JOHOR BAHRU: Kemudahan pelabuhan menjadi komponen penting dalam pembangunan ekonomi negara ini apabila mencatatkan sejumlah 23.9 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki), sepanjang tahun lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abdul Rahman, berkata jumlah berkenaan jauh berbeza berbanding 4.6 juta TEU yang dicatatkan pada 2000.
Katanya, perkara itu juga disokong dengan nilai keseluruhan kargo yang dikendalikan di pelabuhan negara ini iaitu berjumlah RM480 bilion iaitu sekitar 40 peratus jumlah perdagangan luar Malaysia.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan pelabuhan di negara ini menunjukkan prestasi memberangsangkan terutama bagi dua pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas.
"Kedua-dua pelabuhan ini juga dinobatkan antara 20 pelabuhan ternama di dunia yang mana pada tahun lalu, Pelabuhan Klang berada pada tangga ke-13 dan Tanjung Pelepas di tangga ke-19," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Pelabuhan dan Penghantaran ASEAN kali ke-16 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan LPJ (Tanjung Pelepas), Datuk Abdul Rahim Ramli; Pengurus LPJ, Muhammad Razif Ahmad dan Pengarah Urusan Transport Event Management, Rory J Doyle.
Seramai 300 peserta dari organisasi tempatan dan luar negara hadir dalam persidangan yang berlangsung hari ini.
Beberapa siri forum bersama Speaker dan pakar jemputan turut diadakan pada persidangan itu.
Selain itu, seramai 30 pempamer dari seluruh negara turut mempamerkan pelbagai produk berkaitan pelabuhan dan penghantaran dalam majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Khairul berkata, pengangkutan maritim sememangnya memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi ASEAN dan dapat merealisasikan pelaksanaan dan kejayaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025.
"Persidangan dan pameran seperti ini penting untuk menambah pengetahuan serta maklumat berkaitan pelabuhan dan penghantaran dalam kita memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
30 dibaca
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/445140/pelabuhan-komponen-penting-bangun-ekonomi-negara