Tuesday, July 30, 2019

Isu ekonomi bukan sekadar kos sara hidup

Oleh Tamat Sarmidi

Pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk beberapa tahun kebelakangan ini sangat memberangsangkan jika dibanding dengan suasana ekonomi dunia yang muram.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mampu melepasi sasaran lima peratus untuk tempoh yang panjang. Begitu juga untuk 2018, kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan kekal melepasi tahap lima peratus.

Namun, apa yang menjadi kegusaran masyarakat ialah pertumbuhan ekonomi yang baik tidak mampu untuk mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat dengan cepat. Pertumbuhan ekonomi mencecah lebih daripada lima peratus masih belum mencukupi untuk menjamin kehidupan yang selesa, bukan sahaja di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor Bahru, malah penduduk di luar bandar turut terasa kesempitan hidup.

Statistik menunjukkan bahawa pasangan isi rumah tanpa anak memerlukan pendapatan bulanan sebanyak RM4,700 untuk menjamin kehidupan selesa di Kuala Lumpur, manakala pasangan dengan seorang anak memerlukan RM6,700 sebulan.

Dalam keadaan Malaysia beriltizam untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, ada kira-kira 27 peratus isi rumah di Kuala Lumpur hidup di bawah upah saraan, iaitu RM2,700. Lebih memeranjatkan lagi ialah 50 peratus warga kerja di Kuala Lumpur memperoleh pendapatan di bawah upah saraan.

Keadaan ini akan menjadi lebih parah lagi untuk pada masa akan datang kerana trend semasa perbelanjaan golongan berpendapatan rendah atau B40 meningkat sebanyak 6.2 peratus, berbanding dengan trend peningkatan pendapatan golongan ini yang hanya meningkat dengan kadar lebih perlahan, iaitu 5.8 peratus.

Peningkatan jurang

Jika tiada apa-apa tindakan drastik yang berkesan, peningkatan kos sara hidup yang tidak sejajar dengan peningkatan upah akan mengakibatkan peningkatan jurang ekonomi dan pelbagai masalah bukan sajhaa ekonomi tetapi masalah sosial dan kestabilan negara.

Ahli ekonomi mengenal pasti beberapa faktor utama yang mendasari berlakunya peningkatan kos sara hidup lebih tinggi berbanding dengan kenaikan upah. Antaranya ialah pertama, produktiviti buruh di Malaysia tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Natijahnya, upah yang dibawa pulang hanyalah berkadar dengan peningkatan daya kerja yang ditawar.
Kedua, lambakan buruh asing yang tidak mahir mengekalkan sektor ekonomi utama di Malaysia berintensifkan buruh tidak mahir. Diakui bahawa upah pekerja tidak mahir mengakibatkan kesan tekanan tahap upah-rendah dan sukar untuk meningkat dengan banyak.

Ketiga, dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), Malaysia masih lagi sebagai negara pengguna teknologi (adopter) dan bukannya sebagai negara pendahulu (frontrunner).

Keempat, berlakunya kelembapan dalam kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) terutama daripada Amerika Syarikat (AS) jika dibanding dengan beberapa negara serantau. Ada banyak lagi faktor yang boleh disenarai oleh ahli yang lebih pakar dalam bidang ekonomi.

Namun, jika diteliti atau diperhalusi, beberapa faktor yang dinyatakan di atas yang menjadi punca ketidakanjalan upah terhadap peningkatan kos sara hidup seperti produktiviti buruh yang rendah dan pengekalan intensif buruh tidak mahir dalam sektor utama ekonomi negara bukan punca masalah sebenar.

Faktor ini lebih kepada natijah (outcome) daripada kegagalan beberapa mekanisme pengupayaan ekonomi negara. Rawatan yang mendasari punca masalah adalah sangat mendesak dan menjadi keutamaan.

Masalah produktiviti buruh yang rendah berkait rapat dengan pengupayaan modal manusia. Modal manusia berkemahiran tahap tinggi ialah hasil daripada penguasaan pembelajaran terkini dalam bidang teknikal dan bukan teknikal.

Oleh itu sistem pendidikan pada semua peringkat, termasuk rendah, menengah, vokasional, teknik dan tertiari, yang menghasilkan modal manusia berkeupayaan tinggi dan bersifat insaniah berjati diri adalah penting.

Dalam jangka masa panjang, kegagalan sistem pendidikan untuk mencapai sasaran yang ditentukan oleh pihak industri atau majikan ialah cabaran besar kepada sistem pendidikan negara. Maklumat diperoleh daripada majikan mengatakan bahawa keupayaan kemahiran teknikal dan insaniah di Malaysia agak membimbangkan.

Pemilik program pendidikan sepatutnya merombak struktur pembelajaran mengikut keperluan semasa dan menekankan pengupayaan teknikal dan insaniah demi menambah baik sistem pendidikan sedia ada. Keengganan untuk berubah mengikut keperluan semasa akan mengakibatkan keadaan ekonomi negara lebih parah lagi dalam masa akan datang.

Pembangunan prasarana berteknologi digital dalam penghasilan barangan dan perkhidmatan di era IR 4.0 perlu dilipatgandakan, agar negara menjadi peneraju teknologi dan kecekapan ekonomi negara setaraf dengan ekonomi negara maju.

Pada masa ini, amat menyedihkan, keupayaan jalur lebar kita tiga kali lebih perlahan daripada negara pendahulu dalam bidang teknologi digital. Untuk meningkatkan keupayaan kecekapan jaringan jalur lebar, penggemblengan strategi antara kerajaan dan swasta perlu ditingkatkan ke tahap optimum.

Pengeluar barangan dan perkhidmatan di Malaysia juga perlu meningkatkan tahap kepelbagaian gabungan produk serta mencari pasaran baharu untuk merancakkan dan menstabilkan permintaan produk Malaysia.

Kembangkan sayap

Inovasi penghasilan produk di Malaysia berada pada pada tahap yang baik, namun negara serantau sedang bergerak lebih pantas. Pada masa yang sama, syarikat Malaysia perlu diberi galakan untuk mengembangkan sayap dan pelaburan ke luar negara.

Skim galakan, panduan dan pendedahan sewajarnya perlu diberi, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pada masa yang sama keupayaan menyerap limpahan pengetahuan hasil daripada FDI ke dalam negara juga perlu diberi penekanan dalam menjamin kelangsungan pemindahan teknologi yang berkesan ke dalam negara.

Bagaimanapun, ada kalanya keadaan ekonomi mengalami penyelarasan dalaman untuk menyusun agihan sumber ke tahap optimum. Sesetengah sektor akan terjejas dan jangka hayat yang tidak kekal.

Oleh itu, penggubal dasar juga tidak perlu melatah dengan kerap kali menukar dasar hanya kerana wujud ketidakberkesanan jangka pendek akibat daripada pembetulan alami terhadap ekonomi tempatan. Kajian yang menyeluruh dan terperinci dalam mengenal pasti punca kelembapan ekonomi sangat penting.

Oleh itu, penyelesaian masalah ekonomi negara perlukan kepada tindakan transformasi yang menyeluruh merangkumi pengupayaan modal insan berkemahiran tinggi melalui sistem pendidikan pada semua peringkat, prasarana terbaik bersesuaian dengan era IR 4.0 demi kemajuan berpanjangan.

Tidak kurang penting juga ialah kestabilan politik untuk terus meyakinkan mereka yang terbabit dalam aktiviti ekonomi agar terus kekal dalam negara.

Alam sekitar yang lestari dan alami menambahkan lagi jaminan kesejahteraan, sekali gus merangsang kemakmuran ekonomi negara yang berkekalan. Semua cabaran perdana ini sangat berkait rapat dengan masalah ekonomi negara dan perlu ditangani segera dengan bijaksana.

Penulis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia