TANGGAL 31 Ogos
1957 menjadi satu tarikh keramat apabila Perdana Menteri pertama, Almarhum
Tunku Abdul Rahman Putra A-Haj yang turut dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan
telah melaungkan perkataan merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Kemerdekaan yang
dicapai itu membolehkan negara Malaysia yang bertuah ini bebas daripada
cengkaman penjajah.
Perjuangan untuk
mendapatkan kemerdekaan tidak semudah yang disangka dan ada rakyat pada ketika
itu sanggup mengadai barangan kemas bagi membolehkan Tunku Abdul Rahman ke
London untuk menuntut kemerdekaan.
Sejak mendapat
kemerdekaan saban tahun menjelang bulan Ogos akan kelihatan bendera-bendera
Malaysia berkibar di merata tempat bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan.
Bagaimanapun, kini apa yang boleh diperhatikan setelah Malaysia merdeka lebih
60 tahun, semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda untuk bersama
menyambut kemerdekaan semakin berkurang.
Bagi seorang warga
emas, Azmi Itam,
64, menjelaskan, kemeriahan menyambut kemerdekaan dahulu lebih meriah
berbanding sekarang.
Jelasnya, dia masih
ingat ketika kecil, dia bersama rakan-rakannya di Bedong, Kedah sanggup masuk
ke hutan bagi mencari buluh untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
“Pada ketika itu,
menjelang sambutan kemerdekaan ada individu yang mengedarkan Jalur Gemilang ke
rumah-rumah dan kami kemudiannya akan mencari buluh untuk mengibarkannya.
“Kemeriahan pada
ketika itu bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang malahan ada penduduk kampung
yang berlumba-lumba menunjukkan semangat patriotik mengikut kreativiti
masing-masing,” jelasnya.
Azmi menjelaskan
dahulu dia sering membawa anak-anaknya untuk melihat perarakan kemerdekaan di
Dataran Merdeka.
Suram
Jelasnya, kini apa
yang dia perhatikan semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan semakin luntur
terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Saya telah
berhijrah ke Kuala Lumpur sejak 40 tahun lalu dan pada ketika itu banyak kedai
dan bangunan yang memasang bendera Malaysia saat menjelang bulan kemerdekaan.
“Seingat saya sekitar
20 tahun lalu menjelang bulan kemerdekaan, kenderaan seperti kereta dan
motosikal juga dipasang dengan bendera. Tapi kini tidak ramai anak muda yang
sanggup berbuat demikian,” jelasnya kepada Kosmo!
baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan
dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr.
Zaid Ahmad berkata, ekspresi meraikan Hari Kebangsaan dalam
kalangan generasi muda kini dilihat semakin suram.
Jelasnya, tahun ini
Malaysia mengecapi kemerdekaan yang ke-61 dan ia diraikan oleh generasi kedua
dan ketiga selepas merdeka.
“Pada pendapat saya,
generasi pertama pasti akan merasai erti kemerdekaan kerana mereka telah
berjuang dengan darah dan air mata untuk mendapat kemerdekaan. Generasi kedua
pula bertanggungjawab untuk membangunkan negara selepas mendapat kemerdekaan
dan semangat patriotisme itu masih ada dalam diri.
“Generasi ketiga
adalah mereka yang mewarisi nikmat kejayaan kemerdekaan yang diperoleh oleh
negara. Mereka ini dilahirkan dalam keadaan negara lengkap dengan segala
kemudahan,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambahnya, perkara
itu kadangkala memuatkan mereka terlupa akan erti kemerdekaan dan tidak
bersemangat untuk bersama meraikannya.
Pengorbanan
Zaid menjelaskan,
kita sebenarnya sudah terbabas dari segi menanam semangat patriotisme dalam
kalangan generasi muda.
Tegasnya, kini
sambutan kemerdekaan dizahirkan dalam bentuk hiburan dan ia tidak akan menyemai
semangat tersebut dalam jiwa mereka.
“Untuk menyemai
semangat patriotisme ini ia bukan sekadar dalam bentuk mengibarkan bendera dan
memeriahkan sambutan malam merdeka semata-mata.
“Sebaliknya semangat
ini perlu dizahirkan dalam bentuk pengorbanan dalam membantu mereka yang banyak
berjasa dalam menuntut kemerdekaan.
Jika semangat
patriotisme ini ada dalam kalangan masyarakat amat tinggi saya percaya Tabung
Hari Pahlawan untuk membantu mereka yang banyak berjasa untuk negara tidak
perlu dilakukan. Sebaliknya, masyarakat akan mempunyai kesedaran yang
tersendiri untuk membantu,” tegasnya.
Zaid menambah, dalam
mendidik masyarakat erti patriotisme, tayangan drama atau filem-filem tentang
perjuangan kemerdekaan harus diperbanyakkan.
“Kita mempunyai
pejuang-pejuang kemerdekaan dan cerita mereka boleh dizahirkan dalam bentuk
drama atau filem. Sepatutnya drama dan filem ini dipelbagaikan dan ditayangkan
bukan hanya pada bulan kemerdekaan semata-mata.
“Syarikat milik
kerajaan misalnya melalui tanggungjawab sosialnya boleh menyediakan dana untuk
penggiat seni ini untuk menghasilkan drama atau filem sedemikian bagi menyemai
semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.