Tuesday, August 20, 2019

Pelabuhan ASEAN perlu jalin hubungan baik dengan China - PKA

KLANG: Pelabuhan ASEAN perlu menjalin hubungan perdagangan yang baik selain negara anggotanya, terutamanya China untuk menyaksikan peningkatan dalam pengendalian kontena ke rantau ini dari republik itu, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Tan Sri Kong Cho Ha.
Beliau berkata, ini penting dengan mengambil kira kapasiti semasa Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Malaysia serta Pelabuhan Singapura yang menjadi pelabuhan pindah kapal penting bagi China.
"Dengan melihat peningkatan berterusan China sebagai kuasa ekonomi, kita perlu terlibat dengannya (China) untuk meningkatkan perdagangan dengan membawa jumlah kargo yang lebih tinggi ke dalam ASEAN," katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Pelabuhan ASEAN (APA) Ke-36 di sini hari ini.
Kong berkata, pelabuhan ASEAN kini sedang menaik taraf kemudahan infrastruktur dan sumber mereka untuk menyokong perdagangan yang lebih besar dengan China.
Beliau berkata, perkembangan ini telah mendapat manfaat daripada limpahan perdagangan yang lebih baik antara rantau ini dan China, dengan peningkatan berterusannya sebagai kuasa ekonomi.
Kong berkata, Pelabuhan Klang, Malaysia mewujudkan hubungan dengan tujuh buah pelabuhan di China - Shanghai, Ningbo, Tianjin, Guang­zhou, Xiamen, Dalian dan Fuzhou.
Beliau berkata, hubungan itu akan meningkatkan pembangunan di kedua-dua buah negara dari segi perdagangan, logistik dan pelancongan.
"Ini sejajar dengan Inisiatif China - Laluan Sutera Maritim (MSR) Abad Ke-21, yang telah menjadikan Pelabuhan Klang sebagai antara pelabuhan paling penting dalam menyokong inisiatif ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kong berkata pelabuhan Malaysia mengendalikan 22 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pada 2014, 10.95 juta TEU daripada jumlah itu dikendalikan oleh Pelabuhan Klang dan 8.7 juta TEU oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Beliau berkata, Pelabuhan Klang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.6 peratus dari segi pengendalian kontena pada separuh pertama tahun ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Kong berkata APA adalah forum penting bagi pelabuhan Asean untuk bertukar-tukar pengalaman dalam usaha menangani cabaran dan mencari kaedah untuk meningkatkan peluang dan kelebihan.
- BERNAMA
https://www.bharian.com.my/node/72301