Baru-baru
ini, kita telah mencipta sejarah. Pada suku pertama 2017, kita berjaya
merekodkan kenaikan 24.3% dalam sektor perdagangan, peningkatan kepada RM430.5
bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Dan bulan Mac lepas, eksport
negara telah mencecah RM82.63 bilion, angka bulanan tertinggi bagi eksport
Malaysia yang pernah dicapai.
Pencapaian
ini bukanlah terjadi sekelip mata. Tetapi ia adalah hasil usaha, kerja keras
dan titik peluh kerajaan dalam menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara
lain.
Contohnya,
hasil hubungan baik dengan negara China, banyak manfaat yang telah kita terima.
Sekarang negara kita dibenarkan untuk mengeksport sarang burung mentah ke
negara China selepas lawatan saya pada tahun 2016 dan langkah ini sahaja telah
memanfaatkan lebih kurang 10,000 petani yang terlibat sekaligus memberikan
mereka penambahan pendapatan. Atas permintaan saya juga, China telah
menambahkan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan kita telah mencatatkan
peningkatan 53.6 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2016. Kerajaan juga
telah berjaya membuka pintu kepada syarikat-syarikat kita untuk bekerjasama
dengan syarikat dari China dengan pelbagai Memorandum Persefahaman
ditandatangani dengan nilai lebih daripada RM175 bilion hasil lawatan saya pada
tahun 2016 dan 2017.
Begitu juga
dengan India. Kini, banyak syarikat-syarikat Malaysia yang aktif membida
projek-projek pembangunan di India, lebih-lebih lagi selepas 6 Memorandum
Persefahaman ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan
Malaysia dan ‘industry players’ di sana. Kita juga telah berjaya menandatangani
Memorandum Persefahaman bernilai lebih RM158 bilion semasa lawatan saya pada
April lepas.
Pendekatan
kita yang mengetengahkan kesederhanaan juga membuatkan Malaysia diterima baik
di negara-negara lain seperti Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan German yang mana
hasil kerjasama dan hubungan baik ini ternyata telah menguntungkan negara.
Perjanjian dengan Aramco membawa jumlah pelaburan sebanyak RM31 bilion dan
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun telah mengukuhkan lagi hubungan
perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara. Kita telah menjadi rakan
dagang keempat terbesar Jepun dengan dagangan dua hala bernilai RM120 bilion
bagi tahun 2016.
Saya juga
berdoa dan berharap agar lawatan kerja saya ke Amerika Syarikat akan berjalan
dengan lancar dan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua buah
negara.
Kedudukan
kita dalam ASEAN juga banyak menguntungkan negara. Melalui ASEAN Economic
Community, rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada ekonomi bernilai US$
2.55 trilion, dengan populasi lebih daripada 622 juta orang.
Selain itu,
kita berpeluang untuk membuat kerjasama strategik dengan rakan-rakan yang
mempunyai kepentingan bersama. Contohnya, kita telah bersepakat dengan
Indonesia dalam meningkatkan kerjasama dalam sektor kelapa sawit khususnya
dalam menghadapi kempen antisawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah yang
memberikan sentimen negatif terhadap negara pengeluar sawit seperti Malaysia
dan Indonesia.
Apa yang
disenaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada manfaat yang kita terima
hasil daripada hubungan baik dengan negara-negara lain. Ingatlah bahawa
kemasukan pelaburan asing banyak membantu pertumbuhan ekonomi kita di sebalik
ketidaktentuan ekonomi global. Ternyata ini menunjukkan keyakinan dunia antarabangsa
terhadap pentadbiran negara.
Hakikatnya,
kita tidak boleh menjadi negara yang bagaikan katak di bawah tempurung, tidak
mahu berkerjasama dengan dunia luar, terpedaya dengan dakyah-dakyah yang
menuduh bahawa kemasukan pelaburan asing itu boleh disamakan dengan menjual
kedaulatan negara. Janganlah kita nafikan manfaat yang boleh diterima rakyat
hasil daripada hubungan baik kerajaan dengan negara-negara luar.
Sebenarnya,
pemimpin-pemimpin pembangkang menyedari kepentingan pelaburan asing untuk kesejahteraan
ekonomi, sebab itulah mereka juga giat ke luar negara. Kalau diikutkan ada
pemimpin terdahulu yang kini sering menggunakan retorik ‘jual negara’ tetapi
secara realitinya, banyak pinjaman daripada negara luar yang telah dibuat
semasa zamannya. Adakah ini bermakna kita telah menjual kedaulatan negara
apabila menerima pinjaman pembangunan daripada Jepun sebanyak 61.5 bilion yen
untuk membina Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada tahun 1994? Tidak
sama sekali! Oleh itu, saya harap masyarakat kita tidak termakan dengan politik
kotor yang tidak objektif dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.
Ini hanya akan merugikan kita.
Insya-Allah,
usaha-usaha untuk membina hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan
negara luar ini akan saya teruskan, malah lebih komited dalam membawa harapan
serta kepentingan rakyat Malaysia di mata dunia.