KUALA
LUMPUR: Masyarakat pelbagai etnik perlu mempunyai sikap prihatin terhadap masa
depan negara dan bersedia menjadi jambatan etnik, bukannya hero kumpulan etnik
masing-masing.
Pemegang
Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Rukun Negara
dan sejarah negara perlu didedahkan kepada setiap kaum supaya mereka memahami
serta menghormati hak, kepercayaan, amalan dari pelbagai latar belakang yang
berbeza.
Katanya,
kesedaran dan pemahaman itu harus bermula di sekolah memandangkan pelajar lebih
memahami serta menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik yang
boleh hidup bersama selain menghormati antara satu sama lain.
“Menjadi
tanggungjawab kita untuk menyemai dan mempromosikan lima prinsip Rukun Negara
dan nilai-nilai positif dalam kalangan kanak-kanak sehingga mereka menjadi
sinonim dengan masyarakat majmuk Malaysia.
“Kita perlu
ingat bahawa toleransi dan sikap saling hormat-menghormati antara kumpulan
etnik seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
adalah kunci kepada keamanan dan keharmonian berbilang kaum serta agama.
“Pada masa
akan datang, penting bagi semua rakyat Malaysia untuk belajar mengenai
kepentingan memelihara perpaduan kerana negara kita boleh musnah jika tidak
mengekalkan keharmonian antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP,
hari ini.
Sebelum ini,
beberapa insiden yang berlaku menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian antara
kaum di mana perkara kecil boleh berubah hingga menimbulkan ketegangan kaum.
Lam Thye
berkata, sebagai masyarakat bertanggungjawab dan patriotik, mereka perlu
berusaha untuk menjaga keamanan, keharmonian dan perpaduan serta menahan diri
daripada provokasi serta keganasan yang boleh menimbulkan konflik.
“Pelbagai
isu perkauman dan keagamaan dieksploitasi oleh pihak tertentu demi kepentingan
masing-masing. Jadi, saya berharap masyarakat tidak akan membenarkan keharmonian
diancam oleh polarisasi kaum ini.
“Pada tahun
2019 ini, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan demi memupuk persefahaman lebih
baik dan elakkan konflik disebabkan oleh kebencian kaum atau agama,” katanya.