Tuesday, July 30, 2019

Generasi muda perlu rai Hari Kebangsaan



TANGGAL 31 Ogos 1957 menjadi satu tarikh keramat apabila Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra A-Haj yang turut dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan telah melaungkan perkataan merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Kemerdekaan yang dicapai itu membolehkan negara Malaysia yang bertuah ini bebas daripada cengkaman penjajah.

Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan tidak semudah yang disangka dan ada rakyat pada ketika itu sanggup mengadai barangan kemas bagi membolehkan Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan.

Sejak mendapat kemerdekaan saban tahun menjelang bulan Ogos akan kelihatan bendera-bendera Malaysia berkibar di merata tempat bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan.

Bagaimanapun, kini apa yang boleh diperhatikan setelah Malaysia merdeka lebih 60 tahun, semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda untuk bersama menyambut kemerdekaan semakin berkurang.

Bagi seorang warga emas, Azmi Itam, 64, menjelaskan, kemeriahan menyambut kemerdekaan dahulu lebih meriah berbanding sekarang.

Jelasnya, dia masih ingat ketika kecil, dia bersama rakan-rakannya di Bedong, Kedah sanggup masuk ke hutan bagi mencari buluh untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

“Pada ketika itu, menjelang sambutan kemerdekaan ada individu yang mengedarkan Jalur Gemilang ke rumah-rumah dan kami kemudiannya akan mencari buluh untuk mengibarkannya.

“Kemeriahan pada ketika itu bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang malahan ada penduduk kampung yang berlumba-lumba menunjukkan semangat patriotik mengikut kreativiti masing-masing,” jelasnya.

Azmi menjelaskan dahulu dia sering membawa anak-anaknya untuk melihat perarakan kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Suram

Jelasnya, kini apa yang dia perhatikan semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan semakin luntur terutamanya dalam kalangan anak muda.

“Saya telah berhijrah ke Kuala Lumpur sejak 40 tahun lalu dan pada ketika itu banyak kedai dan bangunan yang memasang bendera Malaysia saat menjelang bulan kemerdekaan.

“Seingat saya sekitar 20 tahun lalu menjelang bulan kemerdekaan, kenderaan seperti kereta dan motosikal juga dipasang dengan bendera. Tapi kini tidak ramai anak muda yang sanggup berbuat demikian,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, ekspresi meraikan Hari Kebangsaan dalam kalangan generasi muda kini dilihat semakin suram.

Jelasnya, tahun ini Malaysia mengecapi kemerdekaan yang ke-61 dan ia diraikan oleh generasi kedua dan ketiga selepas merdeka.

“Pada pendapat saya, generasi pertama pasti akan merasai erti kemerdekaan kerana mereka telah berjuang dengan darah dan air mata untuk mendapat kemerdekaan. Generasi kedua pula bertanggungjawab untuk membangunkan negara selepas mendapat kemerdekaan dan semangat patriotisme itu masih ada dalam diri.

“Generasi ketiga adalah mereka yang mewarisi nikmat kejayaan kemerdekaan yang diperoleh oleh negara. Mereka ini dilahirkan dalam keadaan negara lengkap dengan segala kemudahan,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, perkara itu kadangkala memuatkan mereka terlupa akan erti kemerdekaan dan tidak bersemangat untuk bersama meraikannya.

Pengorbanan

Zaid menjelaskan, kita sebenarnya sudah terbabas dari segi menanam semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Tegasnya, kini sambutan kemerdekaan dizahirkan dalam bentuk hiburan dan ia tidak akan menyemai semangat tersebut dalam jiwa mereka.

“Untuk menyemai semangat patriotisme ini ia bukan sekadar dalam bentuk mengibarkan bendera dan memeriahkan sambutan malam merdeka semata-mata.

“Sebaliknya semangat ini perlu dizahirkan dalam bentuk pengorbanan dalam membantu mereka yang banyak berjasa dalam menuntut kemerdekaan.

Jika semangat patriotisme ini ada dalam kalangan masyarakat amat tinggi saya percaya Tabung Hari Pahlawan untuk membantu mereka yang banyak berjasa untuk negara tidak perlu dilakukan. Sebaliknya, masyarakat akan mempunyai kesedaran yang tersendiri untuk membantu,” tegasnya.

Zaid menambah, dalam mendidik masyarakat erti patriotisme, tayangan drama atau filem-filem tentang perjuangan kemerdekaan harus diperbanyakkan.

“Kita mempunyai pejuang-pejuang kemerdekaan dan cerita mereka boleh dizahirkan dalam bentuk drama atau filem. Sepatutnya drama dan filem ini dipelbagaikan dan ditayangkan bukan hanya pada bulan kemerdekaan semata-mata.

“Syarikat milik kerajaan misalnya melalui tanggungjawab sosialnya boleh menyediakan dana untuk penggiat seni ini untuk menghasilkan drama atau filem sedemikian bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.