RUSUHAN di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini, amat membimbangkan jika tidak diurus dengan baik dan berkesan.
Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan budaya yang pada asasnya hidup secara aman dan damai. Kepelbagaian ini satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita.
Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa, namun sebagai negara dengan rakyat berbilang kaum dan budaya, masyarakat kita kadangkala berdepan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian.
Isu ini selalunya menyentuh soal perbezaan kefahaman mengenai agama, budaya dan kaum masing-masing. Justeru, perbezaan dan kepelbagaian ini perlu ditangani dan diuruskan sebaik mungkin untuk mengelakkan tercetusnya sebarang perkara tidak diingini.
Dialog kurangkan prasangka
Antara yang boleh dilakukan ialah memberi ruang kepada dialog yang sihat supaya dapat dikurangkan prasangka dan dipupuk semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perlu ada penjelasan dari perspektif keagamaan mengenai prinsip kepelbagaian kepada masyarakat bagi memberi kefahaman lebih baik bahawa pentingnya memastikan perpaduan dan kehidupan yang harmoni agar dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan.
Wacana akademik atau seminar juga dapat meningkatkan interaksi positif dalam masyarakat majmuk Malaysia serta membincangkan kefahaman mengenai nilai agama untuk membantu menangani isu sejagat yang menggugat manusia secara keseluruhannya.
Dialog antara agama dapat meneruskan kesinambungan hubungan etnik, perpaduan, keharmonian, tolak ansur, saling hormat dan juga menghindarkan konflik dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Konflik ialah pertembungan dua pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan berbeza dan saling bersaing. Menurut Destuch, konflik tercetus apabila terdapat perbezaan matlamat, jangkaan, kemahuan dan cara pendekatan antara dua pihak.
Tokoh falsafah politik Inggeris, Thomas Hob-bes pula menyatakan konflik sentiasa wujud selagi ada kuasa kerana masyarakat akan sentiasa bersaing dan berlumba untuk mendapatkan kuasa atau kedudukan yang ditakrifkan sebagai sumber yang terhad.
Faktor pencetus
Secara umum, konflik boleh berlaku bila-bila masa, namun kita perlu menyedari kewujudan pemangkin, pendorong atau faktor tertentu yang mungkin boleh membawa kepada tercetus konflik itu.
Antara faktor konflik yang sudah diteliti oleh sarjana termasuk biologi, psikologi, geografi yang merangkumi aspek sempadan atau tanah, demografi, ideologi, agama, budaya dan faktor sosioekonomi.
Kepelbagaian agama yang wujud dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang boleh mencetuskan konflik, antaranya ialah perbezaan pegangan ajaran agama, sikap penganut agama bertindak di luar batasan yang digariskan agama dan undang-undang negara serta salah faham antara agama atau dalam kalangan agama yang sama.
Salah satu konflik agama yang signifikan dalam sejarah dunia ialah Perang Salib di antara Islam dan Kristian yang bermula pada 1096 dan berakhir pada 1291, iaitu 195 tahun. Dalam konteks sejarah moden dunia, terdapat beberapa konflik agama seperti di Sudan, Indonesia, Kashmir, Bosnia-Herzegovina dan juga di Ireland Utara yang mengorbankan banyak nyawa.
Idea untuk mengatasi konflik keagamaan bukan sesuatu hal yang baharu, bahkan sepanjang sejarah, ramai telah berusaha untuk menyelesaikan semua konflik agama.
Masalahnya berpunca dari pihak yang berusaha untuk melakukan perkara ini dengan menjadikan agama mereka sebagai satu-satunya agama, lalu berusaha untuk menghapuskan semua agama lain.
Pendekatan berbeza
Untuk itu, kita perlu menemukan pendekatan yang berbeza dan tidak sukar untuk mencapainya.
Berdasarkan punca konflik antara agama, dapat dilihat bahawa ia berlaku dalam kalangan orang yang tidak memahami agama lain dengan lebih baik.
Oleh itu, seminar atau dialog antara agama perlu kerap dianjurkan untuk memberikan pemahaman pelbagai agama yang lebih mendalam kepada masyarakat, terutama masyarakat yang sedang berkonflik.
Dalam konteks ini, mata pelajaran umum seperti kursus tamadun Islam dan tamadun Asia serta kursus hubungan etnik boleh menjadi kursus wajib kepada pelajar universiti awam dan swasta di Malaysia.
Ini satu pendekatan yang tepat kerana kursus ini mendedahkan pelajar mengenai perbezaan tamadun dan agama yang wujud serta menjelaskan dialog antara tamadun bagi mengelakkan konflik.
Kepelbagaian masyarakat di dunia harus difahami bukan sahaja boleh dipecah dalam kelompok etnik berbeza-beza, tetapi juga membabitkan pembahagian kelompok agama yang pelbagai.
Oleh itu, saling memahami antara agama dapat mengurangkan salah faham, contohnya memahami nilai murni antara agama, perayaan serta kepercayaan agama lain. Selain itu, saling menghormati kepelbagaian agama juga salah satu cara mengatasi konflik agama.
Setiap orang haruslah memuliakan tanpa mengambil kira perbezaan kebudayaan serta saling menghormati perbezaan agama tanpa mencetuskan konflik. Dengan itu, masyarakat dapat menjamin keamanan dan kedamaian supaya setiap orang boleh hidup dengan selesa.
Fanatik agama
Pada umumnya selama ini, sebahagian besar budaya keagamaan dunia dipengaruhi beberapa atau semua faktor yang kontroversial. Faktor ini tidak hanya mendorong konflik, malah mengembangkan konflik.
Dengan membiarkan konflik dan ketegangan ini berlanjutan, ada pihak yang akan membawa budaya mereka menjadi bentuk ekstremisme dan fanatisme.
Jadi, jika ingin mengurangkan konflik, semua pihak perlu mencari penyelesaian berbeza terhadap agama, iaitu pendekatan yang tidak dikuasai elemen kontroversi. Kita perlu mencari pendekatan yang mempromosi pemahaman, toleransi, bahkan kesatuan antara orang beragama.
Dalam hal itu, sangat penting untuk mengakui bahawa budaya agama sebahagian besarnya dipengaruhi beberapa elemen ini.
Secara jelas, tidak semua pihak menjadikan elemen itu sebagai ekstrem, namun setiap pihak yang bertoleransi dalam hal ini akan mengurangkan elemen konflik dengan memberi sumbangan untuk mempertahankan budaya umum.
Sememangnya, konflik agama boleh diatasi dengan pelbagai kaedah, namun yang akan menentukan sama ada ia berjaya atau tidak ialah individu dan masyarakat beragama itu sendiri.
Terdapat banyak kebaikan yang pasti diperoleh dengan mengehad dan membanteras konflik agama dalam kalangan masyarakat.
Sebagai masyarakat bertamadun, kita tidak sewajarnya membiarkan konflik agama timbul atau berulang kerana akan memberi kesan kepada masyarakat beragama dan generasi akan datang.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/12/509258/kepelbagaian-agama-budaya-perlu-dihormati