SIRI keempat Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor
Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan
diadakan di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi,
Selangor esok.
Program dialog yang mengetengahkan ilmuwan dari MPN
dan lain-lain institusi kali ini akan membincangkan tajuk ‘Sistem Pemerintahan
Malaysia Rapuh?’. Tajuk ini dipilih kerana kemelut politik yang sedang melanda
negara kita kini menyebabkan ramai orang bertanya adakah sistem pemerintahan
Malaysia sudah rapuh dan tidak mempunyai keupayaan untuk menyelesaikannya
menggunakan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang?
Soalan-soalan lain ialah adakah sistem pemerintahan
Malaysia mempunyai unsur sekat-imbangan (check and balance) supaya sesuatu
krisis politik dan kepimpinan negara dapat dicegah sebelum merebak dan menjadi
tidak terkawal?
Sebenarnya, sistem pemerintahan yang terbentuk di
Malaysia sejak tercapainya kemerdekaan, amat menarik diperhatikan. Pada
hakikatnya, sistem pemerintahan di Malaysia adalah berasaskan prinsip
rasional-legal kerana sistem ini dibangunkan berdasarkan sebuah Perlembagaan
yang digubal oleh pakar undang-undang dan governans yang sangat arif daripada
United Kingdom (UK), Australia, India dan Pakistan setelah mendengar pandangan
pelbagai pihak di Persekutuan Tanah Melayu dan UK dan turut diteliti dan
dibahaskan oleh ramai anggota parlimen British.
Kita amat perlu meneliti kandungan Perlembagaan
Persekutuan untuk memahami sistem pemerintahan Malaysia kini, iaitu
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (kini Perlembagaan Persekutuan
Malaysia 1963) yang dirangka dan digubal oleh sebuah Suruhanjaya Perlembagaan
yang diketuai oleh Lord Reid. Dengan cara itu, kita mungkin boleh memahami
kenapa kemelut politik yang kita hadapi sekarang terjadi.
Sistem pemerintahan Malaysia yang terbentuk sejak
negara mencapai kemerdekaan kira-kira 58 tahun lampau adalah berasaskan idea
dan prinsip mengenai kedudukan dan kuasa politik Raja-Raja Melayu, peruntukan
kuasa untuk badan eksekutif, peruntukan kuasa untuk badan perundangan, dan
peruntukan kuasa untuk badan kehakiman.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dipinda
sedikit sebanyak untuk dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Namun
konsep yang diasaskan oleh Suruhanjaya Reid itu tidak banyak berubah. Sistem
pemerintahan ini telah berupaya memainkan peranannya selama hampir enam dekad,
membantu Malaysia membangun dengan pesatnya, membasmi kemiskinan dan menyusun
semula struktur sosio-ekonomi rakyat yang berbilang kaum menerusi Dasar Ekonomi
Baru (dan dasar ekonomi selepasnya) dan secara relatifnya berupaya mengekalkan
kestabilan politik dan sosial.
Tidak syak lagi bahawa konsep pemisahan kuasa di mana
tiga badan utama (Kabinet, Parlimen dan Kehakiman) berada di bawah kuasa Yang
di-Pertuan Agong ini tidaklah rapuh dan akan dapat bertahan dan terus menjadi
landasan kepada sistem pemerintahan Malaysia selanjutnya. Tetapi konsep pemisahan
kuasa ini tidak selari dengan konsep semak-imbangan, yang diguna pakai dalam
sistem pemerintahan negara-negara maju.
Dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat (AS)
berdasarkan perlembagaannya sejak 1789, prinsip pengasingan kuasa menjadi
landasan kepada prinsip semak-imbangan bagi sistem pemerintahannya. Kuasa
terbesar diberikan kepada Kongres (Parlimen) yang bukan saja berwibawa
menggubal undang-undang, bahkan juga berwibawa untuk menyemak kuasa badan
eksekutif, iaitu Rumah Putih (Presiden AS).
Oleh itu, kita telah melihat bagaimana perlawanan
kuasa terjadi di antara Rumah Putih dengan Kongres yang menyebabkan kelulusan
bajet negara itu pernah tertangguh yang menyebabkan pentadbiran negara
tersangkut. Hal ini terjadi kerana biasanya Rumah Putih dan Kongres dikuasai
oleh parti yang berlawanan (parti Demokrat dan Republikan).
Perlawanan kuasa dan wibawa seperti di atas tidak
terjadi di Malaysia kerana sistem pemerintahan kita adalah bermodelkan sistem
UK atau sistem Westminster di mana badan eksekutif (Kabinet) dan legislatif
(Parlimen) dikuasai oleh parti politik yang sama.
Adakah sistem pemerintahan Malaysia sudah cukup mantap
untuk menaik taraf negara ini menjadi sebuah negara maju secara holistik, atau
sistem pemerintahan negara ini masih rapuh dan akan tumbang dilanda badai
politik yang bertiup kencang tiada hentinya?
Tetapi, jika sistem pemerintahan UK dapat bertahan
sekian lama, berkemungkinan besar sistem pemerintahan Malaysia juga akan dapat
bertahan lama. Namun, zaman berubah dan minda politik rakyat sedang mengalami
perubahan ketara. Era yang menyaksikan perlawanan ideologi dan doktrin politik
dalam arena perebutan kuasa di Malaysia boleh dikatakan telah berakhir,
terutamanya sejak era “aturan baru dunia” setelah tumbangnya rejim komunis di
Kesatuan Republik Sosialis Soviet pada 1991.
Kini, permainan politik demokrasi di seluruh dunia,
termasuk di Malaysia, diwarnai oleh perenggu minda (mindsets) dan konsep-konsep
baru seperti keadilan semula jadi, kesaksamaan, ketelusan, integriti, kalbu
yang bersih (conscience), nyah-rasuah, nyah-salahguna kuasa, nyah-diskriminasi
(inklusif) dan sebagainya.
Dalam konteks kewujudan perenggu minda baru ini dan
dalam konteks terjadinya kemelut politik kini, agensi semak-imbangan yang
dianggap berwibawa di Malaysia kini ialah pihak yang diberikan kuasa untuk
mengaudit perbelanjaan negara (Jabatan Audit Negara) dan pihak yang berkuasa
menyiasat dan membuat pendakwaan di mahkamah terhadap sesiapa saja yang disyaki
melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ada (Jabatan Peguam Negara).
Ini termasuk badan yang berkuasa menyiasat dan
mendakwa sesiapa saja yang melakukan rasuah (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia), pihak yang berkuasa memantau dan mengawal sistem perbankan di
Malaysia (Bank Negara Malaysia) dan pihak yang memantau kira-kira wang negara
(Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang ditubuhkan oleh Dewan Rakyat).
Selain itu, Suruhanjaya Pasukan Polis juga termasuk
dalam kumpulan yang berwibawa menjalankan penyiasatan sekat-imbangan. Dan dalam
era teknologi digital ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
turut memainkan peranan menyemak perbuatan penyebaran maklumat secara atas
talian. Pendeknya, sistem pemerintahan Malaysia yang dibentuk oleh Perlembagaan
Persekutuan akan terus berfungsi dan berwibawa dengan baik dan berupaya
membantu Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Namun begitu, sistem pemerintahan Malaysia perlu
menyusun dan memantapkan sistem semak-imbangannya supaya permainan kuasa dan
kuat kuasa di bawah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaannya
boleh berjalan dengan baik tanpa melalui kejutan-kejutan yang merugikan negara.
PENULIS ialah Timbalan Setiausaha
Agung Majlis Profesor Negara (MPN).
https://www.utusan.com.my/rencana/utama/memantapkan-sistem-pemerintahan-negara-1.127832