Tuesday, July 30, 2019

Industri automotif sedia 30,000 pekerjaan baharu tahun ini

Oleh Mohd Zaky Zainuddin
KUALA LUMPUR: Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan sebanyak 29,641 pekerjaan baharu diwujudkan dalam industri automotif tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata daripada jumlah itu, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu turut menjangkakan 31 peratus adalah terdiri daripada kelompok pekerja mahir dan sangat mahir.

"Sasaran jumlah pekerjaan baharu tahun ini adalah lebih tinggi berbanding 27,175 pekerjaan diwujudkan membabitkan 31 peratus adalah pekerja mahir dan sangat mahir sepanjang tahun lalu.

"Ini kerana antara teras utama Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) adalah peningkatan keupayaan sumber manusia bagi memenuhi keperluan industri.

"Pada masa yang sama, dasar ini bertujuan menjana peluang menikmati pendapatan yang setara dengan taraf ekonomi negara maju," katanya kepada NSTP.

Tahun lalu, industri automotif tempatan mewujudkan 27,175 pekerjaan, lebih tinggi dari 25,850 yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Madani berkata, semestinya, pekerja tempatan menjadi fokus utama kerajaan bagi memastikan kesinambungan industri ke arah keupayaan daya saing global.

Beliau berkata, peningkatan kerjaya warga tempatan memastikan momentum industri dapat dilanjutkan, namun ia tidak dapat dijanjikan jika negara terus bergantung kepada tenaga kerja asing.

"Sehubungan itu, MAI menyasarkan penggantian terhadap pekerja asing sebanyak 23,500 pada tahun 2018.

"Memandangkan produk dan proses pembuatan kenderaan kini semakin kompleks, kerajaan mengambil langkah progresif dalam memastikan industri terus berkembang, agar keperluan industri dapat dipenuhi oleh lebih ramai rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai program pembangunan vendor, Madani berkata, MAI menyasarkan 590 vendor dapat mencapai sekurang-kurangnya Tahap 3 dalam indeks Tahap Kebolehan Vendor (SCL) tahun ini.

"Tahun lalu, sebanyak 522 vendor tempatan mencapai Tahap 3 ke 5, bagi SCL, di mana 20 peratus daripadanya terdiri daripada vendor  Bumiputera.

"Sasaran tahun ini adalah selaras dengan program pembangunan vendor yang dianjurkan oleh MAI sejak NAP2014 diumumkan seperti program Sistem Pengeluaran Lean (LPS) dan Progran Kecemerlangan Pembekal Automotif (ASEP)," katanya.

INFO: Industri automotif Malaysia 2017
*522 vendor tempatan mencapai Tahap 3
*Jumlah graduan automotif meningkat kepada 1,252 orang
*Eksport alat ganti dan komponen dijangka meningkat kepada RM12 bilion