Sunday, July 28, 2019

Relevan atau tradisi, demokrasi Adat Perpatih?



NEGERI Sembilan adalah satu-satunya negeri yang mengamalkan dua sistem demokrasi iaitu Perlembagaan Persekutuan/Negeri dan satu lagi demokrasi Adat Perpatih. Demokrasi Adat Perpatih sudah lama diguna pakai sebelum lahirnya sistem demokrasi berparlimen selepas kemerdekaan Malaya pada 1957 (kini Malaysia).

Yang nyata sistem lantikan ‘Raja-Raja’ di Negeri Sembilan tidak sama dengan lantikan Raja atau Sultan negeri-negeri lain di Semenanjung. Sistem lantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah melalui demokrasi adat Perpatih.

Saya gunakan istilah ‘Raja-Raja’ kerana Negeri Sembilan mempunyai empat lagi Raja di Luak atas nama Undang Luak. Undang Luak yang menentukan dan berkuasa mutlak memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hingga ke hari ini. Tanpa Undang yang empat, pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak lengkap atau sempurna.

Empat Undang Luak itu ialah Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau, Undang Luak Johol dan Undang Luak Je­lebu. Atas dasar adat, maka Undang yang berkuasa dan berpengaruh sejak dahulu. Tampin sebahagian jajahan Luak Rembau ditadbir oleh Tunku Besar Tampin sejak 1834.

Begitu juga kedudukan empat Undang Luak. Mereka yang dipilih adalah ditunjangi oleh Dato-Dato Lembaga sebagai tiang adat atau tiang balai. Di bawahnya pula terdiri daripada Buapak yang dipilih dalam kalangan anak buah yang berwaris. Hingga hari ini, sistem memilih dari bawah hingga ke atas masih kekal dan kuat berlandaskan adat. Mengikut sejarah, proses pelantikan Penghulu Luak beradat ini (kini Undang) telah menjangkau hingga 200 tahun lalu seperti bentuk piramid.

Adat berakar kebumi
Berpucuk ke langit
Alam dah beraja dan
Luak dah berundang

Jika demokrasi adat Perpatih ini sudah berakar atau diamalkan sejak dua abad lalu, ia menunjukkan betapa hebatnya ikatan pesaka Melayu itu masih utuh dan tidak ditelan zaman. Sudah tentu pesaka itu perlu dipertahankan.

Walaupun dasarnya konser­vatif tetapi sifatnya sentiasa terbuka mengikut perubahan dan pembaharuan zaman. Tiada sebab adat dikatakan mundur. Asas kekuatan adat ini adalah peranan permuafakatan antara suku bertua (Dato Lembaga), Buapak, anak-anak buah mahu pun semenda menerusi ‘mesyua­rah’ atau perundangan.

Semua penjawat kepala-kepala adat ini layak adalah warisan dari Perut Ibu yang dipanggil ‘Soko’. Maknanya ibu berakar umbi sebelum cambah ke Buapak, Lembaga dan Penghulu Luak (Undang).

Memang hebat pencipta adat Perpatih dua bersaudara dari Minangkabau ini. Mereka ini iaitu Datuk Perpatih Nan Sebatang dan Datuk Ketemenggongan hadir pada pertengahan kurun ke-14 antara 1340-1360. Ia adalah ciptaan menegakkan demokrasi di alam Melayu yang terulung. Bayangkan betapa tinggi nilai pemikiran pada zaman itu yang belum mencapai tahap penulisan. Ini satu pencapaian yang mengagumkan.

Selain membentuk demokrasi kepimpinan, peranan Adat Perpatih cukup luas. Ia merangkumi soal kehidupan dan keharmonian keluarga. Ini termasuk soal harta, perkahwinan dan tanah pusaka. Kerana faktor perubahan zaman dan kesan peninggalan pentadbiran British, bukan semua ciri demokrasi adat ini dapat dikekalkan.

Contohnya, dahulu tidak diga­lakkan perkahwinan sesama suku atau waris yang sama. Tujuan untuk mengawal harta waris atau menyelamatkan suku itu supaya tidak terpisah. Boleh juga bermaksud kenapa harta itu diutamakan kepada anak perempuan. Ia bertujuan untuk melindungi anak perempuan mereka seandainya berlaku penceraian.

Tujuannya cukup murni tetapi konsep ini tidak berkembang. Contohnya, dalam soal pembukaan tanah-tanah baharu di luar bandar bukan lagi mengikut peraturan adat. Tanah adat atau pesaka yang ada terhad untuk ditinggalkan pada para waris.

Soal jodoh perkahwinan juga tidak sepatutnya jadi halangan kerana kesukuan. Ia juga bukan satu kesalahan seandainya anak waris ditakdirkan jodohnya de­ngan mualaf atau (orang asli um­pamanya) kerana adat (peraturan hidup) sudah ada ikatannya.

Adat bersendikan syariah
Syariah bersendikan hukum
Hukum bersendikan kitabullah ( al-Quran)

Syarak sudah mengatakan adat menurut. Inilah ungkapan hikmah bahawa Islam adalah satu peraturan hidup bagi pengamal demokrasi adat Perpatih.

Yang menarik perhatian hari ini sudah ramai generasi baharu mengikut perkembangan adat Perpatih ini. Minat mereka ini boleh dilihat menerusi platform media sosial (internet). Pandangan dan minat yang mereka perlu dipupuk.

Mereka bukan sahaja tertarik dengan sistem adat membina kepimpinan tetapi memperkayakan bahasa-bahasa adat seperti kiasan yang cukup halus dan pengertiannya tepat. Contohnya, bahasa ‘berkampung sesama keluarga’. Adat Perpatih menggunakan ungkapan ‘kerapatan waris’ maknanya merapatkan kumpulan keluarga itu dalam satu majlis.

Perbincangan menerusi seminar masih berterusan misalnya bicara persejarahan dan adatnya telah diadakan baru-baru ini di Kuala Klawang, Jelebu anjuran Muzium Adat dan Yayasan Budi Jelebu pada Ogos lalu.

Saya tidak mengupas hasil bicara persejarahan Jelebu tetapi perbincangan itu setidak-tidaknya memberi satu impak keseda­ran bahawa sejarah dan adat tidak boleh pupus dan dipisahkan. Di Jelebu, masih ramai pengamal adat dan pengikutnya. Secara kebetulan pengisian Undang Jelebu masih belum selesai penggantinya.

Kelewatan ini sudah tentu adanya unsur-unsur kurang kefahaman perjalanan adat itu atau adanya unsur kepentingan konflik menyebabkan perjalanan adat itu kusut dan tidak sempurna.

Kita tidak mahu pesaka adat Perpatih ini sudah tidak mempunyai erti bagi generasi baharu apabila masyarakat tua tidak berpegang lagi kepada tertib kesusilaan adat dan kesopanan laku.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim ber­asal dari Jelebu adalah yang pa­ling tepat mempunyai banyak pandangan baharu mengikut zaman ini kerana beliau mempu­nyai kepakaran dalam dua bidang iaitu undang-undang sivil dan peraturan adat.
Beliau sendiri mengesyorkan perlu perubahan atau sudah sampai masanya enakmen baharu secara bertulis dikanunkan agar perjalanan adat ini sentiasa subur dan segar asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak.

PENULIS ialah bekas wartawan Utusan Malaysia.