatat penurunan pada bulan sebelumnya. 

Kegusaran

Alliance DBS Research dalam nota kajiannya berkata, prestasi lemah tahun ke tahun FBM KLCI terus menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur susulan kurang pemangkin untuk meningkatkan keyakinan.

“Ini dijangka diburukkan lagi oleh musim keputusan suku bagi KDNK suku pertama 2019 akan datang yang lemah, yang sememangnya dijangkakan pasaran.

“Kami menjangkakan data KDNK suku pertama secara relatifnya adalah suram selepas berturutan mencatatkan data negatif bagi indeks harga pengguna, indeks harga pembelian dan indeks pengurus pembelian dalam beberapa bulan lepas,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan data-data sedia ada, pertumbuhan KDNK pada suku pertama berada sekitar 4.2 hingga 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2018. 

Katanya, bagi dua bulan pertama 2019, pertumbuhan eksport negara menguncup 0.8 peratus berbanding pertumbuhan positif sebanyak 7.6 peratus bagi tempoh sama tahun lalu manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pula perlahan pada kadar 2.5 peratus pada dua bulan pertama 2019. 

Di samping itu, katanya, indeks sentimen pengguna dan perniagaan iaitu CSI dan BCI masing-masing merosot pada suku pertama 2019 menjadikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2019 adalah perlahan. 

“Trend ini adalah seiring dengan pertumbuhan ekonomi di Singapura dan Korea Selatan dengan kedua-dua buah negara ini mencatat pertumbuhan perlahan iaitu pada kadar 1.3 peratus dan 1.8 peratus pada suku pertama berbanding 1.9 peratus dan 3.2 peratus pada suku keempat 2018. 

“Namun, kami menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi akan lebih baik pada separuh kedua 2019 berikutan pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang dapat merancakkan lagi sektor-sektor berkaitan seperti pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

OPR mungkin dikurangkan

Mohd.Afzanizam berkata, jangkaan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekiranya berlaku juga mampu memberi suntikan keyakinan terhadap pengusaha-pengusaha dan para pengguna berikutan kos dana yang lebih kompetitif.

Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lemah, Kenanga Research dalam nota kajian berkata, pertumbuhan pinjaman mengekalkan aliran menurun pada Mac dengan mencatat paras terendah dalam tempoh 10 bulan iaitu 4.9 peratus tahun ke tahun, berbanding lima peratus pada Februari. 

“Kami percaya BNM kini mempunyai kelonggaran lebih besar untuk mengurangkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas, mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 7 Mei ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, kemerosotan pertumbuhan pinjaman terutamanya didorong oleh kelembapan pinjaman yang diperuntukkan untuk pembinaan, modal kerja dan penggunaan peribadi manakala pinjaman untuk barangan pengguna tahan lama dan kereta penumpang terus merosot.

“Ini menunjukkan sentimen berhati-hati yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan,” katanya.

Susulan jangkaan pengurangan OPR oleh BNM, ringgit memulakan dagangan lebih rendah pada RM4.1350 berbanding dolar AS, daripada RM4.1320 ketika ditutup pada Selasa. Pasaran ditutup semalam berikutan cuti umum Hari Pekerja. Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1365 berbanding dolar AS. 

Bagi prestasi Bursa Malaysia pula, ia susut 10.05 mata kepada 1,632.24 mata dengan 669 kaunter rugi manakala 225 kaunter untung dan 348 kaunter tidak berubah. Ia menyaksikan 2.679 bilion saham diniagakan bernilai RM1.95 bilion berbanding pada Selasa, 2.527 bilion saham bernilai RM1.637 bilion. 

Harga minyak turun tidak jejaskan pertumbuhan KDNK negara

Oleh Hazwan Faisal Mohamad; Nora Mahpar dan Nabil Basaruddin
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas dengan kejatuhan harga minyak dunia, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus, berkata kejatuhan harga minyak dunia pada masa akan datang tidak akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2019.

Ini kerana katanya, berdasarkan perangkaan, eksport mineral sebagai contoh hanya mewakili 8.8 peratus dari keseluruhan eskport negara dan pelaburan di dalam sektor perlombongan hanya meliputi 13.8 peratus dari keseluruhan pelaburan dalam negara.

Beliau berkata, sektor bukan komoditi mewakili lebih 18 peratus sumbangan ke dalam ekonomi negara manakala sektor perlombongan hanya 8.4 peratus.

"Dari segi eksport, eksport bagi kedua-dua sektor ini hanya mewakili tiga peratus dari keseluruhan nilai eksport negara berbanding sektor pengilangan menyumbang 82 peratus.

"(Justeru) kesan (kejatuhan harga minyak dunia) kepada pertumbuhan ekonomi adalah kecil.

"Tetapi harga minyak yang rendah sebaliknya akan mendorong kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi kerana ia akan membawa kepada harga petrol yang lebih rendah dan pendapatan boleh guna lebih tinggi yang akan memberi sokongan positif kepada penggunaan.

"Jadi melihat kepada semua faktor ini, sebab itu saya mengatakan (kejatuhan harga minyak dunia) tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap ekonomi kita," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Ekonomi Malaysia berkembang perlahan 4.4 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus dan dalam landasan untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi tahun 2018.

BNM mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2019.

Mengulas lanjut Nor Shamsiah berkata, harga minyak dunia pernah jatuh ke paras AS$40 setong pada tahun 2015 dan pada tahun sama juga, nilai ringgit menyusut hampir 30 peratus ke RM4.40 berbanding dolar AS.

Pada tahun itu juga negara mengalami aliran keluar dana asing yang tinggi, akan tetapi ekonomi negara masih mampu merekodkan pertumbuhan melebihi empat peratus pada tahun 2015.

"Ia menunjukkan sifat kepelbagaian ekonomi negara yang mana adalah penting untuk kita terus mempelbagaikan ekonomi negara, struktur eksport dan mengukuhkan pasaran kewangan supaya ia boleh menyerap kesan seperti aliran keluar dana sebagai contoh," katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, ringgit menyusut 2.5 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun ini dan 3.35 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Katanya, pengukuhan dolar AS ketika ini bukan hanya menjejaskan mata wang tempatan, tetapi juga negara lain.

"Kerana itu kami menjangkakan mata wang serantau termasuk ringgit akan terus menyusut berbanding dolar AS.

"Tetapi disebabkan kita memiliki pasaran kewangan yang besar dan bilangan pelabur institusi tempatan yang banyak dan kukuh, ia akan memastikan penyesuaian berkala dalam kedua-dua pasaran tukaran mata wang asing dan dalam mata wang kita," katanya.

Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019

Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Che Wan Badrul Alias
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran pasaran 4.3 peratus.

Pertumbuhan itu bagaimanapun lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2018 dan 5.3 peratus pada suku pertama 2018.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata  pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama disokong oleh pemulihan dalam sektor pertanian terutama pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan eksport bersih yang tinggi.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan dan perkilangan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

"Malaysia kekal dalam landasan pertumbuhan kukuh dengan dijangka berkembang antara 4.3 peratus-4.8 peratus tahun ini disokong oleh perbelanjaan sektor swasta," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2019 di sini, hari ini.

Mengenai akaun semasa, Nor Shamsiah berkata, akaun semasa dijangka kekal dalam lebihan berikutan permintaan daripada negara dagang utama terus berkembang meskipun sederhana.

Beliau nerkata, aliran pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM21.7 bilion pada suku pertama 2019 dan kekal merentasi sektor yang meluas.

Mengenai ringgit, Nor Shamsiah berkata, pergerakan mata wang tempatan itu pada 2019 didorong oleh faktor luaran.

Melangkah ke hadapan, ringgit sejajar dengan mata wang serantau akan terus dipengaruhi faktor luaran, katanya.

Pada 2019, kadar inflasi dijangka berpurata antara 0.7 peratus hingga 1.7 peratus.

Penguasaan Bahasa Inggeris penting untuk ekonomi pengetahuan

Bernama | Julai 19, 2019 05:00 MYT

KUALA LUMPUR: Penguasaan Bahasa Inggeris adalah perlu bagi menarik pelaburan dengan nilai tambah yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan negara bergerak pantas ke arah mencapai ekonomi pengetahuan dengan pendapatan yang lebih baik, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Datuk Soh Thian Lai dalam satu kenyataan berkata persekutuan itu mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kepentingan Bahasa Inggeris dalam menimba ilmu.

"FMM ingin menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris adalah kunci dalam mewujudkan kumpulan kapasiti dan keupayaan domestik.

"Adalah penting untuk kerajaan terus menekankan dan melaksanakan kadar penyerapan Bahasa Inggeris yang lebih tinggi kerana kajian membuktikan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris terbaik diperolehi dalam persekitaran penyerapan 50 hingga 60 peratus," katanya.

Menurut beliau lagi, FMM sentiasa menekankan bahawa Bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan lagi dalam sistem pendidikan kerana ia adalah bahasa matematik, sains, kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perubatan.

"Mata pelajaran teras ini akan memudahkan pemerolehan pengetahuan saintifik serta teknologi yang akan menggerakkan penyelidikan dan pembangunan, peningkatan inovasi termasuk aktiviti berasaskan pengetahuan ICT yang bakal menyumbang kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi di semua sektor ekonomi," katanya.

-- BERNAMA

Kerajaan berhasrat jadikan syarikat teknologi tempatan syarikat multinasional menerusi GAIN - Gobind

Bernama | Julai 23, 2019 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menyokong syarikat-syarikat teknologi tempatan untuk menjadi syarikat-syarikat multinasional menerusi program 'Global Acceleration and Innovation Network (GAIN)' sebuah program yang ditadbir oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata ia sejajar dengan langkah ke arah menjadikan Malaysia sebagai pemimpin dalam ekonomi digital.

Beliau menggariskan bahawa inisiatif GAIN bawah MDEC adalah satu daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu firma-firma teknologi Malaysia untuk tumbuh dan berkembang, baik di peringkat serantau mahupun di peringkat global, menerusi empat tiang iaitu akses kepada pasaran, modal risiko, penyegaran teknologi dan kebolehlihatan.

Didorong kisah-kisah kejayaan ahli-ahli GAIN, beliau mengumumkan penambahbaikan selanjutnya pada program itu semasa berucap pada pelancarannya dan sesi 'townhall' di Pejabat Pengasas Macrokiosk di sini pada Isnin.

Dalam hubungan ini, katanya, GAIN akan terus mengembangkan akses pasarannya bagi mewujudkan ekosistem sokongan perniagaan di negara-negara baharu dan lokasi seperti Australia, Taiwan, Jepun dan Asia Barat.

"Selain itu, GAIN komited untuk menganjurkan lebih banyak bengkel-bengkel untuk memberi imbingan dan latihan kepada syarikat-syarikat ahli untuk membolehkan mereka mendapatkan modal pelaburan selain mempersiapkan mereka untuk penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) dengan menghubungkan mereka dengan pelabur global dan mendedahkan mereka kepada media global," kata Gobind.
Sambil menyatakan bahawa beliau secara peribadi komited untuk memastikan kejayaan inisiatif GAIN, Gobind berkata kini terdapat kira-kira 150 syarikat di bawah program itu dan mereka telah dangan pantas menjadi pemimpin-pemimpin pasaran serantau dalam bidang data raya (big data), 'internet of things (IoT)', dron, e-dagang, keselamatan siber dan pembayaran, sekadar memberi beberapa contoh.

"Saya difahamkan bahawa Macrokiosk adalah satu daripada mereka dan ia kini beroperasi pada skala global dengan kehadiran di 14 buah negara," kata beliau.

Menteri itu juga berkata bahawa sejak setahun lepas, beliau telah mengarahkan MDEC untuk meletakkan fokus pada program itu untuk mempercepatkan kemajuan syarikat-syarikat GAIN, dan mereka benar-benar telah berjaya meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang masing-masing dalam tempoh itu.

Menyorot kisah-kisah kejayaan GAIN, menteri itu turut menyentuh mengenai sebuah syarikat dron tempatan, Aerodyne, yang telah menandatangani satu perjanjian penting di Jepun untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan dron bagi pengurusan infrastruktur di Jepun dan bagi pihak syaraikat-syarikat Jepun yang berpangkalan di luar negara.

Gobind turut menceritakan kisah kejayaan Soft Space, sebuah syarikat tempatan dan salah sebuah syarikat "fintech" terkemuka di Asia, yang baru-baru ini telah melancarkan teknologi baharu yang menjadikan pembayaran menggunakan kad boleh diakses dengan lebih mudah oleh perniagaan-perniagaan kecil dan kini sedang "mengintai" peluang untuk memperkenalkan perkhidmatannya pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Beliau turut bercerita mengenai kejayaan Securemetric, ahli GAIN dan pemimpin serantau yang menawarkan perkhidmatan penyelesaian keselamatan siber, yang berjaya disenaraikan di ACE Market pada November 2018 dan kini memiliki modal pasaran sebanyak RM130 juta.

Gobind turut menyatakan keyakinan bahawa lebih banyak syarikat mampu mendapat manfaat menerusi GAIN dan menyumbang kepada kemampanan ekonomi digital, dengan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.

"Kita mesti ingat bahawa ketika kita memulakan perjalanan digital ini, kita tidak mengetepikan atau meninggalkan di belakang mereka yang kurang bernasib baik dan masyarakat yang terpinggir," kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi perkara paling utama agar mereka dimasukkan ke dalam perancangan dan komitmen ini untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada 'Kemakmuran Bersama' dan memperoleh keuntungan daripada ekonomi digital.

Gobind berkata beliau gembira bahawa para peserta GAIN telah menerima pakai budaya 'pay it forward' dengan memupuk dan membimbing syarikat-syarikat pemula niaga yang lain.

"Banyak daripada syarikat-syarikat ini turut melabur dalam syarikat-syarikat pemula niaga itu untuk mengemudi mereka ke arah menjadi pemain serantau," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan amat menggalakkan perkara itu.

Gobind berkata ini kerana kegiatan membimbing ini boleh dengan secara kolektifnya membantu pertumbuhan dan kematangan ekosistem keusahawanan teknologi di Malaysia sendiri.

Beliau turut menggesa agar semua syarikat mengikuti perkembagan terkini teknologi dan sentiasa melaksanakan inovasi untuk mendahului pesaing.

-- BERNAMA