“Raja dan rakyat
berpisah tiada” adalah satu frasa yang agak klise begitu sinonim dalam hubungan
'romantis' antara raja dan rakyatnya. Namun, kelihatan kini kritikan terhadap
institusi beraja semakin tinggi – sama ada yang menyinggahi peribadi raja atau
institusi beraja itu sendiri.
Sejarah menunjukkan
bahawa sistem beraja terkenal serata dunia. Pengalaman sama di rantau Alam
Melayu. Kerajaan lama Alam Melayu gemilang di bawah pemerintahan sistem beraja.
Kesultanan Islam Melaka (serta Kesultanan Acheh dan Mataram) mengambil tempat
selepas kegemilangan Srivijaya dan Majapahit.
Namun, dalam
abad-abad mutakhir, banyak negara telah melalui revolusi dan memansuhkan sistem
beraja. Hari ini hanya 43 buah negara di dunia yang masih mengamalkan sistem
beraja (Ratu Elizabeth II menjadi ratu di 16 buah negara) (lihat buku Dustur wa
Salatin (2014)). Walaupun begitu, banyak negara maju masih lagi mengekalkan
sistem beraja dengan fungsi dan peranan yang dinamik dan disesuaikan dalam
keadaan serta keperluan semasa.
Amalan sistem beraja
di dunia menunjukkan beberapa jenis sistem yang diamalkan. Terdapat sistem
beraja atau monarki yang bersifat mutlak dan ada yang bersifat berperlembagaan.
Sistem bersifat berperlembagaan pula mempunyai pelbagai bentuk – ada yang
sekadar simbol; ada mempunyai kuasa-kuasa yang minimum; dan ada yang mempunyai
kuasa dan peranan yang besar menurut peruntukan Perlembagaan.
Malaysia mengamalkan
sistem raja berperlembagaan secara berkembar dengan sistem demokrasi
berparlimen. Walaupun menyokong sistem demokrasi berparlimen, monarki juga
perlu kekal atas beberapa faktor yang saya telah sebut dalam beberapa penulisan
lain.
Dalam situasi
semasa, perlu difikirkan bagaimana untuk mengelakkan dan sekali gus
menyelesaikan ketegangan antara sistem demokrasi berparlimen dengan raja
berperlembagaan.
Dua cadangan
penyelesaian pernah dikemukakan sarjana perundangan. Pertama, raja hendaklah
bersifat neutral politik, dan Perlembagaan hendaklah menjangkakan bahawa
institusi beraja tidak terlibat dalam politik. Cadangan kedua, monarki perlu
juga menyuarakan kefahaman berkaitan pentadbiran negara dalam nada memberi
aspirasi dan melahirkan rasa bertanggungjawab dalam kalangan pimpinan politik.
Monarki tidak boleh berdiam diri.
Sesungguhnya amat
sukar sekali untuk raja-raja menjadi bebas politik, atau neutral politik, dan
pada masa sama perlu aktif politik demi menjaga kepentingan negara. Ini adalah
ironi. Walau apa pun ia mungkin menjadi lebih mudah jika kita tafsirkan
'politik'di sini merujuk kepada kepartian politik. Oleh itu, istana harus bebas
daripada politik kepartian, tetapi terlibat dalam politik pentadbiran negara
untuk membina kualiti pentadbiran kerajaan.
Sehingga kini, tidak
terserlah bukti emperikal tentang sumbangan monarki kepada kualiti kepemimpinan
kerajaan. Ini berlaku kerana apa jua yang berlangsung melalui konvensyen
Perlembagaan, yang dikenali sebagai tripartite convention, iaitu raja berhak
untuk dirujuk, untuk menggalakkan dan memberi amaran kepada kerajaan, tidak
didedahkan kepada awam. Di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri mengadap Yang
di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet saban minggu. Ia adalah antara ruang
yang diberikan oleh amalan Perlembagaan, tripartite convention itu.
Kesan daripada
tiadanya pendedahan tersebut, apa yang dilihat oleh rakyat ialah monarki hanya
sekadar identiti negara – simbol negara sahaja. Tidak lebih daripada itu,
walhal institusi beraja mempunyai peranan lain yang penting. Rakyat perlu
mendapat informasi tentang peranan dan sumbangan monarki terutamanya dalam
ruang lingkup budi bicara baginda.
Kewajipan lain bagi
monarki termasuk dalam frasa Defender of the Faith. Ini bermakna monarki
mempunyai peranan khusus dalam menjaga kedudukan agama. Oleh itu, keputusan
berkaitan keagamaan dan perutusan-perutusan agama yang utama seperti perutusan
Ramadan, hari raya, Maulidur Rasul dan seumpamanya perlu menonjolkan institusi
beraja.
Sebagai Ketua Utama
Negara, raja-raja menjadi kekuatan utama patriotisme dan perpaduan. Bagi
merealisasikan peranan tersebut, perutusan hari-hari utama negara, seperti Hari
Kebangsaan dan hari-hari perayaan masyarakat Malaysia, hendaklah juga
menampilkan institusi beraja.
Sementara itu, bagi
mendekatkan lagi rakyat dengan istana, ruang khusus di media perlu disediakan
dan digunakan sebaik-baik mungkin untuk berkongsi maklumat serta aktiviti
istana. Lebih utama ia boleh memberikan ruang pendidikan berpanjangan mengenai
institusi beraja di negara ini dan tidak hanya terhad kepada silibus-silibus
dalam sistem pendidikan.
Demi kelangsungan
dan kerelevanan, istana hendaklah berjaya menyesuaikan kedudukannya dalam dunia
semasa yang tinggi teknologi maklumat serta cara fikir masyarakat yang ketara
berubah. Kedinamikan monarki adalah faktor utama kepada kelangsungan institusi
beraja. Ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada kelangsungan monarki di
negara besar dan maju pada hari ini.
Institusi beraja di
negara kita mempunyai pengalaman ini. Dari- pada dokumen sejarah saya dapati
institusi beraja kita mempunyai kekuatan dinamika yang tinggi.
Semasa perbicaraan
Memorandum Raja-Raja bersama Suruhanjaya Reid, Hearing of Counsel, ada
dinyatakan tentang kesediaan Raja-Raja Melayu untuk menjadi raja
berperlembagaan. Peguam yang mewakili Raja-Raja, iaitu Mr. Lawson menyatakan: They are (Their Royal Highnesses)
actuated… by this desire that they are concerned about the future of the
country, and they take the view that it is in the interests of the country as a
whole that they should accept the future qualifications and limitations which
have been indicated, but that they should preserve certain important aspects of
their status and positions because of the peculiar situation which they do
occupy in this country.
Maksudnya di sini,
sifat versatile, serba boleh dan dinamik Raja-Raja Melayu telah membolehkan
baginda mengadaptasi perubahan yang berlaku dalam pelaksanaan kuasa demi
kelangsungan negara dan bangsa, namun pada masa yang sama perlu mengekalkan
kedudukan utama baginda.
Pada pengamatan saya
terdapat dua faktor yang saling membantu. Pertama, faktor dalaman istana itu
sendiri. Kebijaksanaan istana dan kewibawaan raja-raja menjadi cerminan jelas.
Pemikiran dan keperibadian yang hebat dapat memelihara sebuah empayar daripada
ditakluki. Monarki berhati-hati dan bertindak penuh bijaksana untuk memastikan
semua kegiatan dalam kapasiti peribadi atau rasmi dilakukan menurut
undang-undang. Sejarah telah membuktikan bahawa kebijaksanaan dan kewibawaan
raja telah menyelamatkan empayarnya.
Sementara itu
sejarah di negara luar juga membuktikan bahawa istana yang terjerumus ke lembah
politik kepartian akan juga menghilangkan kewibawaannya. Parti-parti politik
akan datang dan pergi, namun istana perlu kekal berfungsi sepanjang zaman demi
negaranya. Untuk membina kewibawaan dan peradaban, istana perlu kekal neutral
serta bebas daripada politik kepartian.
Faktor kedua ialah
rakyat. Berdaulatnya raja kerana kesetiaan rakyatnya. Rakyat membina inspirasi
bagi pentadbiran yang adil. Bagi bangsa yang agung bertamadun, rakyat hendaklah
mempunyai budi pekerti dan kesopanan yang tinggi serta mengagungkan dan
mengamalkan nilai agama, bangsa, budaya dan sejarah. Rakyat hendaklah setia,
bersifat jujur dan ikhlas menunaikan amanah negaranya serta setia kepada bangsanya
serta memahami hala tuju negaranya.
- PENULIS
adalah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).