MELANGKAU hampir
sebulan di tahun baharu, negara kita masih berhadapan pelbagai masalah sosial
seperti ancaman dadah yang serius serta jenayah juvana termasuk melibatkan
kekerasan.
Lebih menggusarkan,
ancaman baharu seperti ketagihan bahan khayal seperti gam, petrol dan cecair
pemetik api turut mencemari golongan muda yang bakal menjadi modal insan dan
pemimpin akan datang.
Pembangunan modal
insan yang diperlukan oleh negara sewajarnya bermula dari sekolah.
Ini termasuk usaha membangunkan peribadi yang baik dalam kalangan pelajar
dengan menyemai nilai-nilai murni. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan
peranan masing-masing, sama ada sekolah, institusi keluarga atau pihak lain
yang berkenaan.
Apa yang
membimbangkan adalah hampir setiap hari terdapat laporan mengenai masalah
sosial dan jenayah.
Kita bukan sahaja
perlu menangani masalah sosial dan cabaran ekonomi tetapi juga isu-isu lain
yang lebih penting seperti integrasi kaum, perpaduan dan pembinaan negara.
Perkembangan yang
berlaku sejak kebelakangan ini menarik perhatian orang ramai yang mempersoalkan
bagaimana masalah sosial masih berterusan di dalam masyarakat.
Mungkin ada yang
ingin mengambil jalan mudah dengan menganggap semua masalah ini hanya sebagai
penyimpangan daripada norma kehidupan. Mereka berharap masa akan dapat mengubah
segala kepincangan ini dan semuanya akan kembali menjadi normal suatu masa
nanti.
Namun hakikatnya
jenayah tetap berlaku. Oleh itu kita perlu menghapuskan punca-punca berlakunya
masalah ini dan mencari penyelesaian untuk mengakhirinya.
Kerajaan, pertubuhan
bukan kerajaan dan masyarakat perlu meningkatkan usaha untuk memupuk dan
mempromosikan nilai-nilai murni khususnya dalam kalangan golongan muda.
Adalah penting untuk
mencapai keseimbangan di antara pembangunan ekonomi, sosial dan moral. Kita
tidak sepatutnya mewujudkan masyarakat sombong dan tamak yang terlalu sibuk
mengumpul kekayaan.
Sebaliknya, kita
perlu mewujudkan masyarakat penyayang, yang dipupuk dengan semangat
bertanggungjawab serta mempunyai kesedaran moral dan rohani yang tinggi. Demi
generasi akan datang, rakyat Malaysia mesti menghayati, menerap dan mengamalkan
nilai-nilai murni ini.
Sebagai contoh,
apabila sekolah-sekolah berhadapan dengan peningkatan masalah disiplin, menjadi
tanggungjawab kita untuk memberi lebih perhatian kepada kepentingan untuk
kembali kepada asas-asas nilai murni dan kemanusiaan.
Sekolah harus
mempunyai persekitaran kondusif supaya setiap pelajar dapat memberi tumpuan
bukan hanya pada pelajaran mereka tetapi juga terhadap usaha membentuk peribadi
murni.
Walaupun beberapa
aspek pendidikan moral dan disiplin telahpun dimasukkan ke dalam sistem
pendidikan, namun amat penting untuk meningkatkan kesedaran dan memberi
sokongan moral kepada pelajar agar mereka menjauhkan diri daripada jenayah
serta aktiviti lain yang tidak berguna.
Alangkah malangnya
jika kita berjaya mencapai status negara maju namun pada masa yang sama
berhadapan dengan gejala sosial yang semakin memburuk dan mampu merosakkan
fabrik masyarakat.
TAN SRI LEE
LAM THYE ialah
Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).