KUALA
LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbang untuk memberi insentif fiskal tambahan
kepada syarikat-syarikat untuk melengkapkan golongan muda dengan kemahiran yang
diperlukan untuk pasaran pekerjaan, kata seorang pakar ekonomi.
Profesor
Ekonomi Fakulti Perniagaan Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata
kebanyakan belia tidak mempunyai kemahiran yang sesuai atau kepakaran untuk
pekerjaan yang menyebabkan pengangguran besar dalam kalangan mereka.
"Beberapa
insentif boleh diadakan untuk menggalakkan firma-firma menggunakan golongan
belia kita sebagai antara sumber dalam mengembangkan tenaga kerja mereka
melalui latihan yang sesuai.
"Kepakaran
dan kemahiran luas diperlukan bagi membolehkan mereka bekerja secara produktif
dalam industri," katanya di luar acara forum setengah hari mengenai
Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.
Yeah yang
juga anggota Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia berkata
pengangguran belia tidak hanya dalam pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi juga
dalam pekerjaan kurang mahir, yang menyebabkan kemasukan pekerja asing di
negara ini.
"Kemasukan
pekerja asing (juga) antara sebab 'upah tertekan', terutamanya dalam kategori
tenaga kerja kurang mahir. Ia mengalami tekanan kerana mudahnya mendapatkan pekerja
asing yang menjejaskan kebanyakannya pada golongan berpendapatan rendah.
"Terdapat
merit dari segi kebergantungan kepada pekerja asing bagi pekerjaan 3D (sukar,
kotor dan bahaya). Kita memerlukannya," katanya.
Beliau
berkata, masalah itu mula menjejaskan golongan belia apabila pekerja asing
beransur-ansur berkembang ke bidang lain terutamanya dalam sektor penyeliaan
dan perkhidmatan lain, yang sepatutnya disediakan untuk rakyat Malaysia tidak
mahir tanpa kelayakan tinggi.
"Jadi,
peluang untuk mereka (tenaga kerja tidak mahir tempatan) telah diambil oleh
pekerja asing tidak mahir.
"Jika
mereka (tenaga kerja tidak mahir tempatan) tidak dapat meningkatkan kemahiran,
mereka akan bersaing dengan pekerja asing yang murah dan gaji mereka tidak akan
bergerak," katanya.
Dalam usaha
untuk menangani kebanjiran pekerja asing, Yeah berkata, automasi amat
diperlukan sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf struktur, yang
memerlukan pekerja berkemahiran tinggi.
Beliau
berkata, kemasukan pekerja asing juga sebahagiannya menyebabkan kelemahan
ringgit kerana mereka menghantar wang gaji mereka ke negara masing-masing,
menyebabkan aliran keluar mata wang tempatan yang besar.
Penguatkuasaan
gaji minimum oleh kerajaan pada 1 Julai 2016, telah menaikkan pendapatan pekerja
Malaysia yang turut memberi manfaat kepada pekerja asing, katanya.
Bagi
perniagaan dan industri, kata beliau, penguatkuasaan gaji minimum telah secara
tidak langsung telah memberi tekanan dari segi perbelanjaan operasi untuk
menaik taraf dan meningkatkan produktiviti.
Walaupun
negara masih memerlukan pekerja asing, jumlahnya perlu dihadkan, katanya sambil
menambah, perniagaan dan industri perlu mengeluarkan belanja yang lebih bagi
teknologi daripada memilih untuk menggunakan pekerja asing yang murah. - BERNAMA