Tuesday, July 30, 2019

Basmi kemiskinnan melalui kaedah pertanian moden

Oleh Mohd Roji Kawi
KUCHING: Pembasmian kemiskinan di negeri ini diyakini dapat dilaksanakan secara menyeluruh menerusi transformasi sektor pertanian dengan menggalakkan petani menggunakan kaedah pertanian moden.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ketika ini jumlah penduduk miskin di Sarawak hanya kira-kira 0.6 peratus berbanding 60 peratus pada 1970-an.

Justeru, katanya, penyertaan dalam sektor pertanian moden akan digalakkan dalam kalangan kumpulan sasar itu bagi membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Kita akan melaksanakan inisiatif untuk membasmi kemiskinan menerusi transformasi sektor pertanian mulai tahun depan.

“Kini kita sedang merangka agenda penting untuk melaksanakan pertanian moden berteknologi tinggi dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan petani di luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) berkata demikian pada Majlis Gawai-Raya di sini, malam tadi.

Uggah yakin transformasi itu akan mencapai matlamat jika mendapat kerjasama semua pihak, terutama golongan sasar sendiri.

“Ketika ini terdapat kira-kira 60,000 keluarga disenaraikan dalam kategori miskin tegar di Sarawak dan tumpuan utama kerajaan negeri adalah untuk mengeluarkan mereka daripada senarai itu,” katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak serius untuk menjadikan negeri ini pengeksport utama produk makanan menjelang 2030.

“Kami membawa teknologi baharu ke dalam sektor pertanian dan semakin ramai golongan muda kini membabitkan diri dalam model perniagaan baharu ini,” katanya.