Oleh: Shamrahayu A Aziz
Kita sering mendengar tentang kelebihan dan peranan
yang dimaktubkan undang-undang kepada raja-raja. Agak jarang sekali kita
diberikan penerangan tentang perkara yang menunjukkan tentang ketidakbolehan
atau disabilities raja-raja.
Justeru, ada dalam kalangan khalayak yang silap faham
tentang kelebihan raja-raja sehingga beranggapan bahawa raja-raja berada di
luar undang-undang. Ini tidak benar. Undang-undang, secara tersurat atau
tersirat telah memperuntukkan beberapa ketidakbolehan raja-raja.
Amat penting juga untuk disebut tentang ketidakbolehan
raja-raja ini bagi kita faham tentang sempadan kedudukan dan kelebihan
raja-raja dan sekali gus mengelakkan silap faham tentang kedudukan raja-raja.
Ini juga penting untuk diseimbangi antara hak dan tanggungjawab raja-raja
sebagai Ketua Utama Negara mengikut perisytiharan dalam Perkara 32 Perlembagaan
Persekutuan.
Kekebalan raja-raja
Kita sedia maklum tentang imuniti atau kekebalan
raja-raja Melayu telah berubah dengan pindaan Perlembagaan yang mendatangkan
banyak kontroversi, atau dianggap sebagai krisis Perlembagaan pada tahun 1993.
Dahulunya raja-raja tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang dalam
mana-mana mahkamah atas sifat peribadi.
Pindaan berkenaan telah membolehkan tindakan
undang-undang diambil ke atas raja-raja. Kedudukan undang-undang pada masa ini
ialah baginda raja-raja boleh dibawa ke Mahkamah Khas atas sifat peribadi
dengan mengambil kira peraturan atau tatacara tertentu, seperti keizinan
daripada Peguam Negara (lihat Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan).
Seperti yang kita maklum, dalam perkembangan semasa,
institusi raja menjadi perhatian setiap lapisan rakyat dan dalam era internet
ini kita sudah saksikan pelbagai kenyataan dan keberanian sesetengah pihak
mempersoalkan institusi raja. Sekiranya institusi raja ini masih kebal dan
berada di luar undang-undang, maka ia mampu mendatangkan mudarat atau mencabar
institusi itu.
Apabila diperhatikan kesan pindaan terhadap kekebalan
raja-raja, saya fikir pindaan itu mampu mengukuhkan institusi raja; sama ada
pada peringkat Persekutuan, institusi Yang di-Pertuan Agong atau juga institusi
raja pada peringkat negeri.
Berbalik kepada ketidakbolehan raja-raja, perkara ini
disebut dengan jelas dalam Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan. Secara
konvensyen atau prinsip undang-undang perlembagaan mengenai konsep raja
berperlembagaan juga baginda raja tidak mempunyai kedudukan yang bebas daripada
undang-undang atau meletakkan mereka di atas undang-undang.
Peruntukan Perlembagaan
Bagi mendekatkan pembaca kepada peruntukan
Perlembagaan, saya petik Perkara 34 yang bertajuk "Ketidakbolehan Yang
di-Pertuan Agong, dsb untuk dibaca dan dianalisis oleh pembaca. Perkara 34 ini
memperuntukkan;
"(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh
menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua
agama Islam. (2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan
yang baginya ada apa-apa saraan. (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh
melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
"(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa
jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja
Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana
undang-undang Negeri.
(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa
persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada
lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.
"(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai
bagi Raja Permaisuri Agong.
"(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau
mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi
Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1)
hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana
Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.
"(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh
menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang
terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau
bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain - (a) bagi meminda
Perlembagaan Negeri itu; atau (b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau
anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota
Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau
yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas
jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja".
Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah,
Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)