Tuesday, July 30, 2019

Rakyat tempatan mahu kerjaya bukan pekerjaan

Oleh Saidon Idris
 BILANGAN pekerja asing yang mencari rezeki di negara kita ketika ini dilaporkan berjumlah tujuh juta orang dan mereka dianggar menghantar pulang wang gaji ke negara asal masing-masing berjumlah RM60 bilion setahun, atau RM5 bilion sebulan. Ia adalah pengaliran keluar wang yang amat besar. Bayangkan impaknya kepada ekonomi jika wang berkenaan kekal dan dibelanjakan dalam negara. Mengikut anggaran Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), kesan penggandaan perbelanjaan kepada ekonomi bagi negara maju adalah 1.5 kali, sementara di negara sedang membangun pula adalah 1.6 kali.

Bersandarkan anggaran IMF itu, bermakna jika wang yang dihantar pulang oleh pekerja asing itu kekal berlegar dan dibelanjakan di dalam negara, ia akan menyumbang tambahan RM96 bilion kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita. Secara mudahnya, ia bermaksud wang berkenaan akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara lebih tinggi. Nilai KDNK Malaysia tahun lalu ialah sebanyak RM1.43 trilion. Apabila pertumbuhan ekonomi negara lebih tinggi, ia tentunya bakal menyediakan peluang meningkatkan pendapatan lebih baik bagi rakyat.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, begitu bersungguh-sungguh mahukan rakyat negara ini kembali mengambil alih pekerjaan yang kini sudah dimonopoli pekerja asing terutama yang dikategorikan sebagai 3D - sukar, kotor dan berbahaya - sehingga menegaskan kerajaan bersedia memikirkan mengubah waktu bekerja daripada siang kepada malam. Motifnya bagi mengurangkan tekanan kepada yang berkerja di luar, jika langkah itu dapat menarik rakyat kita bekerja dalam sektor berkenaan. Malah beliau berkata, menanam padi pun mungkin boleh dilakukan pada waktu malam untuk mengelakkan panas. Beliau mungkin merujuk keengganan kebanyakan generasi muda sekarang ini menyertai sektor pertanian, sehinggakan berbilion wang negara mengalir keluar setiap tahun bagi mengimport barang makanan.

Perdana Menteri mungkin hanya berkias apabila mengeluarkan kenyataan berkenaan, tetapi hakikatnya ia membuktikan kesungguhan beliau untuk melihat rakyat tempatan kembali mengisi pekerjaan yang kini dilakukan pekerja asing. Beliau tahu jika wang negara terus dibawa keluar yang semakin hari jumlahnya semakin meningkat akibat pertambahan bilangan pekerja asing, pertumbuhan ekonomi negara akan semakin mengecil dan akhirnya rakyat yang bakal menerima kesannya. Mesej yang mungkin Dr Mahathir mahu sampaikan ialah, semua pihak perlu melakukan perubahan serta inovasi. Beliau juga mahu sampaikan tiada yang mustahil diselesaikan. Menukar waktu kerja daripada siang ke malam itu, adalah semudah-mudah ikhtiar jika tiada inovasi lain yang dapat difikirkan.

Sebenarnya generasi muda kita tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam isu pekerjaan 3D ini. Tahap pendidikan dan gaya hidup mereka telah berubah sejajar kemajuan pesat negara. Sekarang ini rata-rata mereka sekurang-kurangnya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jika tidak pun ijazah atau diploma. Dengan kelulusan itu sudah tentu mereka enggan bekerja dalam sektor 3D di negara ini yang cara kerjanya masih di takuk lama, sama seperti keadaannya 30 atau 40 tahun lalu. Apabila memiliki kelulusan lebih tinggi, mereka mahukan pekerjaan yang tampak lebih profesional dan boleh dibanggakan. Mereka juga mahukan pekerjaan yang boleh dianggap kerjaya. Justeru pemodenan cara kerja perlu dilakukan. Dalam hal ini penggunaan teknologi perlu disegerakan kerana ia bukan sahaja menjadikan sesuatu kerja 3D lebih cekap, tetapi menjadikan pekerjaan itu lebih profesional yang perlukan kemahiran dan bukan semata-mata tulang empat kerat.

Saya mengenali seorang usahawan muda yang mengendalikan tiga cawangan restoran. Apa yang menarik perhatian saya ialah ketika majoriti pengusaha restoran lain terpaksa menggajikan pekerja asing kerana kesukaran menarik rakyat tempatan bekerja, ketiga-tiga restoran usahawan muda ini dikendalikan sepenuhnya pekerja tempatan. Rahsianya beliau menawarkan kerjaya dan bukan pekerjaan dan gaji semata-mata. Rasanya perubahan seperti inilah yang Dr Mahathir mahu semua pihak fikirkan.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Kanan BH