Oleh Datuk Ong Guan
Sai
Tanggal 13 Disember 2016, adalah tarikh yang memahat
detik bersejarah untuk rakyat Malaysia apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhamad
V, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, mengambil alih giliran
bersemayam di atas takhta Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15,
iaitu giliran kedua bagi Sultan Kelantan.
Institusi beraja secara keseluruhannya adalah satu
penerusan pensejarahan Tanah Melayu atau warisan yang sudah lama wujud sebelum
kedatangan penjajah Barat. Bagi menyelamat keadaan pemencilan taat setia rakyat
kepada Raja-Raja akibat dasar pecah dan perintah oleh penjajah dan tumpuan
kesetiaan rakyat yang hanya dicurahkan kepada Raja atau Sultan setiap negeri,
maka institusi Yang di-Pertuan Agong, iaitu permuafakatan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1957, dicipta.
Ini mengambil kira syor Suruhanjaya Reid bagi
melahirkan satu kepentingan bersama dengan memberi tumpuan ketaatsetiaan
berpusat dan menerima Raja-Raja Melayu sebagai objek penyatupadu melalui
institusi Yang di-Pertuan Agong. Terhasil konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan, dengan itu bermakna satu takhta baharu diwujudkan, iaitu
tempat bersemayamnya Yang di-Pertuan Agong.
Jawatan ini mempunyai dua unsur penting iaitu diwarisi
dan dilantik. Jawatan Sultan di setiap negeri diwarisi secara turun temurun,
manakala jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah jawatan dipilih secara
bergilir-gilir setiap lima tahun dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu.
Dari kaca mata demokrasi, proses pemilihan dan juga
pelantikan sedemikian boleh dianggap amalan demokratik melalui satu proses
pengundian terhad dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu, yang dikendalikan
Institusi Majlis Raja-Raja. Pemilihan ini boleh dipanggil sebagai 'Pilihan Raya
Diraja' dan satu-satunya di Malaysia. Sistem giliran dan pengundian ini tidak
ada di negara lain yang mengamalkan sistem monarki.
Simbolik perpaduan
Justeru, institusi ini dianggap sebagai 'unik dan
asli'. Sesuai dengan komposisi penduduk yang kepelbagaian dari segi etnik,
kebudayaan, agama serta geografi, Perlembagaan Persekutuan mencipta Yang
di-Pertuan Agong sebagai 'simbol perpaduan' dalam kalangan rakyat negara ini
tanpa mengira sempadan bangsa, keturunan atau asal usul, mahupun dari daerah
atau wilayah mana.
Dalam konteks ini, cuma Raja-Raja Melayu yang memilih
ketua utama negara, manakala rakyat jelata pula yang memilih ketua kerajaan,
kedua-duanya melalui proses pengundian secara demokratik. Dalam banyak keadaan,
Yang di-Pertuan Agong menjalankan pemerintahan negara mengikut nasihat Kabinet
atau Perdana Menteri (Fasal 40), kecuali beberapa perkara yang diperuntukkan
dalam Perlembagaan sebagai kuasa budi bicara.
Di samping itu juga, baginda menjalankan kuasa
mengikut fungsi seiring fungsi simbolik Yang di-Pertuan Agong, seperti
bertindak sebagai Ketua Angkatan Tentera (Fasal 41), Penyimpan Mohor Besar
Persekutuan (Fasal 36), memanggil mesyuarat Dewan Rakyat (Fasal 55), ucapan di
Parlimen (Fasal 60), perkenan rang undang-undang (Fasal 66), dan menerima
menghadap duta asing dan mentauliah duta ke luar negara.
Kita dapati unsur tradisi 'feudal' masih wujud, tetapi
melalui proses pemurnian untuk disesuaikan dengan masa dan perkembangan semasa,
apabila Tanah Melayu meninggalkan monarki mutlak dan mula menerima pakai sistem
Raja Berperlembagaan.
Kedudukan Raja bertukar menjadi pelindung simbolik
sejajar perkara yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Dengan itu, apa sahaja
urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dijalankan atas nama dan titah Yang
di-Pertuan Agong. Semangat ini diterjemahkan melalui cetakan di atas sampul
surat jabatan kerajaan yang tertera rangkai kata 'Urusan Seri Paduka Baginda'.
Perlembagaan Persekutuan menyediakan suatu tempat
khusus dan istimewa kepada Yang di-Pertuan Agong adalah komponen utama Parlimen
Malaysia (Badan Perundangan) atau entiti legislatif, terdiri daripada tiga
komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Yang
di-Pertuan Agong adalah komponen utama membentuk Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen
bermesyuarat atau bersidang. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 14
Oktober lalu melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 243 (Khas). Selaras dengan
jaminan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Institusi Yang di-Pertuan Agong juga
diterapkan dalam segenap aspek budaya dan perlambangan negara.
Dalam senario Malaysia sebagai sebuah negara yang
secara relatifnya muda, baik dalam konteks demokrasi mahupun kewujudan
Perlembagaan, Institusi Raja-Raja adalah penawar mujarab dan penyejuk yang
mententeramkan. Tidak kira apa yang berlaku di arena politik, hakikatnya rakyat
masih mempunyai satu-satunya institusi beraja yang boleh dimanfaatkan sebagai
benteng pelindung terakhir.
Bebas politik
Takhta melewati pergolakan politik, malah bebas
daripada unsur politik. Kekuatan ciri-ciri ini sebenarnya memberikan
keperibadian yang khusus kepada sesebuah negara, yang membezakan satu negara
dengan yang lain.
Rakyat Malaysia secara keseluruhannya menaruh penuh
harapan dan kepercayaan jitu, bahawa Sultan Muhamad V yang digelar pemerintah
yang soleh dengan ketokohan dan keperibadian yang terbukti merendah diri, serta
sering terbabit kerja sosial dan kegiatan keagamaan.
Baginda juga kerap mengetepikan protokol serta tanpa
menghitung kedudukan dan darjat, mampu membawa Malaysia ke era yang lebih
cemerlang dan gemilang. Mengambil kira Malaysia sebagai sebuah negara yang
sedang membangun serta kepelbagaian dalam banyak aspek, tambahan pula dalam
mengharungi era dunia tanpa sempadan dengan tiupan angin kebebasan bersuara
yang semakin terbuka dalam pengamalan demokrasi, Malaysia tetap boleh
berbangga.
Kita semua dapat bernaung di bawah payung Seri Paduka
dan terus mendepani cabaran ke arah membentuk identiti Malaysia dan seterusnya
menuju ke arah Wawasan 2020 serta Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Daulat Tuanku!
Penulis adalah bekas Pengarah Kastam, kini Pesuruhjaya
Sumpah Malaysia