Oleh Ahmad
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
SETAHUN
berlalu, membujur lalu melintang patah. Tanggal 10 Mei 2018, rakyat Malaysia
menyaksikan satu detik bersejarah apabila parti Pakatan Harapan (PH) memenangi
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti mudah bagi membolehkan mereka
membentuk kerajaan baharu.
Di
saat kemenangan ini, masih ada segelintir yang risau dan takut dengan apa yang
akan berlaku kemudian.
Ini
kali pertama selama 61 tahun, sebuah parti lain mengambil alih kerajaan. Apakah
yang akan berlaku selepas ini, yang dikatakan sebagai satu era baharu?
Dalam
diam, sudah hampir setahun pertukaran kerajaan ini berlaku, bukan sesuatu yang
dimimpikan oleh seluruh warga negara, namun ia sudah terjadi dan bukan lagi
satu igauan.
Tampuk
pemerintahan kembali diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah 15 tahun
meninggalkan politik, kini kembali semula atas dasar negara perlu diselamatkan
daripada bencana kleptokrasi.
Ironinya,
itu semua setahun yang lalu, sedikit demi sedikit perubahan yang beliau impikan
sudah nampak akan hasilnya.
Walaupun
ramai mengatakan kerajaan campuran ini tidak akan bertahan walaupun setahun,
dan ada yang meramalkan ia adalah kerajaan yang terpendek dalam sejarah
Malaysia, namun hari ini sudah membuktikan sebaliknya.
Kerjasama
antara parti politik di bawah kerajaan campuran ini amat mengagumkan walaupun
mempunyai ideologi berlainan.
Lebih
memberangsangkan ialah dengan wujudnya pengiktirafan daripada kuasa besar dunia
terhadap kerajaan baharu ini, seolah-olah mereka amat menantikan perubahan
besar berlaku dalam negara ini.
Ini
terbukti dengan mencurahnya lawatan daripada pembesar luar negara sejurus
sahaja kemenangan diperoleh kerajaan PH.
Kebebasan
bersuara
Bagi
pengiraan penulis, kejayaan terbesar dimiliki kerajaan PH sejak setahun lalu
ialah mereka berjaya mengubah sikap dan pemikiran rakyat Malaysia. Rakyat tidak
lagi terkongkong untuk hanya mengundi parti kerajaan yang memerintah.
Malah,
mereka lebih berani untuk menyatakan bantahan jika kerajaan semasa membuat
sebarang kesilapan.
Ini
terbukti dalam dua pilihan raya kecil yang terakhir yang memperlihatkan rakyat
memberi mandat kepada parti pembangkang walaupun tidak mengubah sebarang
komposisi kerajaan.
Apatah
lagi, jika dilihat pada perhimpunan mega yang berlangsung dalam masa setahun
ini. Yang pasti jangan bermimpi ia boleh berlaku di zaman pemerintahan
terdahulu.
Yang
nyata, siapa juga bebas bersuara akan tetapi kebebasan ini juga diletakkan
sempadan dengan menghalang penghinaan terhadap agama dan raja.
Kadang-kadang
kebebasan ini disalahgunakan sehinggakan ada menghina agama yang menjadi teras
kepada negara ini.
Malah,
ramai mempertikai kerajaan seolah-olah lambat bertindak, namun kepada mereka
yang mengikuti kes sebegini akan menyedari sejauh mana benarnya cakap-cakap
sebegitu.
Malah,
data lampau membuktikan ketika setahun ini ketegasan dan kepantasan melampaui
rekod 15 tahun terdahulu.
Malah,
kerajaan semasa mengklasifikasi semua isu berkaitan penghinaan terhadap agama,
kaum dan institusi beraja diambil-alih serta-merta oleh pasukan khas Bukit Aman
untuk siasatan dan pendakwaan, pasukan dikenali sebagai Unit Siasatan Jenayah
Terkelas (USJT).
Ini
merupakan tindakan pantas kerajaan semasa dalam menjaga kestabilan negara.
Bagi
penulis ini menunjukkan hala tuju kerajaan semasa dalam mendaulatkan
undang-undang serta satu langkah ke depan untuk rakyat boleh menyuarakan
pendapat, dalam kerangka yang dibenarkan, membuktikan Malaysia Baharu di bawah
pimpinan Dr Mahathir yang didukung rakyat, menjunjung prinsip demokrasi, hak
bersuara tidak tersekat.
Janji
utama PH
Pasti
kita semua masih ingat, janji utama kerajaan PH pada PRU-14 ialah untuk
menghapuskan semua penyelewengan yang berlaku pada zaman pemerintahan
terdahulu.
Penulis
pasti, ini antara sebab utama gerakan besar-besar peralihan undi kepada parti
dalam PH.
Hakikatnya,
janji ini sudah pun terlaksana dengan jayanya. Kerajaan telah dan sedang
bertindak ke atas pihak yang melakukan jenayah besar yang hampir-hampir
memusnahkan negara seperti skandal 1MDB dan penyelewengan dalam jabatan
kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Semua
mereka yang terlibat sudah pun diadukan untuk siasatan, malah ada yang sudah
dibawa ke muka pengadilan dan menunggu masa ditetapkan untuk dibicarakan dengan
adil.
Pada
masa sama janji utama kedua ialah untuk melakukan rombakan dan transformasi
terhadap pentadbiran agar ketelusan boleh dilihat dan mengelakkan daripada
berlakunya gejala ketirisan dan rasuah, sudah pun terlaksana.
Ia
menerusi pembentukan jawatan kuasa dan badan kawal selia. Antaranya ialah
reformasi institusi bagi memulih dan mengukuhkan sistem pentadbiran negara;
antaranya:
- Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai pencegahan rasuah;
- Melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 -2023.
- Memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Perkhidmatan Awam.
- Menubuhkan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
- Pengisytiharan harta oleh anggota Kabinet dan Ahli Parlimen PH.
- Tidak ada lagi pengeluaran surat sokongan untuk projek dan kontrak.
- Memperkasakan Parlimen dengan menubuhkan enam jawatankuasa terpilih yang dianggotai pelbagai parti.
- Memulakan langkah reformasi sistem pilihan raya termasuk cadangan merendahkan umur mengundi kepada 18 tahun dan undang-undang pembiayaan politik.
Pada
masa sama, satu rang undang-undang sudah pun disiapkan untuk dibentangkan pada
sidang parlimen akan datang untuk mengehadkan tempoh menjadi Perdana Menteri
hanya untuk dua penggal sahaja. Ini adalah langkah proaktif supaya jawatan ini
tidak disalah gunakan untuk kepentingan peribadi.
Menariknya,
beberapa negeri di bawah Kerajaan PH telah berjaya menggubal peraturan
mengehadkan tempoh menyandang jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar dan
diluluskan menjadi satu peraturan walaupun belum setahun masa memegang tampuk
pemerintahan.
Malangnya,
ramai lagi di antara kita yang tidak menyedari akan perubahan positif yang
dilaksanakan kerajaan PH. Masalah utama dalam kerajaan PH sekarang ialah
kelemahan sistem penyampaian mengakibatkan rakyat cepat termakan akan
propaganda negatif yang menguasai media ketika ini.
Saya
menyarankan agar semua penjawat ketika ini supaya berkomunikasi dengan lebih
baik dan berkesan dengan semua peringkat dan golongan masyarakat supaya yang
baik dipanjang-panjangkan yang buruk di sempadankan. Jangan cepat prejudis jika
kita tidak tahu akan sesuatu kebenaran.
Bagi
penulis buat warga Malaysia, teringat saya akan kata-kata yang pernah
diucapkan oleh Saidina
Ali bin Abu Thalib; “Janganlah kalian memusuhi apa yang tidak kalian ketahui.
Kerana kebanyakan ilmu itu berada pada tempat yang tidak kamu ketahui.”
Penulis
merupakan bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM.