Oleh Datuk Wan Ahmad
Fauzi Wan Husain
Pelbagai isu perundangan, hak asasi manusia,
kedaulatan Islam, kenegaraan, hubungan antara kaum, pendidikan dan pentadbiran
yang muncul dan berlegar dalam kalangan masyarakat hari ini amat berkait rapat
dengan isu Perlembagaan. Isu ini pula asas perbincangan dan titik perbahasannya
ialah tafsiran kepada fasal dan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Satu fakta yang perlu diterima oleh semua,
Perlembagaan Persekutuan ini wujud atas kuasa kedaulatan dan persetujuan
Raja-Raja Melayu. Maka, atas asas inilah sejarah perundangan negara dan
Perlembagaannya perlu difahami dan ditafsirkan. Bermula dengan keluaran ini,
penulis akan berkongsi pemikiran berkait dengan konsep kedaulatan Raja-Raja
Melayu menurut perspektif watan.
Dari sisi Perlembagaan Persekutuan, konsep kedaulatan
Raja-Raja Melayu boleh dilihat dalam Perkara 181, 3, 32, 37 dan 39 Perlembagaan
Persekutuan. Konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu amat penting untuk menghuraikan
prinsip perundangan dan sistem politik tanah air kerana ia terbit dalam
kerangka itu.
Kedaulatan diterjemahkan daripada istilah
'sovereignty' menurut LB Curson bermaksud, 'political and legal concept
relating to ultimate authority in a state.' Justeru, Ittihad akan membicarakan
isu-isu berkait konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu dari sudut watan, berbeza
daripada pendekatan popular yang digunakan pada hari ini. Pemikiran mengenai
konsep kedaulatan diyakini dapat menghurai dan menjawab banyak persoalan yang
menyentuh prinsip perundangan dan sistem politik semasa negara kita.
'Perlembagaan Melaka Tua'
Justeru, bagi keluaran ini, Majlis Ittihad Ummah
(Ittihad) mengajukan sebuah pemikiran bertajuk 'Perlembagaan Melaka Tua'.
Perlembagaan mengikut takrifan Hood Philip dan Jackson, 'the system of laws,
customs and conventions which define the composition and powers of organs of
the state, and regulate the relations of the various state organs to one
another and to the private citizen.'
Perlembagaan menetapkan pemerintahan bagi sesebuah
negara; siapa yang akan memerintah termasuklah mekanisme bagi pelantikan
pemerintah, penentuan fungsi kuasa negara dan penjelasan bagaimana kuasa negara
itu dilaksanakan.
Tun Mohd Salleh Abas berpendapat sebuah Perlembagaan
adalah suatu suratan atau suratcara mengandungi semua undang-undang tertinggi
yang difikirkan mustahak bagi menubuhkan sebuah negara moden. Undang-undang
tertinggi inilah yang menjadi punca bagi semua undang-undang, sama ada yang
sudah ada atau akan dibuat. Semua undang-undang lain hendaklah tidak
bertentangan dengan Perlembagaan; kerana jika bertentangan terbatallah
undang-undang itu.
Perlembagaan cermin ketatanegaraan
Bagaimanapun, undang-undang Perlembagaan itu tidak
semestinya terkandung dalam sebuah Perlembagaan bertulis. Sebagai contohnya,
Britain mengikut De Smith mempunyai sebuah Perlembagaan kerana ia mempunyai
satu sistem tetap kerajaan, dengan sebuah undang-undang kompleks yang
menjelaskan kandungan, fungsi dan hubung kait antara institusi kerajaan dan
menggariskan hak dan tugas orang yang diperintah.
Kerajaan dalam pemikiran orang Melayu menurut Milner
adalah 'di dalam kondisi mempunyai raja'. Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid dalam
artikelnya bertajuk Kerajaan Melaka Dalam Hubungan Antarabangsa merumuskan
bahawa berdasarkan ulasan Tome Pires dan Duarte Barbosa mengenai Melaka sebagai
pusat perdagangan yang besar, Melaka pastinya sudah mempunyai satu sistem pemerintahan
berkesan dan dasar-dasar baik lagi munasabah.
Ringkasnya, sesebuah kerajaan yang wujud walaupun
beribu-ribu tahun dahulunya pasti sudah mempunyai Perlembagaannya tersendiri.
Perlembagaan yang wujud dalam sesebuah kerajaan itu dapat diandaikan mempunyai
peraturan yang cukup untuk mengurus dan mencerminkan ketatanegaraannya.
Makalah ini mengemukakan analisis mengenai
Perlembagaan Melaka Tua. Melaka Tua yang dimaksudkan di sini adalah satu tempoh
dari zaman penubuhan Kerajaan Melayu Melaka sehingga Raja Melaka yang pertama
memeluk agama Islam. Tempoh itu diadakan untuk menjelaskan konsep kedaulatan
dan prinsip pemerintahan sebelum Islam diterima sebagai undang-undang watan
(law of the land) bagi Kerajaan Melayu Melaka. Analisis mengenai Perlembagaan Melaka
Tua di sini disoroti melalui sejarah perundangan Melaka Tua.
Menurut kajian Buyong Adil, Sang Sapurba seorang Raja
Palembang yang disebut dalam Sejarah Melayu telah mengambil alih pemerintahan
daripada Demang Lebar Daun. Sang Sapurba berasal daripada raja-raja keturunan
'Maharaja Gunung', iaitu Raja Shailendra. Perkataan 'Shaila' berasal daripada
bahasa Sanskrit bererti 'gunung' atau 'bukit', 'Shailendra' ertinya 'raja-raja
gunung'.
Sejarah Melayu jadi rujukan
Berdasarkan pengamatan oleh Buyong Adil, ada
kebarangkalian besar Sang Sapurba dan Srimat Tri Buana Wanaraja Mauli Warmadewa
yang disebut oleh Prasasti Padang Roco bertarikh 1286 adalah individu sama.
Prasasti Padang Roco mencatatkan Srimat Tri Buana Wanaraja Mauli Warmadewa
sebagai seorang Raja Melayu yang berpusat pemerintahan di Dharmasraya.
Sumber Sejarah Melayu dan sumber primari lain
mencatatkan asal usul Parameswara atau dikenali juga sebagai Raja Iskandar Shah
seperti berikut; Sang Sapurba Seri Teri Buana (Sang Nila Utama) - Raja
Singapura 1300-1348 Paduka Seri Pikrama Wira 1348-1363 Seri Rana Wikerma
1363-1376 Paduka Seri Maharaja 1376-1389 Permaisura (Iskandar Shah); (i) di
Singapura 1389-1392 (ii) di Muar 1392-1394 (iii) di Melaka 1394-1414.
Dari sudut perundangan, Perlembagaan Melaka Tua adalah
bersumberkan adat Melayu dan wa'adat Sang Sapurba. Jelani Harun menyatakan
undang-undang Melayu dikenali dengan adat Melayu kerana ia berasal-usul
daripada masyarakat yang zaman berzaman mendiami Tanah Melayu atau Alam Melayu.
Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka adalah dua adat Melayu yang
awal, tiada kaitan atau pengaruh adat Datuk Ketemenggongan dari Minangkabau.
Adat Melayu bertulis boleh didapati dalam Kanun
Melaka, yang merakamkan evolusi perundangan pra dan pasca-Islam dalam Perlembagaan
bertulis Kerajaan Melayu Melaka. Konsep perhubungan antara seorang raja dengan
rakyat dalam masyarakat Melayu Tua bersandarkan pada wa'adat Sang Sapurba.
Wa'adat yang masyhur itu adalah seperti berikut;
Maka titah Sang Sapurba, "Apa yang dikehendaki
oleh bapaku itu?". Maka sembah Demang Lebar Daun, "Adapun Tuanku
segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba Ke bawah Duli Yang di-Pertuan;
hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa,
sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang
jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum
syarak."
Maka titah Sang Sapurba, "Akan pinta bapa itu
hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba." Maka
sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu Tuanku?." Maka titah
Sang Sapurba, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba
jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti
sekalipun." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah, Tuanku. Tetapi
jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun
mengubahkanlah," Maka titah Sang Sapurba, "Baiklah, kabullah hamba
akan wa'adat itu."
Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa
mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya ke
atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah Subhanahu Wata'ala pada segala Raja
Melayu, tidak pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana
sekalipun besar dosanya, tiada diikat atau digantung dan difadihatkan dengan
kata-kata yang jahat.
Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang hamba
Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun
dianugerahkan Allah Subhanahu Wata'ala tiada pernah derhaka dan memalingkan
muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.
Wa'adat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun diterima
daripada zaman berzaman sebagai satu kontrak sosial antara golongan raja yang
diwakili Sang Sapurba, dengan Demang Lebar Daun mewakili rakyat Melayu. Wa'adat
itu menggariskan prinsip utama perhubungan antara pemerintah dengan rakyat
Melayu. Prinsip itu dinyatakan seperti berikut;
a) Demang Lebar Daun mewakili rakyat bersetuju untuk
membai'ahkan ketuanan Sang Sapurba dan pengganti-pengganti baginda sebagai raja
dengan syarat-syarat, iaitu rakyat hendaklah dipelihara dan dibimbing oleh
seorang raja; jika rakyat melakukan kesalahan, hendaklah diadili dan dihukum
mengikut hukum syarak, dan raja ditegah untuk menfadihat serta membuat nista
pada rakyat dengan kata-kata yang boleh mengaibkan.
b) Atas syarat yang telah dipersetujui oleh Sang
Sapurba, maka rakyat dan keturunannya sebagai balasan, tidak boleh menderhaka
pada raja dan penggantinya selepas Sang Sapurba walaupun seseorang raja itu
berbuat zalim dan mempunyai akhlak yang buruk.
c) Jika sekiranya seorang raja mengingkari atau
melakukan mana-mana tegahan di atas, maka rakyat berhak untuk membatalkan
wa'adat itu.
Perkara penting selain daripada syarat termaktub di
dalam wa'adat itu adalah wujudnya pensyaratan pada hukum syarak. Ini bermakna
seorang raja tidak boleh menghukum sesuka hati dan kedua-dua belah pihak
bersumpah untuk merelakan kafarah Allah SWT ke atas pihak yang mengingkari
wa'adat di atas.
Kehadiran syarat dalam wa'adat itu khususnya
pensyaratan pada hukum syarak dan sumpah kafarah merupakan elemen yang amat
penting untuk menilai konsep kedaulatan yang dijunjung oleh Perlembagaan Melaka
Tua. Kandungan wa'adat Sang Sapurba juga menzahirkan ciri-ciri kedaulatan
seorang raja. Meskipun status seorang raja dipandang amat tinggi dan ketaatan
pada raja adalah satu yang dituntut, keberadaan wa'adat itu sendiri menunjukkan
bahawa kedaulatan raja dalam masyarakat Melaka Tua tidaklah mutlak dan bebas.
Ini adalah berdasarkan faktor berikut; (a) Raja
tertakluk pada perjanjian (wa'adat); (b) Jika raja ingkar pada perjanjian, maka
rakyat boleh mengingkari juga; (c) Raja berjanji untuk berhukum berdasarkan
undang-undang dan (d) Raja bersetuju untuk menerima kafarah yang serupa dengan
rakyat jika sekiranya baginda ingkar perjanjian.
Peristiwa dan kaedah pengangkatan Sang Sapurba sebagai
Raja Palembang mengajukan bahawa kedaulatan terletak pada Sang Sapurba melalui
satu proses delegasi daripada rakyat. Ia mempunyai sifat pengamanahan
kedaulatan (sovereign trust) yang terbatas kerana kekuasaan agung yang
diserahkan kepada Sang Sapurba adalah tertakluk pada wa'adat dan hukum.
Jika dilihat pada struktur politik yang terkandung
dalam Kanun Melaka, jelas pemerintahan kerajaan dilaksanakan melalui
permesyuaratan. Kuasa pemutus yang ada pada seorang raja itu dilaksana selepas
setiap perkara dirunding terlebih dahulu. Maka baik-buruk satu dasar atau
keputusan itu tergantung pada kebijaksanaan mereka yang terbabit dalam proses
pembuatan sesuatu dasar, undang-undang atau keputusan tertentu.
Dalam hal ini, wa'adat Sang Sapurba dan adat Melayu
sesungguhnya secara tuntas menjelaskan wujudnya satu perlembagaan yang
menggariskan prinsip perundangan dan sistem politik Melaka Tua.
Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik, Majlis
Ittihad Ummah (Ittihad)