Oleh Dr
Shamrahayu A Aziz
HUBUNGAN antara kedaulatan undang-undang dan demokrasi
begitu penting untuk kita bincangkan. Jelasnya sekarang rata-rata masyarakat
kita terpesona dengan istilah demokrasi walaupun pemahaman mengenai demokrasi
dan kesannya masih nipis.
Adakalanya yang difaham dalam istilah demokrasi itu
cuma sekadar pilihan raya bebas serta kebebasan asasi, terutama kebebasan bersuara.
Kedaulatan undang-undang pula, mengikut difaham,
meletakkan tanggungjawab ke atas semua pihak untuk mentaati undang-undang. Oleh
itu, kedaulatan undang-undang adalah penting untuk demokrasi kerana ia
menetapkan asas untuk mana demokrasi itu berpegang.
Antara hasil proses demokrasi menerusi pilihan raya
ialah undang-undang. Ada pelbagai jenis undang-undang, termasuk undang-undang
menentukan hal berkaitan peruntukan sumber awam; yang memberi kuasa kepada
pegawai awam bertindak bagi pihak masyarakat dan ada juga menentukan norma
tingkah laku atau perbuatan yang boleh diterima dan dilarang dalam masyarakat
seperti undang-undang jenayah.
Demokrasi, melalui sistem pilihan raya melantik
penggubal undang-undang. Mereka berbahas dan meluluskan undang-undang yang
dianggap suara kolektif rakyat.
Dikawal Perlembagaan
Dalam berbahas dan bersetuju membuat undang-undang,
penggubal undang-undang yang dipilih melalui proses demokrasi itu dikawal oleh
Perlembagaan. Maksudnya, setiap undang-undang diluluskan dewan perundangan
hendaklah selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Oleh kerana Perlembagaan itu dokumen yang boleh
dicorak tafsirannya, maka demokrasi membolehkan Perlembagaan dibaca mengikut
kehendak penggubal undang-undang. Sebagai contoh, sekiranya piawaian Perlembagaan
disekularkan, maka undang-undang diluluskan dewan perundangan melalui proses
demokrasi itu akan menjadi sekular.
Kemudian, dalam proses demokrasi juga prinsip
kedaulatan undang-undang, kita mempunyai sistem mahkamah yang memainkan peranan
penting dalam membuat tafsiran undang-undang. Sekiranya sesuatu undang-undang
itu dibawa ke hadapan mahkamah dan mahkamah mengambil pendekatan sekular, maka
undang-undang terbabit bersifat sekular.
Dalam dua keadaan ini, dapatlah kita lihat bagaimana
nanti demokrasi mengawal kedaulatan undang-undang dan memonopoli penggunaan
kuasa ketika menggubal undang-undang walaupun dalam amalan kita demokrasi
mungkin tidak mengawal mahkamah. Monopoli terbabit sah dari segi perundangannya
(menurut demokrasi), tetapi dari satu sudut lain, demokrasi boleh dilihat
sebagai ancaman kepada kedaulatan undang-undang.
Usah terpesona
Janganlah terkejut pula jika dikatakan demokrasi
menjadi ancaman kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Demokrasi membolehkan
penggubal undang-undang, secara sah dari sudut perundangan untuk membuat
undang-undang mengikut kehendak mereka sekiranya berjaya mendapat sokongan
majoriti ahli dewan perundangan.
Oleh itu, menerusi pilihan raya, demokrasi boleh
memilih pimpinan yang disukai majoriti dan seterusnya menjadi penggubal
undang-undang. Umpamanya, majoriti boleh memilih pimpinan yang rasis; majoriti
juga boleh memilih pimpinan yang tidak mementingkan agama dalam pentadbirannya.
Sekiranya pemilihan menerusi demokrasi berlaku sebegini, undang-undang akan diwarna
mengikut corak kemahuan demokrasi itu.
Oleh itu, amat penting untuk kita menentukan struktur
asas Perlembagaan supaya Perlembagaan tidak ditafsir (sama ada oleh penggubal
undang-undang atau mahkamah) mengikut kehendak demokrasi yang tidak berpendirian
dan tidak berprinsip. Demokrasi hendaklah berpaksi kepada sifat keluhuran
Perlembagaan yang mempunyai struktur asas.
Kita janganlah terlalu terpesona dengan 'demokrasi'.
Kita juga jangan begitu terpesona kepada perjuangan parti politik, yang mahu
membentuk masyarakat demokratik dan mahu membentuk Perlembagaan kepada prinsip
sekular.
Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang
dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)