Oleh Datuk Dr Wan
Ahmad Fauzi Wan Husain
TRANSFORMASI Nasional 2050 (TN50) ialah gagasan besar
kerajaan untuk mengenal pasti aspirasi rakyat berbilang agama, etnik dan
keturunan yang dilihat kritikal bagi maksud penetapan hala tuju nasional pada
masa hadapan.
Matlamat TN50 perlu dilihat secara objektif dan
positif.
Sebagai negara bercirikan persekutuan yang terasas
daripada dua perjanjian utama, iaitu pada peringkat Persekutuan Tanah Melayu
dan Malaysia, prinsip kedaulatan yang termaktub dalam kedua-dua perjanjian itu
hendaklah mendasari hala tuju TN50.
Rencana ini bertujuan menonjolkan prinsip kedaulatan
sebagai landasan TN50.
Prinsip kedaulatan ialah prinsip undang-undang yang
terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan selari dengan konsep kedaulatan
negara. Pematuhan pada Perlembagaan Persekutuan amat penting kerana di situlah
terletaknya kedaulatan undang-undang.
Faham kedaulatan negara dari aspek konsepnya, dapat
menjelaskan prinsip kuasa eksekutif dan undang-undang yang dijunjung
Perlembagaan, sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri.
Antara ciri kedaulatan itu dapat dilihat pada pihak
yang menginstitusikan Perlembagaan.
Sejarah pembentukan
Sejarah tanah air menunjukkan bahawa pembentukan
Malaysia tidak bermula daripada kekosongan. Ia bermula dengan peletakan batu
asas melalui Perjanjian Negeri 1948 bertarikh 21 Januari 1948, ditandatangani
sembilan Raja yang berdaulat dengan Kerajaan British.
Kedudukan British sebagai negara pelindung yang
fungsinya termaktub dalam perjanjian terdahulu.
Sir John Anderson, Pesuruhjaya Tinggi British ketika
menandatangani perjanjian penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan 1909 pada 20
Oktober 1909, menegaskan bahawa British sentiasa akur pada hakikat kedudukan
mereka di negeri Melayu ialah menerusi perkenan Raja-Raja Melayu.
Malah, kuasa mereka diperoleh daripada kedaulatan
Raja-Raja Melayu sepenuhnya. Beliau juga mengesahkan tugas pihak British
hanyalah sebagai penasihat atau kaunselor kepada Raja-Raja Melayu.
Atas keyakinan terhadap ketulusan dan komitmen British
untuk sentiasa mematuhi perjanjian yang melindungi kedaulatan Raja-Raja Melayu,
pembesar bersetuju memberi perkenan pelantikan Penasihat British seawal 1874.
Atas keyakinan sama, Raja-Raja Melayu bersetuju menubuhkan
Majlis Persekutuan pada 1895.
Selanjutnya, apabila gagasan Malayan Union ditolak
kerana didapati bercanggah dengan representasi yang dibuat oleh Sir Harold
McMichael dalam 1945, selain adanya unsur paksaan kepada Raja-Raja Melayu,
sebuah Jawatankuasa Kerja Penggubalan Perlembagaan 1946 ditubuhkan.
Jawatankuasa kerja itu terdiri daripada wakil
Raja-Raja Melayu, wakil UMNO dan Kerajaan British. Keputusan penting yang
dirakamkan ialah ketetapan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah
ditakrifkan menurut adat Melayu.
Susulan itu juga, Klausa 15 dalam setiap Perjanjian
Negeri 1948 menetapkan bahawa ciri kedaulatan Raja-Raja Melayu yang terdiri
daripada prerogatif, kuasa dan bidang kuasa hendaklah seperti yang dimiliki
oleh baginda pada 1 Disember 1941, sebelum tarikh pendudukan Jepun lagi.
Ciri sebenar kedaulatan negara
Selanjutnya, kedaulatan Persekutuan berkonsepkan
Raja-Raja Melayu terus dikekalkan dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu 1957.
Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi:
"Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan,
prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang
kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah
masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap
dan tidak terjejas".
Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
1957 oleh Raja-Raja Melayu dan kelangsungan kedaulatannya dalam Perlembagaan
Persekutuan secara langsung menjelaskan ciri sebenar kedaulatan negara.
Menurut 'Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens,
Governan & Prinsip Perlembagaan', kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada
1 Disember 1941 bersumberkan ajaran Islam berserta pemakaian adat Melayu yang
tidak bercanggah dengan prinsip perundangan Islam.
Kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada 1 Disember
1941 bukan sahaja satu peruntukan dalam Perjanjian Negeri 1948 bahkan
direkodkan oleh Suruhanjaya Reid 1957.
Secara implikasinya, oleh sebab kedaulatan negara
berkonsepkan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam, prinsip Perlembagaan
negara semestinya perlu berada dalam kerangka kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Justeru, amat mustahak difahami bahawa kedudukan
seorang Raja sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT, tidak
membenarkan baginda meluluskan undang-undang atau dasar atau keputusan yang
bercanggah dengan hukum syarak.
Prinsip sama terpakai kepada perdana menteri, menteri
dan mereka yang melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Persekutuan seperti
termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan prinsip kuasa eksekutif Persekutuan
Perkara 39 berbunyi: "Kuasa eksekutif Persekutuan
hendaklah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan
mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah
dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui
undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain".
Justeru, dalam pelaksanaan prinsip kuasa eksekutif
Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong apabila menimbangkan rang undang-undang,
dipandu oleh prinsip perundangan Islam, termasuk doktrin tadbir urus yang baik
dan kaedah maqasid as-syar'iyyah.
Selanjutnya, kedaulatan Yang di-Pertuan Agong didapati
tidak terhakis dengan semata-mata berlakunya pindaan untuk menguatkuasakan
doktrin nasihat melalui Perkara 40 (1A) dan Perkara 66 Perlembagaan
Persekutuan.
Begitu juga dengan penghapusan imuniti Raja-Raja
Melayu daripada prosiding undang-undang melalui pindaan, antaranya dalam
Perkara-Perkara 32(1), 181(2), 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.
Doktrin nasihat itu bersamaan dengan amalan syura,
manakala imuniti tiada dalam Islam, sebaliknya Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu masih mempunyai kuasa tersimpan sebagai ketua agama dan
pemerintah tertinggi pada peringkat Persekutuan dan negeri.
Oleh yang demikian, hala tuju dan dasar TN50 dari
sudut Perlembagaan hendaklah patuh syariah serta mengambil kira jati diri watan
tanah air yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Penulis ialah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis
Ittihad Ummah