Bank Negara Malaysia
(BNM) akan mengumumkan prestasi suku pertama 2019 pada 16 Mei ini. Pada suku
keempat 2018, Malaysia mencatat pertumbuhan 4.7 peratus manakala keseluruhan
tahun ialah 4.7 peratus.
Ketua Penganalisis
Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain menjangkakan negara mencatat pertumbuhan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus untuk suku pertama ini
dengan mengambil kira keseluruhan pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding
suku sebelumnya.
“Prestasi eksport dengan pembuatan dan perkhidmatan juga perlahan. Ini juga
termasuk dari segi penggunaan turut lemah. Keadaan ini disebabkan
ketidaktentuan faktor luaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Eksport Malaysia
pada Februari jatuh 5.3 peratus kepada RM66.6 bilion, terendah sejak Ogos 2016
disebabkan penguncupan dalam eksport barangan perkilangan dan produk petroleum.
Bagaimanapun menurut
RAM Ratings, prestasi dagangan diunjur kembali mencatat pertumbuhan pada Mac
apabila data-data diumumkan esok, dengan eksport meningkat 2.5 peratus manakala
import pula 2.9 peratus selepas masing-masing mencatat penurunan pada bulan
sebelumnya.
Kegusaran
Alliance DBS
Research dalam nota kajiannya berkata, prestasi lemah tahun ke tahun FBM KLCI
terus menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur susulan kurang pemangkin untuk
meningkatkan keyakinan.
“Ini dijangka
diburukkan lagi oleh musim keputusan suku bagi KDNK suku pertama 2019 akan
datang yang lemah, yang sememangnya dijangkakan pasaran.
“Kami menjangkakan
data KDNK suku pertama secara relatifnya adalah suram selepas berturutan
mencatatkan data negatif bagi indeks harga pengguna, indeks harga pembelian dan
indeks pengurus pembelian dalam beberapa bulan lepas,” katanya.
Dalam pada itu,
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid
berkata, berdasarkan data-data sedia ada, pertumbuhan KDNK pada suku pertama
berada sekitar 4.2 hingga 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan
pada suku keempat 2018.
Katanya, bagi dua
bulan pertama 2019, pertumbuhan eksport negara menguncup 0.8 peratus berbanding
pertumbuhan positif sebanyak 7.6 peratus bagi tempoh sama tahun lalu manakala
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pula perlahan pada kadar 2.5 peratus
pada dua bulan pertama 2019.
Di samping itu,
katanya, indeks sentimen pengguna dan perniagaan iaitu CSI dan BCI
masing-masing merosot pada suku pertama 2019 menjadikan momentum pertumbuhan
ekonomi Malaysia pada suku pertama 2019 adalah perlahan.
“Trend ini adalah
seiring dengan pertumbuhan ekonomi di Singapura dan Korea Selatan dengan kedua-dua
buah negara ini mencatat pertumbuhan perlahan iaitu pada kadar 1.3 peratus dan
1.8 peratus pada suku pertama berbanding 1.9 peratus dan 3.2 peratus pada suku
keempat 2018.
“Namun, kami
menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi akan lebih baik pada separuh kedua
2019 berikutan pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang dapat merancakkan
lagi sektor-sektor berkaitan seperti pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan,”
katanya.
OPR mungkin
dikurangkan
Mohd.Afzanizam berkata,
jangkaan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekiranya berlaku juga mampu
memberi suntikan keyakinan terhadap pengusaha-pengusaha dan para pengguna
berikutan kos dana yang lebih kompetitif.
Dengan jangkaan
pertumbuhan ekonomi yang lemah, Kenanga Research dalam nota kajian berkata,
pertumbuhan pinjaman mengekalkan aliran menurun pada Mac dengan mencatat paras
terendah dalam tempoh 10 bulan iaitu 4.9 peratus tahun ke tahun, berbanding
lima peratus pada Februari.
“Kami percaya BNM
kini mempunyai kelonggaran lebih besar untuk mengurangkan kadar OPR sebanyak 25
mata asas, mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 7 Mei ini,”
katanya.
Firma penyelidikan
itu berkata, kemerosotan pertumbuhan pinjaman terutamanya didorong oleh
kelembapan pinjaman yang diperuntukkan untuk pembinaan, modal kerja dan
penggunaan peribadi manakala pinjaman untuk barangan pengguna tahan lama dan
kereta penumpang terus merosot.
“Ini menunjukkan
sentimen berhati-hati yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap pertumbuhan
ekonomi yang perlahan,” katanya.
Susulan jangkaan
pengurangan OPR oleh BNM, ringgit memulakan dagangan lebih rendah pada RM4.1350
berbanding dolar AS, daripada RM4.1320 ketika ditutup pada Selasa. Pasaran
ditutup semalam berikutan cuti umum Hari Pekerja. Petang ini, ringgit ditutup
pada RM4.1365 berbanding dolar AS.
Bagi prestasi Bursa
Malaysia pula, ia susut 10.05 mata kepada 1,632.24 mata dengan 669 kaunter rugi
manakala 225 kaunter untung dan 348 kaunter tidak berubah. Ia menyaksikan 2.679
bilion saham diniagakan bernilai RM1.95 bilion berbanding pada Selasa, 2.527
bilion saham bernilai RM1.637 bilion.