Revolusi Industri 4.0 dijangka akan membawa perubahan drastik dan akan mengubah gaya hidup manusia. Perkembangan teknologi yang begitu pesat tentunya tidak dapat disekat dan kesannya pasti akan dirasai di serata dunia, termasuklah Malaysia.
Menurut Profesor Klaus Schwab, pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum, Revolusi Industri 4.0 menggabungkan dunia biologikal, fizikal dan digital dan menghasilkan pelbagai teknologi baharu yang memberikan kesan kepada pelbagai disiplin, ekonomi dan industri.
Melalui perkembangan teknologi automasi, robotik, pengkomputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan (atificial intelligence) dan internet untuk segala-galanya (Internet of Things, IoT) dan komunikasi, kerja-kerja berbentuk rutin bakal diganti oleh mesin ataupun robot.
Perkembangan teknologi yang pesat ini dikhuatiri boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan terutamanya golongan pekerja separuh mahir yang terlibat di dalam kerja-kerja berbentuk rutin.
Dengan berubahnya suasana dan cara bekerja, kemahiran-kemahiran yang diperlukan dari tenaga pekerja juga berubah mengikut keperluan dan perkembangan teknologi.
Menurut World Economic Forum, 10 kemahiran teratas yang diperlukan di dalam Revolusi Industri 4.0 ialah seperti berikut:
- Kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks
- Pemikiran kritis
- Kreativiti
- Pengurusan sumber manusia
- Penyelarasan dengan individu-individu lain
- Kecerdasan emosi (emotional intelligence)
- Menilai dan membuat keputusan
- Berorientasikan khidmat
- Membuat rundingan
- Keanjalan kognitif
Persoalan yang timbul adalah bagaimanakah Malaysia dapat memastikan tenaga kerja tempatan dapat memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.
Untuk kekal relevan, tenaga kerja yang sudah berada di alam pekerjaan tentunya memerlukan latihan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan sesuai dengan perubahan yang berlaku di tempat kerja. Hal ini memerlukan sumber dan komitmen dari semua pihak yang berkaitan, sama ada kerajaan, majikan dan pekerja-pekerja itu sendiri.
Untuk membekalkan tenaga kerja pada masa hadapan pula, pendekatan baru di dalam sektor pendidikan dengan mengambil kira keperluan pasaran pekerjaan berteraskan Revolusi Industri 4.0 amatlah diperlukan. Inisiatif-inisiatif yang kreatif dan inovatif dalam pendidikan mestilah dimulakan dari sekarang kerana pelajar hari inilah yang bakal menjadi tenaga kerja pada masa hadapan.
Pelajar-pelajar mestilah dilatih untuk berfikiran kritis, kreatif dan inovatif seawal peringkat pra-persekolahan lagi. Dengan kata lain, pendekatan sehala di dalam bilik darjah atau dewan kuliah tidak lagi sesuai. Golongan pendidik pula mestilah diberi latihan yang secukupnya untuk menyediakan pelajar alaf baru yang bersedia memasuki alam pekerjaan yang sangat berbeza apabila tamat pengajian nanti.
Kerjasama di antara univesiti dan industri pula adalah amat penting untuk memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. Dalam hal ini, ekosistem dan suasana yang kondusif mestilah diwujudkan supaya kerjasama di antara universiti dan industri dapat dilipatgandakan dan menghasilkan keputusan yang diharapkan.
Usaha-usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang terlibat dalam perniagaan berteraskan teknologi dan inovasi mestilah dimulakan dari peringkat persekolahan lagi. Selain itu juga, keusahawanan sosial (social entrepreneurship) juga mestilah digalakkan untuk menyumbang ke arah pembangunan yang lebih inklusif.
Cabaran kita hari ini ialah untuk memastikan bahawa pelajar-pelajar Malaysia tidak ketinggalan dalam mendapat pendedahan dan kemahiran yang diperlukan pada abad ke-21 ini. Pada masa yang sama, suasana pendidikan yang ceria dan sihat hendaklah diwujudkan supaya tidak menimbulkan tekanan berlebihan kepada pelajar dan ibu bapa. Dalam hal ini, inovasi dalam pendidikan yang dilaksanakan di negara-negara lain boleh diambil contoh dan disesuaikan mengikut keperluan, nilai dan budaya tempatan.
Namun mungkin langkah pertama yang diperlukan ialah transformasi minda dalam kalangan masyarakat di negara ini di semua peringkat, tidak kira kerajaan, pendidik, industri mahu pun rakyat . Untuk itu, kesedaran mestilah ditingkatkan di kalangan semua pihak agar usaha-usaha untuk melengkapkan tenaga kerja negara untuk memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 dapat dijayakan.
Secara keseluruhannya, usaha-usaha yang komprehensif adalah diperlukan untuk menyediakan sumber tenaga manusia yang diperlukan Revolusi Industri 4.0 bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang. Dalam hal ini, kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa. Walaupun inisiatif-inisiatif berpandukan dasar dan perancangan ini dipacu oleh pihak kerajaan, kerjasama dan komitmen daripada semua pihak amatlah diperlukan.
*Mohammad Abdul Hamid, Penulis ialah seorang jurutera bertauliah, YDP IKRAM Bandar Tun Razak dan sedang mengikuti program Sarjana Polisi Awam di Universiti Malaya.
https://alhijrahnews.com/2019/01/17/revolusi-industri-4-0-sediakah-malaysia/