DEMOKRASI
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah diamalkan di negara ini sejak
61 tahun lalu merupakan sistem pemerintahan di Malaysia. Kerap kali bila
ditanya apakah sistem pemerintahan di negara ini, jawapannya adalah Demokrasi
Berparlimen. Maka terciptalah istilah kuasa rakyat.
Di
manakah pula kedudukan Raja Berperlembagaan di negara ini? Bukankah Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan itu adalah sistem atau corak pemerintahan
di negara ini?
Pernyataan
hanya Demokrasi Berparlimen sebenarnya telah menimbulkan kekeliruan rakyat di
negara ini sehingga terciptalah istilah kuasa rakyat.
Siapa
itu rakyat dan siapa pula raja? Banyak definisi tersendiri akan tercipta. Bagaimanapun
mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang utama di negara ini di
bawah Perkara 4, mendefinisikan rakyat di bawah Perkara 14 menyebut warganegara
dan raja yang dimasukkan dalam sistem pemerintahan negara dinyatakan dengan
jelas di dalam Perkara 32 iaitu ketua utama negara bagi Persekutuan serta
bacaan bersama beberapa perkara lain yang menyatakan dengan jelas fungsi dan
kuasa institusi raja di negara ini.
Demokrasi
Berparlimen merupakan ruang kepada setiap warganegara ini terlibat di dalam
proses pentadbiran negara ini. Tetapi sejauh mana Demokrasi Berparlimen ini
difahami apabila mereka yang diberi hak untuk menentukan siapakah wakil rakyat
di kawasan mereka menerusi proses pilihan raya enggan menjalankan tanggungjawab
sebagai pengundi?
Pernahkah
terlintas di fikiran mereka bahawa dengan mengundi sebenarnya mereka turut sama
menentukan masa depan generasi yang berumur kurang 21 tahun yang tidak layak
bergelar sebagai pengundi di bawah perkara 119 tetapi mengharapkan masa depan
mereka lebih baik bersandarkan prinsip moral, keamanan dan kesejahteraan
sejagat.
Kuasa
rakyat yang dilaungkan sebenarnya hanya sehari sahaja bermula dari 8 pagi
hingga 5.30 petang pada hari mengundi. Selepas itu kuasa rakyat yang disebut
itu akan terletak di bahu seorang yang bergelar wakil rakyat.
Berat
sebenarnya tanggungjawab seorang pengundi ini kerana pemilihan mereka akan
menentukan siapakah yang akan mewakili kawasan Parlimen atau Dewan Undangan
Negeri ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Berdasarkan
peratusan mereka yang keluar mengundi di tiga pilihan raya kecil yang lalu
iaitu Sungai Kandis (49.8 peratus), Seri Setia (44 peratus) dan Balakong ( 43
peratus) menunjukkan trend yang agak membimbangkan. Ia seolah-olah memberi
isyarat salah bahawa untuk menentukan hala tuju dan kelestarian negara ini
bukan menerusi pilihan raya seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.
Maka
rule of law bertukar kepada rule by law. Di mana rule of law iaitu mengikut
proses undang-undang diganti dengan rule by law iaitu melaksanakan
undang-undang sendiri disebabkan termakan hasutan kononnya pilihan raya
berkenaan tidak mengubah apa-apa. Kesannya apabila tidak berpuas hati dengan
calon yang menang maka protes berlaku sehingga menyebabkan ketidaktenteraman
awam seterusnya memberi implikasi buruk terhadap sistem demokrasi di negara
ini.
Bagi
mengelakkan perkara sedemikian berlaku, maka mereka yang bergelar pengundi
memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara ini seterusnya
menidakkan hasutan pihak tidak bertanggungjawab kerana sekiranya jumlah mereka
yang keluar mengundi dalam setiap pilihan raya sekurang-kurangnya 95 peratus
bermakna pengundi di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri telah membuat
pemilihan.
Mereka
yang bukan pengundi di kawasan berkenaan tidak mempunyai locus standi untuk
mencampuri urusan pemilihan kerana pengundi berdaftar telah memilih wakil
rakyat mereka secara sah mengikut perlembagaan negara.
Pilihan
Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober ini menampilkan tujuh calon selaras di
bawah Perkara 48 dan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya. Kenapa tujuh calon? Bukankah semua warganegara Malaysia terutama pengundi
di kawasan berkenaan yang berjumlah 75,212 pengundi layak dicalonkan sebagai
calon? Asalkan layak di bawah Perkara 48 dan mampu menyediakan wang deposit
seseorang itu berhak mencalonkan dirinya untuk bertanding.
Ini
membuktikan betapa Perlembagaan Persekutuan berlaku adil kepada setiap
warganegaranya dan seharusnya ketujuh-tujuh calon berkenaan diraikan kerana
mereka sanggup menawarkan diri memikul tanggungjawab sebagai ahli parlimen
sekiranya menang.
Justeru
diharap PRK Port Dickson yang diadakan selaras perkara 54 iaitu kekosongan di
dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka mampu memperbetulkan persepsi
bahawa sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini masih subur dengan Raja
Berperlembagaan melengkapkan hubungan antara rakyat dengan Raja yang telah
berakar umbi sejak beratus tahun lalu.
Seperti
mana termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan Pemasyhuran Malaysia
1963 yang tertulis: “Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang
tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan
keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan
sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan
damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai raja yang
berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen”.