TIMBALAN Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abdul Rahman merasmikan Pameran dan Persidangan Pelabuhan dan Perkapalan ASEAN ke-16 di Johor Bahru, hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor (JPA), Muhammad Razif Ahmad. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Langkah meningkatkan perdagangan intra-ASEAN akan turut melonjakkan kapasiti penggunaan pelabuhan di rantau ini, kata Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor (JPA), Muhammad Razif Ahmad.
Malah, katanya, kalangan penggiat industri pelabuhan dan perkapalan ASEAN juga sedang giat melaksanakan usaha promosi perdagangan selain persiapan sewajarnya agar seiring dengan perkembangan terbabit.
"Saya percaya pelabuhan-pelabuhan ini akan mendapat manfaat dari segi kehadiran para pelabur. Tidak kiralah sama ada pelaburan itu ke Malaysia atau negara-negara lain ASEAN kerana jika ia melibatkan dagangan barangan, sudah pasti akan turut menyaksikan peningkatan pergerakan (barangan) dalam rantau ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pameran dan Persidangan Pelabuhan dan Perkapalan ASEAN ke-16 di sini, hari ini.
Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abdul Rahman.
Mengulas selanjutnya, Muhammad Razif berkata pelabuhan-pelabuhan ASEAN juga mempunyai potensi yang besar sejajar kedudukan ASEAN sebagai ekonomi ketiga terbesar di rantau itu dan yang ketujuh di peringkat global.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan bahawa pelabuhan-pelabuhan di Malaysia adalah jauh ketinggalan berbanding saingan terdekat, Singapura, dari segi kecekapan operasi.
Namun beliau memetik kajian oleh satu badan bebas yang tidak dinamakannya yang menunjukkan Malaysia adalah setanding dengan Singapura.
Terdahulu ketika berucap, Mohd Khairul Adib berkata pelabuhan Malaysia mengendalikan sejumlah 23.9 juta unit kontena 20 kaki (TEU) pada tahun lepas dengan nilai keseluruhan kargo sebanyak RM480 bilion berbanding 4.6 juta TEU pada 2000.
Menurutnya, dua pengendali utama pelabuhan kontena, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), juga secara konsisten tersenarai antara 20 pelabuhan utama kontena global dengan senarai terbaharu menunjukkan Pelabuhan Klang di tempat ke-13 manakala PTP di kedudukan ke-19 dari segi jumlah kendalian kontena. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/07/445152/peningkatan-dagangan-intra-asean-beri-manfaat-pelabuhan-serantau