27 Jun 2018
4:42 PM
KUALA LUMPUR
27 Jun - Dengan kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan Malaysia baharu,
Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon
Navaratnam mencadangkan supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) disemak semula dan
digantikan dengan dasar yang lebih inkulisf melibatkan semua kaum iaitu Dasar
Ekonomi Malaysia Baru (NMEP).
Ramon
berkata, NMEP merupakan dasar bagi merapatkan jurang ekonomi rakyat Malaysia
yang merangkumi semua kaum berbanding DEB yang hanya menumpukan pemerkasaan
ekonomi bumiputera.
Katanya,
meskipun senario sosioekonomi telah bertambah baik dengan DEB berjaya
mengecilkan jurang ekonomi antara bumiputera dengan kaum lain termasuk orang
Cina sejak diperkenalkan pada tahun 1970, namun isu ekonomi merupakan isu
kebangsaan dan tidak terhad kepada mana-mana kumpulan kaum.
“Kini jurang
ekonomi lebih banyak didasarkan kepada perbezaan pendapatan berbanding
perbezaan kaum. Dalam era Malaysia baharu yang dipimpin oleh kerajaan baharu
ini, kita perlu melihat perubahan dalam istilah sosioekonomi yang lebih
praktikal untuk masa depan yang lebih baik.
“Kita tidak
lagi mampu untuk menjadi eksklusif, tetapi harus menjadi inklusif dalam semua
dasar dan pelaksanaan kita. Dasar kerajaan perlu dirangka untuk semua rakyat
Malaysia dan bukan hanya kepada beberapa kumpulan tertentu untuk mendapat
manfaat daripada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
- UTUSAN ONLINE