19
Oktober 2018 12:00 PM
DALAM sidang Dewan
Rakyat yang berlangsung minggu ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah
mencadangkan kepada Dewan Rakyat supaya ucapan Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad di Perhimpungan Agung PBB ke-73 pada 28 September lalu di New
York dijadikan sebagai asas dasar luar Malaysia yang baharu.
Dr. Mahathir dalam
ucapannya antara lain telah menjelaskan posisi dasar luar Malaysia yang
berteraskan kepada prinsip not favouring any power, neutrality dan prosper thy
neighbour; kepentingan hubungan dengan negara-negara kuasa besar dunia; keadaan
di Palestin; isu kaum Rohingya di Myanmar serta perang perdagangan antara
negara kuasa ekonomi dunia.
Beliau juga
memperakui kepentingan PBB sebagai platform utama untuk menyelesaikan pelbagai
isu universal dan turut menyatakan harapan negara ini semoga badan dunia
tersebut terus memainkan peranan pentingnya dalam memastikan keamanan dan
keselamatan dunia sejagat terpelihara. Di samping itu, beliau turut
menggariskan objektif dan perancangan dasar luar negara dalam era Malaysia
Baharu iaitu to support the sustainability of economic, political and social
development di dalam negara ini.
Menurut Saifuddin,
kerangka dasar luar negara dalam era Malaysia baharu terdiri daripada empat
komponen penting. Selain daripada semua intipati ucapan Dr. Mahathir di PBB;
tiga komponen lain adalah seperti berikut – memperkasa Kementerian Luar Negara, mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, dan akhir sekali,
meningkat penglibatan rakyat dalam proses pembuatan keputusan dasar luar
negara.
Komponen akhir
tersebut boleh disimpulkan sebagai satu usaha untuk ‘merakyatkan’ dasar-dasar
kerajaan khasnya dasar luar negara. Idea ini adalah sesuatu yang sangat baik
untuk dicuba dan dikembangkan khasnya di Malaysia ketika mana satu proses
perubahan politik besar-besaran sedang hebat melanda sehingga mampu mengubah
landskap politik Malaysia yang sudah terbentuk sejak sekian lama iaitu hampir
60 tahun bermula dari zaman negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957.
Hari ini, khasnya
dalam konteks demokrasi era Malaysia Baharu, sudah tiba masanya rakyat di
negara mengambil tahu mengenai hal ehwal antarabangsa dan melibatkan diri dalam
proses pembuatan dasar luar di negara mereka sendiri. Justeru, satu kajian yang
terperinci yang akan menghasilkan satu kerangka dasar luar negara dalam era
Malaysia Baharu mesti diadakan secepat mungkin oleh kerajaan untuk memastikan
matlamat pelaksanaannya tercapai.
Idea untuk ‘merakyatkan’
dasar luar negara ialah sesuatu yang unik, murni serta demokratik. Ia juga
memperlihatkan satu proses perubahan dasar luar negara daripada dasar luar yang
bersifat state centric kepada dasar luar yang bersifat people-centric.
Dalam hal ini, banyak
mekanisme yang bersifat demokratik boleh digunapakai seperti penubuhan
jawatankuasa terpilih parlimen bagi dasar luar negara; kaukus hal ehwal luar
bagi ahli parlimen; melibatkan badan pemikir (think-tank) dan badan bukan
kerajaan (NGO); melibatkan ahli akademik dalam bidang berkaitan; serta melantik
individu-individu yang pakar bagi menduduki jawatankuasa dasar luar negara di
Wisma Putra. Boleh dipertimbangkan juga ialah penubuhan sebuah badan pemikir
khas dasar luar seperti Council of Foreign Relations (CFR) di Amerika Syarikat
untuk menasihati perdana menteri dan menteri luar negara berkaitan dengan
isu-isu antarabangsa.
Janganlah hendaknya
idea ini menjadi idea yang bersifat ‘syok sendiri’ dan hanya sebagai ‘halwa
telinga’ untuk menyedapkan hati rakyat jelata yang telah memberikan sokongan
yang padu dan sepenuh hati dalam PRU-14 yang lalu. Lebih teruk lagi, istilah
‘merakyatkan’ tersebut boleh disalahguna oleh pihak-pihak tertentu dalam parti
kerajaan untuk tujuan atau maksud tertentu sehingga menjadikannya sebagai satu
dasar luar yang bersifat ‘populis’, yakni untuk kebaikan rakyat semata-mata,
dan bukan untuk kepentingan negara. Sekiranya ini berlaku, rakyat dan negara
tidak akan mendapat apa-apa manfaat melainkan slogan ‘dasar luar populis’.
Kalau hendak jadi populis pun, biarlah bertempat dan ikut keperluan semasa.
Walaupun banyak
negara dunia cuba melaksanakan idea ini, ia sebaliknya hanyalah lip service
sahaja. Negara-negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat, Britain,
Kanada, Perancis dan Jerman, sebagai contoh, mempunyai banyak mekanisme yang
membolehkan rakyatnya untuk melibatkan diri dalam proses pembuatan keputusan
dasar luar negara. Pun begitu, umumnya mengetahui keputusan akhir yang akan
menentukan hala tuju dasar luar negara terletak di tangan elit-elit politik di
negara tersebut dan bukannya rakyat jelata. Logiknya adalah pengurusan negara
biasanya ditentukan oleh kerajaan yang berkuasa dan yang dipilih rakyat dan
bukannya rakyat yang menentukan perjalanan sesebuah negara.
Dalam menghadapi
keadaan ketidaktentuan dunia global pada hari ini, serta turut mengambil kira
keadaan politik, ekonomi dan sosial di negara ini, khasnya pasca PRU Ke-14,
Malaysia memerlukan dasar luar negara yang bersifat konstruktif. Harus
diingatkan bahawa Malaysia pada ketika ini adalah an emerging middle power.
Justeru, mesti ada persediaan dan perancangan untuk mencapai matlamat dan
aspirasi sebagaimana yang tersebut.
PENULIS ialah Felo Penyelidik di Institut
Analisis Politik Malaysia (Mapan) merangkap Pensyarah Sains Politik di Pusat
Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).