Sunday, July 28, 2019

Sentuhan agama harmonikan sistem demokrasi


Oleh Dr Shamrahayu A Aziz

Demokrasi dan sistem pemerintahan, pentadbiran serta pengurusan negara dalam Islam sudah lama menjadi perbahasan. Kebanyakannya menyebabkan percambahan pelbagai pemikiran dalam kalangan orang Islam.

Ahli fikah, ahli politik dan pengkaji sosial banyak menghasilkan karya atau mengeluarkan pendapat berkaitan demokrasi dan Islam. Umumnya persoalan utama dalam perbahasan ialah mengenai persamaan dan juga perbezaan antara keduanya.
Demokrasi ialah ideologi yang terhasil daripada pemikiran manusia. Islam pula adalah agama yang disumberkan kepada wahyu Ilahi. Antara ideologi dan agama sudah tentu keduanya ada perbezaan yang ketara walaupun persamaan juga ada.

Perbezaannya berkisar kepada sumber atau asas kepada keduanya. Perbahasan mengenai keduanya sentiasa mendapat tempat, bukan sahaja dalam perbahasan akademik dan berterusan dalam ruang lingkup lain, terutama politik.

Arab Spring yang melanda negara di Asia Barat dan ancaman semasa, seperti kegiatan militan Negara Islam (IS) juga berkaitan. Laungan demokrasi liberal semakin menggerunkan. Sebagai contoh, demokrasi dalam urusan atau tiket kebebasan asasi amat menyerlah dan ini membimbangkan.

Pengaruh demokrasi
Bukan mudah untuk memahami dan menerajui keduanya secara serentak. Bagi pemikir Islam, perkara paling dibimbangi ialah pengaruh demokrasi yang tidak dikawal ke atas sistem agama sehingga menghakis prinsip asas agama, terutama akidah dan akhlak. Inilah cabaran hebat yang juga kita sedang alami dalam negara.

Ketika proses kemerdekaan dan ketika penggubalan Perlembagaan, Suruhanjaya Perlembagaan atau Suruhanjaya Reid diarahkan melalui syarat atau terma rujukan lantikan untuk membentuk sebuah Perlembagaan dengan sistem demokrasi dengan membina a democratic form of government.

Oleh itu, menurut kerangka perundangan sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan, mengamalkan sistem demokrasi. Kita mempunyai elemen penting demokrasi seperti sistem pilihan raya, kebebasan asasi, prinsip kebertanggungjawaban, kebebasan badan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Dalam kerangka perundangan negara, kita juga menerima dua sistem yang berangkaian, iaitu sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Jika diungkit salasilah wujudnya demokrasi jenamaan Barat itu, ia disandarkan kepada sifat intelektual manusia. Tetapi adakah demokrasi itu yang kita mahukan dalam pelaksanaan demokrasi dalam negara kita? Kerangka perundangan kita bukan menerima sistem demokrasi dalam erti kata yang menolak prinsip atau nilai sejarah dan amalan tradisi negara. Kita menerima prinsip demokrasi dengan mengambil kepentingan nilai tempatan, termasuk nilai murni dalam agama.

Sistem demokrasi kita tidak boleh menyanggahi sistem raja berperlembagaan yang menggalas tanggungjawab menjaga dan memelihara Islam sebagai agama negara dan agama yang menjadi asas kepada ideologi negara.

Demokrasi bukan sahaja merujuk kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan tetapi juga demokrasi yang diterima dalam Perlembagaan negeri.

Justeru, dalam membahaskan konsep demokrasi dan amalannya di negara kita, kita hendaklah mengharmonikannya dengan nilai agama - nilai yang juga mendapat tempat dalam kerangka perundangan negara - sebagaimana demokrasi itu juga.

Pengharmonian antara keduanya adalah cara terbaik supaya setiap satu tidak terabai. Pengharmoniannya juga penting supaya kita mendapat manfaat dengan meletakkan agama dalam hakikat semasa; mengambil kira kualiti manusia dan kemanusiaan.

Allahyarham Muhammad 'Uthman El-Muhammady pernah menyatakan bahawa: "Unsur amalan dalam demokrasi dengan beberapa penyesuaian, boleh diserasikan dengan ajaran Islam sebagaimana yang ada dalam Ahli Sunah Wal-Jamaah, iaitu aliran arus perdana Islam, dalam menjayakan hidup kolektif dalam negara kini".

Dalam keghairahan menerima dan menyanjung sistem demokrasi, prinsip agama juga mestilah juga diperkasa. Keduanya perlu diseimbangi supaya demokrasi yang tujuannya, juga mahu menjaga masyarakat secara kolektif.

Kita tidak boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem yang ada. Oleh itu apa yang ada dalam sistem demokrasi kita perlu diserasikan dengan nilai dan prinsip yang menyemai dan mendamaikan masyarakat secara kolektif tanpa meninggalkan ajaran, amalan dan kedudukan agama berkaitan ketuhanan, muamalat dan akhlak.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)