Oleh Datuk Wan Ahmad
Fauzi Wan Husain
SEBELUM
pergi kepada perbahasan konsep kedaulatan watan, ada baiknya kita memahami
terlebih dahulu status Kanun Melaka. Seperti dijelaskan, kedaulatan itu,
political and legal concept relating to ultimate authority in a state.
Pakar
perundangan seperti Harding bersetuju bahawa asas perlembagaan negeri-negeri
Melayu berakar-umbi daripada Kesultanan Melayu Melaka.
Menurut
pengkaji undang-undang Melaka terkenal, iaitu Liaw Yock Fang, Kanun Melaka mula
disusun pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1424 hingga 1444 Masehi)
dan ditambah dari semasa ke semasa sehingga abad ke-19 Masehi. Peruntukan Kanun
Melaka terdiri daripada undang-undang perlembagaan, jenayah, tanah, perhambaan,
kontrak, perwakilan, keluarga, laut dan Islam. Undang-undang Islam pula
mengandungi hukum jual beli, tatacara pengadilan, hukum qisas dan hukum jenayah
Islam atau hudud.
Pengiktirafan
yang sama diberi oleh pegawai British-Malaya, antaranya Newbold. Beliau
mengakui bahawa undang-undang raja yang dilaksanakan oleh kerajaan- Melayu
walaupun mempunyai perbezaan antara satu sama lain, adalah bersumberkan
Perlembagaan Melaka yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka.
Menurut
pakar sejarah tempatan, struktur kerajaan tradisi Melaka bermula daripada
seorang pemerintah, rakyat mesti mentaatinya maka sebagai balasan, seorang raja
ditegah membuat aib kepada rakyatnya. Konsep itu berkait rapat dengan baiah
antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Bendahara boleh dikatakan sebagai
seorang Perdana Menteri pada hari ini. Bendahara melaksanakan tugas pentadbiran
dan diplomatik serta bertanggungjawab dalam urusan dalam dan luar negara.
Pelabuhan
terkaya di dunia
Pembesar
utama lain adalah Temenggong, Laksamana dan Penghulu Bendahari, ada juga
disebut pembesar yang digelar Perdana Menteri. Menurut Lopez, ulama amat
dihormati hingga ada berstatus pembesar negeri.
Pengurusan
negeri berfungsi dengan baik sehingga Kerajaan Empayar Melayu Melaka berjaya
mencapai taraf intreport dan pelabuhan terkaya di dunia. Kejayaan pengurusan
pelabuhan didukung oleh peranan Temenggong, Laksamana, Shahbandar, Orang Laut
dan undang-undang Laut Melaka. Kelangsungan aktiviti perdagangan bertaraf dunia
melalui maritim sebagai kegiatan ekonomi utama Kerajaan Empayar Melayu Melaka
secara terkawal, bukan sahaja berpusat di Pelabuhan Melaka, bahkan pelabuhan
lain sepanjang Laut Melayu dan penguatkuasaan undang-undang laut membuktikan
betapa efisiennya tata-pengurusan pelabuhan dan perdagangan.
Kanun
Melaka bukan hanya berkuat kuasa di Kota Melaka bahkan semua jajahan takluk dan
negeri lindungan Kerajaan Empayar Melayu Melaka. Kesultanan Melayu Melaka
meliputi hampir semua wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan bahagian pesisir
pantai Pulau Sumatera. Oleh kerana wujudnya struktur yang memenuhi syarat
sebuah pemerintahan, maka tidak boleh dinafikan bahawa Kerajaan Empayar Melayu
Melaka adalah sebuah kesultanan atau kerajaan berdaulat.
Selepas
Kota Melaka iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Empayar Melayu Melaka ditawan
oleh Portugis, Sultan Mahmud mengumpul semula kekuatan dan melancarkan beberapa
serangan termasuk bekerjasama dengan Belanda untuk merampas kembali Kota
Melaka. Negeri taklukan dan lindungan Kerajaan Empayar Melayu Melaka masih
menumpahkan taat setia kepada Sultan Mahmud, meneruskan bayaran ufti dan
menyertai baginda untuk mengusir Portugis.
Sultan
Mahmud berjaya membangunkan semula pusat pemerintahan Kerajaan Empayar Melayu
Melaka di Bentan, sebelum berundur ke Kampar, Pulau Sumatera. Pada hakikatnya,
Kerajaan Empayar Melayu Melaka diasaskan pada sekitar 1400 sehingga ia
diwariskan oleh Sultan Mahmud (1488-1511, 1516-1528) melalui dua jalur;
pertama, anakanda baginda, Sultan Alauddin yang mewarisi bahagian terbesar
Empayar Melaka dan mendirikan pusat pemerintahan baharu di Johor sehingga
mangkatnya Sultan Mahmud II (dikenali juga sebagai Sultan Mahmud Mangkat
Dijulang) di Kota Tinggi, Johor, pada 1699.
Kedua,
anakanda baginda, Sultan Muzaffar yang ditabal sebagai Raja Perak dan kerajaan
baginda berterusan sehingga hari ini di bawah pemerintahan Sultan Nazrin
Muizuddin al-Maghfur lahu. Pendirian ini berlawanan dengan tanggapan lazim yang
menganggap Kesultanan Melayu Melaka berakhir pada 1511 akibat tewas di tangan
Portugis.
Diwarisi
pemerintah tempatan
Selepas
kemangkatan Sultan Mahmud II pada 1699, Kerajaan Empayar Melayu Melaka mula
terbubar, namun kedaulatannya terus diwarisi oleh pemerintah tempatan. Kedah,
Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu
muncul sebagai kerajaan Melayu yang bebas dan berdaulat.
Kanun
Melaka terus diterima pakai oleh Kerajaan Melayu di atas. Kelangsungan Kanun
Melaka dapat dilihat pada Undang-Undang 99 Perak, Hukum Kanun Pahang,
Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Johor dan Undang-Undang Sungai Ujung.
Ini
membuktikan Kerajaan Melayu meneruskan pelaksanaan Kanun Melaka.
Daripada
fakta yang tersimpan dalam histografi tempatan dan sumber luar negara,
sebahagiannya telah dikemukakan di atas, amat jelas bahawa Kanun Melaka adalah
Perlembagaan bertulis Tanah Melayu. Keberadaan sebuah empayar yang diiktiraf
dunia, pemerintahan adil dan pengurusan sebuah pelabuhan terkaya yang efisien
adalah bukti jelas bahawa Tanah Melayu sudah diperintah melalui Perlembagaan dan
undang-undang, yang sebahagiannya dikenali sebagai adat Melayu.