FAKTA
sejarah dan banyak kajian ilmiah jelas menunjukkan bahawa kemajuan ekonomi
antara faktor utama memacu perkembangan sesebuah negara mahupun komuniti.
Ekonomi yang lemah akan lebih mudah mendedahkan sesebuah negara kepada ancaman
luar dan kekacauan dalaman.
Namun,
perkembangan ekonomi negara harus selaras dengan pengagihan kekayaan yang adil
dan saksama. Dari segi ini, Malaysia adalah negara terulung, mengamalkan dasar
'growth with equity' atau 'Pembangunan dengan Kesaksamaan.'
Dasar
Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua pada 1971 oleh
Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein mempunyai matlamat suci iaitu
perpaduan nasional. Matlamat ini hendak dicapai melalui pembasmian kemiskinan
dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Biarpun
banyak kritikan dilemparkan ke atas DEB, banyak kajian ilmiah menunjukkan
kejayaan dan jasanya. Bagi penulis, antara kejayaan besar DEB adalah kewujudan
kelas menengah dan kelas menengah atas dalam kalangan Bumiputera yang begitu
ramai.
Namun
kewujudan kelas menengah tidak cukup untuk mengimbangi penguasaan ekonomi dalam
negara yang masih dipegang oleh golongan peniaga dan pemilik konglomerat
perniagaan.
Kejayaan DEB
Secara
jujur, DEB berjaya memulakan gerak ke arah perwujudan keadilan ekonomi di
Malaysia apabila kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada
1990 berbanding 49.3 peratus pada 1970. Kadar Kemiskinan pada 2014 pula terus
turun kepada tahap 0.6 peratus saja.
Ketika DEB
mula dilaksana, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada paras
64.8 peratus. Profesional Melayu ketika itu hanya 4.9 peratus (225 orang)
berbanding bukan Melayu, 84.3 peratus (3,859 orang). Pada 1995, profesional
Melayu meningkat kepada 31.1 peratus, manakala kaum Cina, 52.4 peratus. Pada
akhir 2002 pula, profesional Melayu secara puratanya meningkat kepada 39
peratus dan 42.5 peratus pada 2008.
Umat Islam
secara 'de facto,' ramai tergolong dalam pengkelasan Bumiputera, walaupun tidak
semua Bumiputera beragama Islam dan tidak semua yang beragama Islam itu Melayu
atau Bumiputera. Sungguhpun demikian, DEB secara tidak langsung, adalah
perancangan strategik pembangunan ekonomi bagi sebahagian terbesar daripada
umat Islam di negara ini.
Selepas
penamatan DEB, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperkenal pada tahun 1991
hingga 2000 dengan sedikit sebanyak masih meneruskan beberapa dasar utama DEB.
Malaysia
tidak ada memperkenalkan apa-apa dasar ekonomi utama selepas DEB tamat kecuali
meneruskan polisi atau dasar DEB melalui DPN, sehinggalah Perdana Menteri
ketika ini, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan Model Ekonomi Baru
(MEB) pada Mac 2010.
MEB tingkat
pendapatan negara
MEB
berteraskan kepada peningkatan produktiviti pekerja bertujuan membantu mereka
meningkatkan pendapatan bagi merealisasikan matlamat menjadi negara
berpendapatan tinggi.
Sejak
penamatan DEB dan apabila MEB diperkenal, tidak ada lagi perancangan ekonomi
yang memberi tumpuan kepada perkembangan ekonomi umat Islam, baik secara
langsung mahupun tidak langsung.
Hari ini
kita tahu kerajaan Malaysia banyak mempromosi pelbagai bentuk ekonomi Islam,
sama ada bentuk kewangan Islam atau produk halal, yang berjaya meletak nama
Malaysia pada tahap yang baik pada peringkat dunia.
Namun,
apabila diteliti segala data yang berkaitan dengan ekonomi Islam yang menjadi
sebahagian ukuran kejayaan Malaysia pada hari ini, ia tidak melambangkan
ekonomi umat Islam. Malah ekonomi Islam, jika dilihat dari sudut semua aktiviti
ekonomi negara yang dilabel sebagai patuh syariah atau dicop halal, ia tidak
hanya berkait dengan umat Islam.
Produk halal
milik bukan Islam
Malah, data
dalam niaga kewangan Islam dan produk halal menunjukkan ia jauh lebih banyak
dimiliki atau diusahakan oleh bukan Muslim. Maksudnya, ekonomi Islam negara ini
tidak dikuasai oleh orang Islam.
Keadaan ini
seharusnya tidak menggembirakan umat Islam, kerana pandangan dan persepsi dunia
luar, malah ramai pada kalangan umat Islam Malaysia sendiri berasa bahawa
mereka mempunyai daya kawal ekonomi yang baik bila dilihat kepada jumlah nilai
niaga dan ekonomi yang dilabel sebagai ekonomi Islam.
Ia adalah
persepsi yang tidak benar dan rasa yang boleh menipu diri sendiri. Malah dalam
keadaan tertentu, ada kemungkinan kekuatan ekonomi yang berasaskan Islam ini
boleh disalahgunakan terhadap umat Islam itu sendiri.
Nilai niaga
makanan halal di dunia berjumlah sekitar AS$$2.77 trilion (RM10.52 trilion)
setahun, manakala nilai eksport produk halal dari Malaysia mencecah RM37.7
bilion setahun (KPE Martrade, 25 Nov 2015).
Petunjuk ini
memberi gambaran kuasa beli umat Islam seluruh dunia. Sayangnya, peratus besar
niaga itu dimiliki dan dikawal orang bukan Islam. Daripada RM37.7 bilion
eksport halal Malaysia itu, tidak sampai 10 peratus dimiliki oleh orang Islam.
Malaysia
juga berbangga dengan aset Perbankan Islam pada 2007 mencapai jumlah AS$$65.6
bilion (RM255.7 bilion), dengan pengembangan tahunan pada kadar 18 hingga 20
peratus (Bank Negara). Namun kita tahu, peratus besar daripada jumlah ini tidak
dalam penguasaan orang Islam.