PELABUHAN KLANG: Pelabuhan Klang dijangka memainkan peranan penting dalam pembangunan perdagangan luar dan ekonomi Malaysia, kata Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Kapten K Subramaniam.
Subramaniam berkata, ia seiring keupayaan pelabuhan itu yang menjalin hubungan dagangan dengan 120 negara selain berurusan dengan lebih 500 pelabuhan asing di serata dunia.
"Lokasi yang ideal itu menjadikannya tempat persinggahan untuk kapal yang menggunakan laluan dagangan Timur Jauh-Eropah," katanya.
Maklumat PKA menunjukkan Pelabuhan Klang merupakan antara pelabuhan kontena utama dunia dan mengendalikan sebanyak 13.2 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki) pada 2016 iaitu peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding 2015.
Daripada jumlah itu, aliran trafik domestik adalah 4.102 juta TEU atau 31.15 peratus manakala penghantaran melibatkan 9.07 juta TEU atau 68.85 peratus.
Angka itu dijangka mencecah 16.3 juta menjelang 2020 yang menghampiri kapasiti maksimum.
"Berikutan itu, kerajaan Malaysia kini dalam proses untuk membangunkan bandar pelabuhan di Pulau Carey yang terletak berdekatan Pelabuhan Klang," katanya.
Subramaniam berkata, dua terminal Pelabuhan Klang iaitu Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat masing-masing mampu mengendalikan kontena sebanyak 3.224 juta TEU dan 9.946 juta TEU.
Katanya, sebanyak 16,500 kapal singgah di pelabuhan utama itu.
"Kami adalah pelabuhan ke-12 terbesar dunia pada 2015, namun sudah berganjak ke tempat ke-11. Pelabuhan ini juga boleh mengendalikan kapal mega generasi baharu (syarikat) COSCO, Maersk dan sebagainya. Malah, ada 35 syarikat perkapalan yang singgah di sini," katanya.
Subramaniam berkata, kapasiti kendalian pelabuhan itu adalah sehingga 17.6 juta TEU.
Katanya, ia mencecah 13.17 juta TEU pada 2016 dan telah menambah empat juta TEU lagi yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang 2019.
Beliau juga melihat 2017 sebagai kemungkinan tahun mencabar susulan proses mengukuhkan kapasiti yang akan memberi kesan terhadap aliran trafik pelabuhan berkenaan.
Sementara itu, menurut PKA, rancangan pembangunan terminal baharu di Pulau Carey itu dijangka membabitkan pembinaan sebuah pelabuhan baharu dengan kapasiti kendalian sebanyak 30 juta TEU setahun.
Ia dilihat sebagai satu keperluan memandangkan kesesakan trafik di Pelabuhan Klang berkenaan. -BERNAMA
https://www.bharian.com.my/node/268385