Sunday, July 28, 2019

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif


Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini dilaporkan meningkat kepada RM72.4 bilion berbanding RM68.5 bilion setahun yang lepas. Dalam masa yang sama, jumlah pekerja dan gaji telah meningkat berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan jualan dari bulan ke bulan juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 10.1% dengan nilai RM6.6 bilion.

Melalui data yang dikeluarkan DOSM itu, pertumbuhan 5.7% dalam tempoh setahun ini dipacu oleh peningkatan jualan produk makanan, minuman dan tembakau (8.8%); petroleum, kimia, getah dan plastik (8.4%); barangan pengangkutan dan lain-lain (7.5%).
Selain itu, jumlah keseluruhan pekerja yang bekerja dalam sektor pembuatan juga telah meningkat sebanyak 1.8% bersamaan dengan 19,644 orang. Pada Mac 2018, jumlah pekerja ini dicatatkan berjumlah 1,068,116 dan pada Mac 2019 jumlah ini telah meningkat kepada 1,087,760.

Berdasarkan gaji yang dibayar kepada pekerja pula, bulan Mac 2019 telah menunjukkan jumlah sebanyak RM4.06 bilion. Ini adalah peningkatan sebanyak 5.1% atau bersamaan dengan RM197.1 juta berbanding setahun lepas. Purata gaji setiap pekerja pula adalah sekitar RM3,733 setiap orang.

Mengambil kira kepada jumlah jualan keseluruhan yang dinyatakan sebanyak RM72.4 bilion serta jumlah keseluruhan pekerja sebanyak 1,087,760, ini bermakna purata setiap pekerja dalam sektor pembuatan telah berjaya menjana jualan (sales value per employee) sebanyak RM66,539.