13 Februari
2016 12:42 AM
CYBERJAYA 12
Feb. – Kementerian Kerja Raya digesa memainkan peranan dalam memastikan semua
bangunan awam di negara ini diterapkan identiti seni bina Melayu bagi
mengelakkan seni bina berkenaan ditelan oleh zaman.
Penasihat
Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata,
langkah itu penting memandangkan seni bina Melayu yang mencerminkan budaya
masyarakat tempatan semakin dilupakan ketika ini.
Katanya,
perkara itu berbeza dengan pendekatan dilakukan oleh pihak berkuasa di
negara-negara asing seperti China, Jepun, Taiwan dan Eropah yang sentiasa peka
dalam soal penerapan budaya masyarakat tempatan mereka.
“Apakah
identiti masyarakat Melayu melalui seni bina sudah tidak penting lagi? Kita
pula igaukan bentuk binaan di negara asing.
“Oleh itu,
mari bersama-sama kita menemui semula Menteri Kerja Raya dan memohon kepada
beliau supaya setiap bangunan awam hendaklah berciri tempatan,” katanya ketika
berucap melancarkan buku e-Warisan Senibina di Universiti Multimedia (MMU) di
sini hari ini.
Buku yang
mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan itu menampilkan seni bina 19 bangunan
bercirikan Melayu termasuk masjid, rumah, wakaf dan istana.
Diterbitkan
dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris, buku tersebut juga menyediakan grafik
pembinaan semula lukisan terukur, pembinaan model komputer tiga dimensi dan
visual bahagian yang dibangunkan sebagai simulasi masa sebenar.
Yang turut
hadir, Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Naib
Presiden (Akademik) MMU, Prof. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.
Dalam pada
itu, ketika bercakap kepada pemberita, Rais yang juga Pengasas Yayasan Warisan
Negara berkata, usaha memperkasakan seni bina Melayu itu adalah selaras dengan
keputusan Kabinet pada 2003.
“Tetapi
entah bagaimana, perlaksanaannya kurang sejajar dengan realiti. Jadi, hari ini
kita bangkitkan semula kepentingan ini supaya seni bina Melayu tidak ditelan
zaman begitu sahaja,” katanya.
Dalam pada
itu, beliau menggesa kerajaan mewajibkan semua universiti awam yang menawarkan
pengajian bidang seni bina untuk memasukkan subjek seni bina Melayu dalam
sukatan mereka.
“Di
universiti kini tidak nampak ciri-ciri ini walaupun ia adalah gedung ilmu untuk
negara. Jika orang Melayu sendiri tidak memelihara dan memulihara budaya serta
seni binanya, kita akan ‘diglobalkan’ oleh dunia sehingga kita tiada identiti
lagi,” tegas beliau lagi.
Dalam masa
sama, beliau turut mengesyorkan agar pihak universiti mewujudkan rumah rehat,
wakaf atau tempat persinggahan bercirikan seni bina Melayu sebagai satu
inisiatif mengekal dan memperkenalkan warisan itu kepada orang ramai.