Oleh Meor
Riduwan Meor Ahmad dan Fahmy Azril Rosli
KUALA
LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah polisi inklusif yang pertama diwujudkan
dengan matlamat membasmi kemiskinan, progresif, dinamik dan selaras dengan hak
asasi manusia.
Presiden
Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Dr Mohd Fauzi Shaffie, berkata terdapat dua teras
dalam DEB yang memberi tumpuan terhadap usaha membasmi jurang kemiskinan antara
kaum dan menyusun struktur ekonomi dalam usaha memastikan Bumiputera dapat
memainkan peranan dalam ekonomi moden.
Selaku
pertubuhan yang memberi fokus terhadap kedaulatan Islam, kepentingan Melayu dan
pengekalan institusi diraja, katanya, tanpa polisi afirmatif berkenaan, JATI
percaya Melayu dan Bumiputera selama-lamanya tidak akan dapat peluang dan ruang
dalam sektor ekonomi.
Jika tidak
diberi ruang, katanya Melayu dan Bumiputera akan ketinggalan selama-lamanya
kerana DEB adalah polisi yang tidak ditelan zaman, malah relevan hingga hari
ini.
"DEB
berjaya memulakan gerak ke arah perwujudan keadilan ekonomi di Malaysia apabila
kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada 1990 berbanding
49.3 peratus pada 1970. Kadar Kemiskinan pada 2014 pula terus turun ke tahap
0.6 peratus.
"Ketika
DEB mula dilaksana, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada
paras 64.8 peratus. Profesional Melayu ketika itu hanya 4.9 peratus (225 orang)
berbanding bukan Melayu, 84.3 peratus (3,859 orang).
"Pada
1995, profesional Melayu meningkat kepada 31.1 peratus, manakala kaum Cina,
52.4 peratus. Pada akhir 2002 pula, profesional Melayu secara puratanya
meningkat kepada 39 peratus dan 42.5 peratus pada 2008," katanya ketika
dihubungi NSTP, hari ini.
Selepas
penamatan DEB, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula diperkenalkan pada 1991
hingga 2000 dengan meneruskan beberapa dasar utama DEB.
Malaysia
tidak memperkenalkan apa-apa dasar ekonomi utama selepas DEB ditamatkan kecuali
meneruskan polisi atau dasar DEB melalui DPN, sehinggalah pelaksanaan Model Ekonomi
Baru (MEB) pada Mac 2010.
Mengulas
mengenai pelaksanaan MEB, Mohd Fauzi yang juga bekas Pengurus Besar Institut
Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berkata polisi menumpukan peningkatan
produktiviti pekerja yang bertujuan membantu meningkatkan pendapatan bagi
merealisasikan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.
Katanya,
kedudukan ekonomi rakyat pada hari ini menunjukkan 75 peratus daripada rakyat
tidak mampu mengeluarkan wang RM1,000 dalam keadaan mendesak.
Dalam masa
sama, katanya, lebih daripada 50 peratus rakyat pula akan kehabisan wang dalam
masa seminggu selepas kehilangan sumber pendapatan yang menyaksikan 80 peratus
daripadanya adalah Bumiputera.
"Selepas
tiada lagi DEB, jurang pendapatan isi keluarga antara Bumiputera dan bukan
Bumiputera meningkat pada kadar yang membimbangkan sekitar 1995.
"Contohnya,
pada 1995 jurang pendapatan isi rumah Bumiputera dan Cina adalah RM10,000
setahun, dan kini, ia meningkat tiga kali ganda kepada sekitar RM30,000
setahun.
"Maka,
apa-apa keputusan kerajaan dalam pembentukan dasar ekonomi negara harus
mengambil kira data berkenaan," katanya.