KUALA
LUMPUR: Malaysia perlu mengamalkan konsep kesederhanaan bagi mengukuhkan
integrasi dan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat negara ini.
Pemegang
Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia adalah langkah tegas
menolak ekstremisme yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian.
Katanya,
langkah itu sekali gus menangani cabaran terbesar Malaysia hari ini iaitu
menolak aktiviti golongan ekstremisme yang semakin berkembang di peringkat
serantau dan antarabangsa.
"Rakyat
Malaysia pelbagai kaum mesti menyokong penuh usaha mempromosi kesederhanaan
sebagai cara hidup dan penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah adalah melalui
dialog serta perbincangan.
"Dengan
mengamalkan kesederhanaan, Malaysia boleh menjadi contoh bagaimana rakyat
daripada pelbagai budaya dan latar belakang boleh hidup bersatu padu.
"Malaysia
sepatutnya menjadi sebuah negara yang mengambil nilai terbaik daripada semua
agama dan tradisi dan menjadikannya satu amalan. Kita wajar menjadi negara yang
mengambil nilai kemanusiaan terbaik dan menjadikannya perwatakan kita,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai
sambutan Aidilfitri, Lam Thye berkata ia perlu dijadikan sebagai platform
merapatkan muhibah, persefahaman dan toleransi dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum.
Katanya, ia
boleh direalisasikan menerusi majlis rumah terbuka hari raya yang dilihat amat
unik selain dapat membantu masyarakat Malaysia memahami amalan agama dan
kebudayaan masing-masing.
"Aidilfitri
menjadi signifikan bukan kerana pelbagai hidangan yang dijamu tetapi kesempatan
untuk kita bertemu dan bersalaman bagi memperbaharui hubungan serta menjalinkan
persahabatan.