Tuesday, July 30, 2019

Teknologi tinggi untuk pertanian Sarawak

Oleh Wat Lamba
KUCHING: Kejayaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Rampangi, di sini, melaksanakan sistem Internet Untuk Segalanya (IOT), menjadi kayu pengukur bagi memperluaskan pelaksanaan sistem berkenaan, ke semua projek pertanian di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penggunaan sistem IOT sepenuhnya sedang giat diusahakan di TKPM Rampangi dengan objektif menjadikannya sebagai model pertanian pintar di Sarawak.

Beliau berkata, sebagai permulaan dua unit sistem IOT dipasang di TKPM Rampangi bagi mengawal serta memantau pertanian menerusi kaedah fertigasi.

"Sistem IOT sudah siap dipasang di sini yang merangkumi 'sensor' untuk memantau serta mengawal input baja, suhu dan kelembapan.

"Menerusi sistem ini petani dapat memantau dan mengawal kegiatan pertanian dari mana saja ,menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi yang dicipta khas dan sistem ini sangat mesra pengguna serta senang dikendalikan," katanya ketika melawat TKPM Rampangi, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Ik Pahon Joyik; Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai; Pegawai Penyelidik Jabatan Pertanian Sarawak, Johnson Chong dan Pengerusi TKPM Rampangi, Coolplay Nyipa.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, penggunaan sistem itu antara pendekatan yang menepati hasrat untuk memodenkan sektor pertanian negeri, selaras dengan dasar ekonomi digital yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

"Kita merancang semua kawasan projek pertanian akan dipasang dengan sistem ini dan ketika ini, kita mahu memastikan set penuh teknologi terkini ini dipasang di TKPM Rampangi terlebih dulu.

"Menerusi IOT dan pertanian pintar ini, kita mempelawa petani muda menceburi bidang pertanian kerana ia tidak lagi membabitkan penggunaan tulang empat kerat sepenuhnya, tetapi dipacu oleh teknologi di hujung jari," katanya.

Katanya lagi, menerusi penggunaan sistem IOT produktiviti pertanian dapat dipertingkatkan seterusnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan semua produk pertanian keluaran Sarawak diberi Quadratic Resideu (QR) Code kerana ini penting jika hasil pertanian mahu dieksport ke luar negara.

"Ini akan membolehkan produk pertanian Sarawak dapat bersaing dengan negara lain dalam pasaran global kerana kita mempunyai potensi cerah dalam bidang ini, dengan syarat kita perlu menukar cara bertani," katanya.