Datuk Dr Wan Ahmad
Fauzi Wan Husain
Dakwaan bahawa Tanah Melayu terjajah melalui kejatuhan
Kota Melaka pada tahun 1511 dan pelaksanaan doktrin nasihat seawal pengenalan
Perjanjian Pangkor 1874 mudah diketepikan.
Ini kerana kedaulatan Raja-Raja Melayu sudah disahkan
dalam beberapa kes sebelum pendudukan Jepun pada 1941, selain perbahasan yang
dikemukakan dalam Kanun Melaka Perlembagaan Tanah Melayu (Berita Harian 25
Februari 2017), Takrifan Kedaulatan Negara (Berita Harian 5 Julai 2017) dan
Perkara 181(1) Perkukuh Kedaulatan Raja (Berita Harian 13 Julai 2017).
Malah, pendudukan Jepun itu sendiri tidak melucutkan
kedaulatan Raja-Raja Melayu sebaliknya merampas kedudukan British dalam
hal-ehwal Tanah Melayu. Ramai dalam kalangan warga Malaysia percaya bahawa
Tanah Melayu terjajah apabila sembilan Raja-Raja Melayu menandatangani
perjanjian dengan Sir Harold MacMichael pada 1945 ('Perjanjian MacMichael').
Justeru Hari Kebangsaan diraikan sejak 1957 itu
dianggap tarikh keramat kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British,
walaupun dalam laporan British-Malaya dan banyak kajian lalu, menunjukkan
pendudukan British itu hanya bersifat satu campur tangan.
Menurut Porter dan Stockwell (1987-89), Perjanjian
MacMichael itu dilaksanakan hasil rundingan semula dasar British bagi Tanah
Melayu bermula seawal 1942.
Dasar sebelum Perang Dunia Kedua dilihat menyulitkan
British untuk mengukuhkan pertahanan luar dan menyatukan penduduk Tanah Melayu
yang tidak lagi didiami oleh orang Melayu sahaja. Justeru, Malayan Planning
Unit ditubuhkan untuk merangka sebuah perlembagaan masa depan bagi Tanah Melayu
yang menimbangkan pelbagai pandangan berbeza daripada pegawai British-Malaya.
Bidang kuasa British adalah terhad
Akhirnya, pada 31 Mei 1944, dasar baharu British bagi
Tanah Melayu diluluskan dan Harold Mac Michael dilantik pada akhir 1944 untuk
melaksanakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu.
Rundingan itu berjaya mendapatkan bidang kuasa terhad
British daripada Raja-Raja Melayu bagi membolehkan British menggubal sebuah
perlembagaan Tanah Melayu melalui paksaan Harold Mac Michael yang berunsur
ugutan.
Matlamat utama Perjanjian Mac Michael yang menjadi
punca kuasa kepada British dalam hal ehwal Tanah Melayu terkandung dalam
perjanjian 'preamble' itu sendiri, iaitu, Whereas it is expedient to provide
for the constitutional development of the Malay States under the protection of
His Majesty and for the future government of the State. Ia jelas tidak
menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu kerana status 'Negeri-negeri Melayu di
bawah perlindungan British' masih kekal.
Kerajaan British, shall have full power and
jurisdiction within the State dalam ruang lingkup yang dinyatakan oleh
perjanjian 'preamble' MacMichael.
Keperluan itu timbul kerana Kerajaan British mendapati
perjanjian yang lalu dengan Raja-Raja Melayu tidak pernah memberi bidang kuasa
kepada pihak British dalam hal ehwal kerajaan-kerajaan Melayu seperti
terkandung dalam Plans for Constitutional Reconstruction in the Far East 1943.
Tidak serah kedaulatan kepada kerajaan bukan Islam
Kenyataan-kenyataan di atas secara tuntas menafikan
berlakunya penjajahan implikasi daripada pengenalan doktrin nasihat bermula
dengan Perjanjian Pangkor 1874.
Selain itu, Perjanjian MacMichael itu tidak memberi
sebarang kesan kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu atas sebab berikut:
- Perjanjian MacMichael itu tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan kerajaan-kerajaan Melayu yang menetapkan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT.
- Justeru, baginda-baginda ditegah dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyerahkan kedaulatan kepada kerajaan bukan Islam, atau secara alternatifnya orang bukan Islam.
Perjanjian MacMichael itu tidak sah kerana terdapat
unsur-unsur paksaan (duress).
Perjanjian MacMichael ditandatangani oleh Raja-Raja
Melayu, sebahagian mereka tanpa kelulusan pembesar kerajaan-kerajaan Melayu
yang dipanggil sebagai 'ahlul hilli wal 'aqdi.'
Bahkan, dari sudut bentuk kerajaan Malayan Union itu
sendiri, ia didapati bercanggah dengan Perjanjian MacMichael.
'Preamble' Perjanjian MacMichael adalah asas
persetujuan antara Raja-Raja Melayu dengan Raja England untuk menggubal sebuah
perlembagaan moden bagi persekutuan kerajaan-kerajaan Melayu secara interim
(sementara) di bawah perlindungan British sehingga bebas sepenuhnya daripada
nasihat British tanpa melucutkan kedaulatan raja-raja di dalam negeri baginda.
Susulan daripada Perjanjian MacMichael, maka
pentadbiran Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946.
Oleh kerana Malayan Union dilihat oleh orang Melayu
sebagai satu bentuk pemerintahan baharu yang melucutkan kuasa raja-raja dan
menggugat hak keistimewaan orang Melayu, maka bantahan besar-besaran di seluruh
Tanah Melayu dibuat sehinggalah Malayan Union dibatalkan.
Malayan Union ditentang oleh raja-raja dan orang
Melayu kerana bentuk kerajaan Malayan Union yang diluluskan oleh Parlimen
British adalah bercanggah dengan perjanjian tempatan dengan pihak British.
Perjanjian MacMichael juga disifatkan sendiri oleh
sebahagian bekas pegawai-pegawai tinggi British-Malaya di Tanah Melayu sebagai
memperkecilkan kedudukan istimewa orang Melayu yang sekian lama dilindungi
sebelum tercetusnya peperangan.
Atas fakta sejarah perundangan Tanah air, kemerdekaan
Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 sewajarnya dihayati dan dirakam sebagai
kelahiran sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang bebas daripada campur tangan
British-Malaya.