Sunday, July 28, 2019

Nilai watan, jati diri bangsa teras demokrasi kita


Dr Shamrahayu A Aziz

Banyak kekeliruan tafsiran Perlembagaan dan polemik berkenaan perundangan Islam telah ditimbulkan oleh kumpulan G25 menerusi perbahasan mereka di bawah tajuk 'Islam dalam sistem demokrasi berperlembagaan' (Islam in Constitutional Democracy).

Tafsiran Perlembagaan yang dikemukakan itu berkisar persoalan kebebasan asasi yang dikaitkan dengan prinsip demokrasi. Dirangkaikan juga kedudukan Islam dan seterusnya mempersoalkan kedudukan perundangan Islam.

Tafsiran Perlembagaan yang dibuat oleh G25 mengenai kebebasan asasi dan kedudukan Islam serta perundangan Syariah adalah tidak bertepatan dengan peruntukan dan amalan perundangan di Malaysia serta norma dan nilai masyarakat. Ia juga tidak selaras dengan keputusan mahkamah.

Dalam proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Reid ada menyebut pada perenggan 14 laporannya bahawa mereka akan membentuk kerangka bagi sebuah negara yang united, free and democratic. Hasilnya, walaupun perkataan 'demokrasi' tidak disebut, ciri-ciri demokrasi dapat dilihat dalam Perlembagaan, seperti sistem pilihan raya dan kebebasan asasi.

Tidak disangkal, tujuan demokrasi ialah untuk memberikan hak kepada rakyat untuk memperaku kerajaan serta menjamin kebebasan. Kenapa demokrasi mahu rakyat memperaku kerajaan? Kenapa demokrasi menjamin kebebasan?

Asalnya tidak ada salah dengan demokrasi. Tidak juga salah dengan kebebasan. Tetapi ia menjadi salah apabila kedua-dua istilah itu tidak dinilai dari perspektif tujuan luhurnya. Dalam analisis yang lebih mendalam, tujuan luhur demokrasi bukan semata-mata kebebasan, tetapi demokrasi mahu membina masyarakat teratur; rakyat dan pemerintah bersemuka dan bekerjasama; saling hormat menghormati; kumpulan majoriti dan minoriti juga bertoleransi dengan rasa muhibah. Tiada penindasan.

Keluhuran demokrasi diutama
Hidup bernegara seperti diniatkan Perlembagaan ialah menegakkan tujuan luhur demokrasi itu. Perlembagaan menjadi mekanisme dan rujukan utama untuk mencipta masyarakat dan negara yang sejahtera serta teratur. Untuk berlaku adil kepada demokrasi, tujuan luhurnya hendaklah direalisasikan. Tujuan bernegara dalam sebuah demokrasi seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disalah erti untuk menjadi hamba kepada kebebasan semata-mata.

Serata dunia, demokrasi mempunyai kerencaman rupa paras. Prinsip asas demokrasi seperti pilihan raya mungkin serupa, tetapi tidak juga sama di serata dunia. Oleh itu, perincian kepada demokrasi dalam negara berbeza juga pelbagai dan mengikut ketentuan diri negara terbabit.

Kita harus jelas tujuan bernegara. Perlembagaan Persekutuan mahu membentuk negara yang sejahtera fizikal dan bahagia dari segi rohaninya. Kita harus lebih berhati-hati dalam mengungkap perkataan 'demokrasi' dan 'kebebasan' dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Demokrasi dan kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan diwarnai ciri-ciri watan warisan masyarakat, identiti dan maruah negara. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi beraja; Malaysia menganut agama Islam; mempunyai warga yang ada nilai jati diri bangsanya, beradat dan mempunyai resam. Malaysia bukan semata-mata mengamalkan demokrasi berparlimen.

Pertahan nilai watan, jati diri
Dengan adanya nilai watan dan jati diri bangsanya, demokrasi di Malaysia harus disesuaikan dengan nilai berkenaan. Jika tidak, tidak akan ada keteraturan dalam masyarakat dan kesejahteraan tidak akan dicapai. Demokrasi dan kebebasan hendaklah diterima dan diamal hanya dalam kerangka ciri-ciri watan itu.

Sekiranya demokrasi hanya dibaca dengan maksud kebebasan, nescaya ia akan melenyapkan ciri-ciri watan. Prinsip agama, moral dan nilai tempatan nescaya akan terhapus. Sekiranya ini berlaku, akan hilanglah maruah dan identiti negara. Kita tidak akan dapat menikmati keteraturan dan kesejahteraan dalam bernegara.

Keteraturan dan kesejahteraan negara amat berkait rapat dengan nilai dan peraturan moral masyarakatnya. Keteraturan sosial akan tercipta dalam masyarakat apabila ada sistem nilai dan norma sosial yang jelas serta ideologi yang benar. Jika nilai dan norma dalam masyarakat tidak jelas dan ideologi kucar kacir, maka akan timbullah keadaan yang dinamakan anomie, iaitu kekacauan norma yang tidak lagi mempunyai istilah 'yang baik' dan 'yang buruk.' Akan celarulah seluruh masyarakat dan negara.

Akhir sekali, sebagai peringatan untuk kita, mengambil ilmu hendaklah dari sumber yang benar. Belajar ilmu daripada alimnya. Berpendapat dan bercakap hendaklah daripada ilmunya. Bukan diambil ilmu agama itu dari sisi akal, logik dan rasional manusia semata-mata. Maka, berwaspadalah dan berhati-hatilah, moga tiada fitnah ilmu, tiada fitnah kepada agama.