Oleh Datuk Wan Mohd
Mahyiddin
ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang
tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai
seorang pendeta.
Usahanya yang gigih meletakkan bahasa Melayu sebagai
bahasa terulung di negara kita tatkala penjajahan British cuba menghalang
pelaksanaannya. Beliau menulis buku karang-mengarang Melayu untuk diketengahkan
kepada masyarakat dan menjadi rujukan pelajar dan pendidik.
Beliau bukan sahaja tokoh sarjana tetapi seorang
penganalisis mengenai peradaban orang Melayu dalam semua aspek iaitu
perkembangan agama, kemiskinan ekonomi, ancaman politik dan unsur yang
menyebabkan kemunduran. Beliau adalah penterjemah buku bahasa Inggeris kepada
bahasa Melayu di samping menulis rencana dalam akhbar.
Dalam keadaan negara berada di bawah penjajahan,
beliau seorang nasionalis yang mendedahkan tindakan penjajah yang bakal
melemahkan orang Melayu. Beliau seorang tokoh bangsa Melayu yang berusaha
menjadi bangsanya lebih baik. Zaaba adalah keturunan Bugis-Minangkabau yang
lahir pada 1895 di Batu Kikir, berhampiran Jempol, Negeri Sembilan.
Selain Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh
Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bercorak nasional, persatuan Melayu
yang lain adalah bersifat negeri. Zaaba menyertai Pergerakan Melayu Selangor
pada 1935 dan memegang jawatan Yang Dipertua selepas Tengku Ismail Tengku
Muhammad Yassin meninggal.
Buka fikiran Melayu
Zaaba didapati amat radikal dengan kefahaman
kebangsaan dan fahaman agama seperti tersiar dalam Hadiah Kebangsaan yang
diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi. Ia memperkenalkan kemiskinan dalam
masyarakat Melayu disebabkan adat lama seperti fahaman tahyul yang mereka
warisi. Beliau mahu membuka fikiran orang Melayu untuk mencari kemajuan, yakni
mengubah nilai budaya ke arah lebih baik.
Tujuan Zaaba adalah untuk memperbaiki keadaan orang
Melayu selepas mendedahkan kekurangan mereka. Beliau sendiri tidak menyenangi
tulisan Abdullah Munshi, yang terlalu mengagungkan orang Inggeris seolah-olah
tiada cacat-cela mereka itu. Beliau adalah pelopor dalam bahasa dan persuratan
Melayu, teori karang mengarang, tata bahasa serta kae-dah ejaan Jawi dan Rumi.
Sekiranya tiada Zaaba, kita tidak akan bersua dengan ejaan moden dalam tulisan
Jawi dan Rumi.
Selepas tamat Perang Jepun, Harold MacMichael datang
untuk mengambil tandatangan Raja-Raja Melayu bagi menyerahkan negeri mereka di
bawah rancangan Malayan Union. Orang bukan Melayu akan diberi kerakyatan
melalui dasar yang liberal. Kepada orang Melayu, ini adalah 'pukulan maut' yang
dibawa British. Malah ada bekas pentadbir British di Tanah Melayu yang bangun
menentang rancangan ini. Ini adalah satu volte-face (keterbalikkan sepenuhnya)
yang akan menguburkan orang Melayu sebagai satu bangsa.
Daripada sifat kenegerian masing-masing, orang Melayu
mula bersatu. Zaaba menghubungi Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung,
Datuk Onn Jaafar dan Yang Dipertua Ikatan Melayu, Perak, Datuk Panglima Bukit
Gantang, bagi memulakan penentangan terhadap Malayan Union. Tetapi usaha beliau
tidak mendapat sambutan, kata Tan Sri Abdul Samad Idris, dalam bukunya 25 Tahun
Merdeka.
Zaaba melalui pergerakannya menghantar telegram kepada
Setiausaha Tanah Jajahan British menyatakan bantahan terhadap Malayan Union.
Zaaba berjaya mendapatkan kedua-dua tokoh berkenaan untuk bangun menentang
gagasan ini. Dalam jiwa raganya Zaaba sudah berfikir akan membuat sesuatu bagi
menggagalkan Malayan Union. Pergerakan dan kesatuan orang Melayu berhimpun di
Kongres di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada 1 hingga 4 Mac 1946. Di
hadapan wakil, Datuk Onn dipilih sebagai pengerusi, manakala Zaaba menjadi
setiausahanya tetapi tiada nama Zaaba tercatat walaupun beliau mewakili
Pergerakan Melayu Selangor.
Penubuhan UMNO
Di hadapan wakil, Datuk Onn mencadangkan penubuhan
United Malay Organization (UMO) tetapi Zaaba membuat pindaan dengan menambah
perkataan 'kebangsaan' untuk menjadi pertubuhan ini 'United Malays National
Organisation' (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk
menunjukkan ia bersifat nasional (bukan negeri). Dalam kongres ini, ia
mengambil ketetapan untuk memulaukan istiadat melantik Gabenor Malayan Union
dan memohon Raja-Raja Melayu supaya tidak menghadirinya.
Dengan pelaksanaan Malayan Union, hak Raja-Raja Melayu
akan hilang dan taraf bangsa Melayu dikurangkan. Sebagai anak watan, Zaaba
dalam ucapannya meminta kuasa lebih diberikan kepada orang Melayu. Jika
perundingan gagal, kata Zaaba alamat berperanglah. Ini satu bayangan ancaman
akan berlaku di antara kedua-dua pihak.
Kongres mengambil ketetapan satu badan menggubal
undang-undang tubuh UMNO terdiri daripada Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit
Gantang dan Datuk Nik Ahmed Kamil. Bagi meneruskan perjuangan, satu mesyuarat
diadakan di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946 dan UMNO tertubuh dengan
rasminya dengan mesyuarat menerima piagam atau undang-undang tubuh UMNO.
Datuk Onn dipilih sebagai Yang Dipertua dan Datuk
Panglima Bukit Gantang sebagai setiausaha agung yang pertama dalam parti ini.
Berikutnya satu jawatankuasa terdiri daripada pemimpin UMNO, wakil Raja Melayu
dan British berbincang bagi menukarkan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah
Melayu. Raja-Raja Melayu akan kembali ke kedudukan asal mereka dan hak istimewa
orang Melayu dikekalkan.
Tanah Melayu tidak menjadi koloni British dan
digantikan dengan nama 'Persekutuan'. Sebuah jawatankuasa mengenai kerakyatan
untuk penduduk Tanah Melayu, ditubuhkan. Sebagai pejuang nasionalisme, tugas
Zaaba menentang Malayan Union selesai dan tidak perlu lagi berada di hadapan.
Sebenarnya Zaaba lebih minat menulis mengenai pelbagai aspek kehidupan dan
peradaban orang Melayu. Ia lebih sebagai penulis daripada seorang pemimpin.
Mungkin tidak ada karya besar jika beliau menumpukan masa sebagai pemimpin.
Lagipun Zaaba bukan seorang pemidato, beliau akui dan
kesihatannya tidak berapa baik. Pada 1947 beliau dihantar ke London sebagai
pensyarah bahasa Melayu di Pusat Pengajian Bahasa Timur dan Afrika. Zaaba
selaku orang yang gigih mencari ilmu ketika di London, belajar dan mendalami
bahasa Arab, Belanda dan Sejarah. Beliau mengambil peperiksaan akhir dalam ilmu
ini selepas kembali ke tanah air pada 1950.
Zaaba dilantik menjadi pensyarah kanan di Jabatan
Universiti Malaya di Singapura pada November 1952 (sebelum mendapat Ijazah dari
Universiti London). Atas usahanya dalam bahasa dan persuratan, Zaaba digelar
Raja Bahasa Melayu Moden. Dalam Kongres Bahasa Persuratan Melayu Ketiga pada
1956 di Johor Bahru, beliau diberi gelaran 'Pendeta' dan kemudiannya Doktor
Kehormat dianugerahkan oleh Universiti Malaya.
Zaaba sangat merendah diri dan tidak mahu gelaran
seperti ini tetapi masyarakat Melayu mengiktiraf seorang sarjana yang wujud
dalam kalangan mereka.
Profil: Zainal Abidin Ahmad
Lahir pada 16 September 1895
Anugerah diterima
- 1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu pada Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
- 1959: Doktor Persuratan dari Universiti Malaya
-1962: Panglima Mangku Negara membawa gelaran Tan Sri
-1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari
Universiti
Kebangsaan Malaysia
*Penulis adalah Bekas Ketua Pegawai Penyelidik UMNO