KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas dengan kejatuhan harga minyak dunia, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus, berkata kejatuhan harga minyak dunia pada masa akan datang tidak akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2019.
Ini kerana katanya, berdasarkan perangkaan, eksport mineral sebagai contoh hanya mewakili 8.8 peratus dari keseluruhan eskport negara dan pelaburan di dalam sektor perlombongan hanya meliputi 13.8 peratus dari keseluruhan pelaburan dalam negara.
Beliau berkata, sektor bukan komoditi mewakili lebih 18 peratus sumbangan ke dalam ekonomi negara manakala sektor perlombongan hanya 8.4 peratus.
"Dari segi eksport, eksport bagi kedua-dua sektor ini hanya mewakili tiga peratus dari keseluruhan nilai eksport negara berbanding sektor pengilangan menyumbang 82 peratus.
"(Justeru) kesan (kejatuhan harga minyak dunia) kepada pertumbuhan ekonomi adalah kecil.
"Tetapi harga minyak yang rendah sebaliknya akan mendorong kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi kerana ia akan membawa kepada harga petrol yang lebih rendah dan pendapatan boleh guna lebih tinggi yang akan memberi sokongan positif kepada penggunaan.
"Jadi melihat kepada semua faktor ini, sebab itu saya mengatakan (kejatuhan harga minyak dunia) tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap ekonomi kita," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga 2018 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Ekonomi Malaysia berkembang perlahan 4.4 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya.
Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus dan dalam landasan untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi tahun 2018.
BNM mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2019.
Mengulas lanjut Nor Shamsiah berkata, harga minyak dunia pernah jatuh ke paras AS$40 setong pada tahun 2015 dan pada tahun sama juga, nilai ringgit menyusut hampir 30 peratus ke RM4.40 berbanding dolar AS.
Pada tahun itu juga negara mengalami aliran keluar dana asing yang tinggi, akan tetapi ekonomi negara masih mampu merekodkan pertumbuhan melebihi empat peratus pada tahun 2015.
"Ia menunjukkan sifat kepelbagaian ekonomi negara yang mana adalah penting untuk kita terus mempelbagaikan ekonomi negara, struktur eksport dan mengukuhkan pasaran kewangan supaya ia boleh menyerap kesan seperti aliran keluar dana sebagai contoh," katanya.
Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, ringgit menyusut 2.5 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun ini dan 3.35 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini.
Katanya, pengukuhan dolar AS ketika ini bukan hanya menjejaskan mata wang tempatan, tetapi juga negara lain.
"Kerana itu kami menjangkakan mata wang serantau termasuk ringgit akan terus menyusut berbanding dolar AS.
"Tetapi disebabkan kita memiliki pasaran kewangan yang besar dan bilangan pelabur institusi tempatan yang banyak dan kukuh, ia akan memastikan penyesuaian berkala dalam kedua-dua pasaran tukaran mata wang asing dan dalam mata wang kita," katanya.