Tuesday, July 30, 2019

Promosi kerja sektor 3D mampu tarik generasi muda

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

Adakah imej dan reputasi kerajaan benar-benar terjejas dek isu pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dimanipulasikan dalam media sosial baharu dan desakan pelbagai pihak yang amat bimbang masa depan rakyat tempatan dalam pelbagai sektor?
Sebaik diumumkan penangguhan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkuat kuasa serta-merta, sekali gus memperlihatkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber dihentikan, membuatkan juga pelbagai pihak senyap secara tiba-tiba.

Agaknya semua terkejut dengan langkah itu dan ada yang melihat imej dan reputasi kerajaan tercalar sebaik membuat pusingan 'U.' Apakah benar? Renungkan sejenak ikon negara seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ikon lain seperti bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Parlimen Malaysia, Jambatan Pulau Pinang, Stadium Merdeka, Stadium Nasional Bukit Jalil, di samping pengangkutan awam yang hebat seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorail.

Ini semua adalah kebanggaan rakyat. Kita berasa cukup megah kerana mempunyai aset atau khazanah negara yang tidak ternilai. Khazanah negara ini adalah hasil titik peluh anak tempatan dan gabungan pekerja asing pelbagai negara. Daripada hasil gabungan itu, 60 peratus adalah anak tempatan dan 40 peratus adalah pekerja asing.

Beri penjelasan ikut fakta

Adakah kita masih menidakkan sumbangan dan pengorbanan pekerja asing dalam membangunkan negara selama ini? Sedangkan isu 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dimomokkan untuk masuk, sekali gus ke negara ini bagi menambah kegawatan sektor pekerjaan dan menidakkan rakyat tempatan dalam media sosial baharu mencetuskan fenomena yang tidak ada asasnya, walaupun kerajaan sudah memperjelaskan secara berfakta.

Janganlah kita jadi orang berpelajaran tetapi tidak bijak. Sebenarnya kerajaan selama ini sudah bina imej dan reputasi demi kesejahteraan rakyat dan negara merentas zaman. Bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra sehingga Datuk Seri Najib Razak, pembinaan itu terjalin hebat.

Memang diakui, imej dilihat sebagai satu elemen yang diberikan keutamaan di mana-manapun di dunia. Khalayak atau rakyat melihat sesuatu perkara bergantung kepada cara bagaimana imej itu ditonjolkan atau dipinggirkan. Selama ini pun, kerajaan sentiasa menekan betapa imej bukan sahaja perlu di 'projeksi' tetapi juga perlu dilindungi supaya imej yang wujud tidak tercemar dalam sesuatu organisasi itu.

Ahmad Zahid sejak dari awal konsisten dalam hal pengambilan pekerja asing, termasuk soal levi dan program penggajian semula. Ia juga dipengaruhi kuat oleh sifat profesional, kejayaan dalam pengurusan kewangan dan beretika dalam tindakan meliputi aspek merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal sumber secara cekap serta berkesan ke arah mencapai matlamat. Kata sarjana Barat, pengurusan adalah ".... the process of working with people and resources to accomplish organizational goal."

Tidak salah kerajaan memutuskan untuk langkah yang dikatakan seolah-olah membuat pusingan 'U' kerana setiap tindak tanduk itu ada justifikasinya. Pada waktu sama, ini memberi peluang kepada semua majikan membuka ruang pekerjaan, terutama membabitkan sektor 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) kepada rakyat tempatan.

Anjur kempen kerja sektor 3D

Berikutan penangguhan mengenai kemasukan pekerja asing, adalah disyorkan majikan melaksanakan kempen besar-besaran menerusi 'Pesta Kerja Sektor 3D' di seluruh negara bermula bulan depan. Inilah masanya majikan ambil peluang ini. Bagi menarik minat rakyat tempatan, pembayaran levi pekerja asing boleh diserapkan dalam penawaran upah melebihi gaji minimum kepada pekerja tempatan dalam Sektor 3D.

Mungkin dalam sektor perladangan, pekerja tempatan boleh diberi upah RM1,600 atau RM1,800 sebulan. Sudah tentu ramai penganggur yang memiliki kemahiran tertentu memberi sambutan hangat kepada Pesta Kerja Sektor 3D.

Penulis pernah terserempak seorang wanita lengkap dengan pakaian seragam membawa lori pembersih jalan di Victoria Market, Melbourne. Dia asalnya dari Darwin dan dibayar gaji A$3,000 (RM9,000) sebulan, upah tinggi bagi pekerjaan dalam kategori 3D. Yang penting pada waktu sama, kerajaan menumpukan kepada soal mengenal pasti pekerja asing dalam Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin serta melipatgandakan usaha penguatkuasaan.

Semua ini memberi faedah tertentu kepada majikan. Menerusi program ini, tindakan tidak diambil terhadap majikan dan pekerja terbabit, sebaliknya hanya membayar kira-kira RM4,000 untuk proses mendaftarkan pekerja ini secara sah. Langkah berhemah kerajaan wajar memberi kesan positif kepada imej dan reputasi semua pihak terbabit.

Penulis ialah Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), badan pemikir sosio media-politik