UMUM mengetahui keunikan masyarakat Negeri Sembilan
terletak pada Adat Perpatih yang diamalkan sejak zaman-berzaman dan diturunkan
dari satu generasi ke satu generasi secara lisan.
Adat yang berasal dari tanah Minangkabau di Sumatera,
Indonesia itu dicipta oleh masyarakat Minangkabau yang diasaskan oleh seorang
putera raja di Padang, Pagar Ruyung yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang.
Mengikut perbilangan Adat Perpatih ‘Adat menimbulkan
yang baik,menghilangkan yang buruk’ Demikian antara nilai-nilai yang ingin
ditonjolkan di dalam Adat Perpatih yang berperanan sebagai satu peraturan
sistematik dan berteraskan keharmonian masyarakat.
Adat perpatih yang mula diamalkan pada kurun ke-13 itu
bertujuan untuk mengurangkan konflik dan membentuk kehidupan masyarakat yang
harmoni, berintegrasi dan membangun.
Adat bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap
hidangan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat merupakan satu
peraturan hidup yang perlu dipegang kuat dan dipertahankan sehingga hari ini.
Di dalam kertas kajian bertajuk Adat dan
Undang-undang, Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin menyatakan
terdapat empat jenis adat yang telah dipakai oleh masyarakat dalam Adat
Perpatih iaitu ‘adat nan sebenar adat’, ‘adat nan diadatkan’, ‘adat nan
teradat’ dan ‘adat istiadat’.
Adat nan sebenar adat ialah sesuatu yang harus menurut
alur dan patut, menurut agama, menurut kemanusiaan, menurut empat dan menurut
masa. Adat ini juga dikatakan yang diterima daripada hukum syarak. Berdasarkan
hukum itulah diambil sah dan batal, halal dan haram, sunat dan fardhu, dakwa
dan jawab, serta saksi dan bainah.
Adat nan diadatkan pula merupakan adat yang berlaku
secara umum dalam Adat Perpatih dan adat yang di Minangkabau itu sendiri.
Umpamanya harta pusaka kaum diturunkan mengikut nasab ibu, sedangkan harta
pencarian diwariskan kepada anak-anak daripada orang tua mereka.
Anak-anak dari alam adat Perpatih ini secara automatik
akan menjadi suku ibunya dan bukan suku bapanya. Sebagai contoh sekiranya si
ibu bersuku Caniago, maka kesemua anaknya akan menjadi suku Caniago.
Adat nan teradat (adat yang teradat) pula merujuk
kepada adat yang tumbuh dan terjadi kerana kebiasaan masyarakat yang bukan
hasil daripada musyarawarah para pemangku adat.
Misalnya jika bertandang ke rumah orang, lazim
mengucapkan salam terlebih dahulu. Jika dalam sesuatu jamuan, apabila selesai
makan sebelum orang lain siap, kita tidak boleh terus mencuci tangan tetapi
menunggu orang lain selesai makan.
Kesimpulannya, semua kebiasaan yang berkembang kerana
tiru-meniru dan perkara yang tidak diharuskan oleh adat dan agama tergolong
dalam kategori adat nan teradat.
Akhir sekali, adat istiadat disebut merupakan adat
yang dilakukan secara naluri. Sebagai contoh, orang tua lebih menyayangi
cucu-cucunya berbanding anak-anaknya. Secara naluri kita menghormati
orang-orang yang lebih tua daripada kita.
Ada pandangan lain menyatakan adat yang ada sebelum
Islam diterima oleh masyarakat, bukan hukum alam termasuk juga dalam kategori
adat istiadat. Misalnya, sebuah negeri harus adanya masyarakat, mempunyai
tempat mandi, memiliki jalan yang lebar, gelanggang untuk keterampilan kesenian
negeri dan balai adat sebagai tempat untuk bermusyawarah.