Oleh Prof Madya Dr
Shamrahayu A Aziz
Islam ialah urusan negeri dan hal berkaitan Islam
berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan
Raja-Raja bagi negeri-negeri.
Hal ini jelas disebut di bawah Perkara 3(2)
Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(2) ini, antara lain, menyatakan dengan
jelas sekali bahawa, "Di dalam tiap-tiap negeri, selain negeri-negeri yang
tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam di negerinya
mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan negeri
itu, dan tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan,
prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam, tidaklah
tersentuh dan tercacat."
Seperti dinyatakan juga dalam Perkara 3(2) di atas,
bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua
Agama bagi negeri-negeri itu. Empat buah negeri yang tidak mempunyai Raja ialah
Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, bagi negeri ini dinyatakan di bawah Perkara
3(3) Perlembagaan Persekutuan bahawa: "(3) Perlembagaan-Perlembagaan
Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat
peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama
Islam di Negeri itu".
Ketua Agama Islam
Sementara itu, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Labuan dan Putrajaya, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam. Hal ini
dinyatakan dalam Perkara 3(5): "Walau apa pun apa-apa jua dalam
Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;..."
Wilayah Persekutuan ialah wilayah yang ditadbir secara
langsung oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia dan tidak ditadbir oleh negeri.
Wilayah Persekutuan bukan negeri seperti dalam maksud Perkara 1(2) yang
menyatakan, "Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah,
Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah,
Sarawak, Selangor dan Terengganu."
Sementara itu, Perkara 1(4) pula menyatakan,
"Wilayah bagi negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 (Akta
A206) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta
Perlembagaan (Pindaan) 2001 (Akta A1095) dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah
termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan
(Pindaan) (No. 2) 1984 (Akta A585), dan semua Wilayah Persekutuan tersebut
hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan".
Pentadbiran Wilayah Persekutuan dikendalikan oleh
Kementerian Wilayah Persekutuan. Tidak seperti negeri lain bagi Malaysia,
Wilayah Persekutuan tidak ditadbir oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di
bawah pentadbiran Persekutuan dan diperintah Yang di-Pertuan Agong.
Oleh kerana Wilayah Persekutuan itu bukan sebuah
negeri, ia tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri. Segala undang-undang bagi
Wilayah Persekutuan adalah dibuat oleh Parlimen dan Parlimen bertindak sebagai
badan perundangan bagi Wilayah Persekutuan.
Undang-undang berkaitan Islam
Kuasa dan bidang kuasa Parlimen berkaitan Wilayah
Persekutuan, termasuklah dalam hal gubalan undang-undang berkaitan Islam.
Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3(5)
menyatakan, antara lain, "...dan bagi maksud ini (iaitu bagi maksud Yang
di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam) Parlimen boleh menerusi
undang-undang membuat peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan
bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai
perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam".
Justeru, adalah jelas dalam Perkara 3(5) Perlembagaan
Persekutuan ini bahawa Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan tertentu
yang perlu dimainkan dalam hal berkaitan Islam bagi maksud Wilayah Persekutuan.
Parlimen menggubal akta berkaitan Islam, dari segi perundangan dan
pentadbirannya Islam di Wilayah Persekutuan adalah di bawah naungan Yang
di-Pertuan Agong.
Bagi maksud gubalan undang-undang, hal berkaitan Islam
bagi tujuan Wilayah Persekutuan ada disenaraikan dalam Senarai Persekutuan,
Jadual Kesembilan pada Seksyen 4(k), yang menyatakan, bahawa Parlimen mempunyai
kuasa perundangan berkaitan "Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah
dan pentadbiran keadilan, termasuk (k) Penentuan hukum syarak dan undang-undang
diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan;"
Dalam hal ini, Pejabat Peguam Negara juga perlu
memainkan peranan dalam hal berkaitan gubalan perundangan mengenai Islam di
peringkat Persekutuan. Ia seumpama Pejabat Penasihat Undang-Undang pada
peringkat negeri.
Dalam keadaan ini, bagi urusan berkaitan pentadbiran
dan perundangan Islam, termasuk juga kemajuan dan pendidikan Islam dalam
Wilayah Persekutuan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pelaksanaan peranan dan tanggungjawab Yang
di-Pertuan Agong, Wilayah Persekutuan mempunyai susunan pentadbiran seumpama di
negeri-negeri. Sebuah Majlis Agama Islam, seperti yang dinyatakan dalam Perkara
3(5), perlu diwujudkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Lantikan mufti
Untuk pelaksanaan tanggungjawab berkaitan Islam, Akta
Pentadbiran Agama Islam ialah akta utama. Akta ini memperuntukkan, antara lain,
penubuhan Majlis Agama Islam, lantikan mufti dan pelbagai perkara lain
berkaitan pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang Islam.
Jelas daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan
Kerajaan Persekutuan juga tidak kurang peranannya dalam pelaksanaan hal
berkaitan Islam, terutama berkaitan perundangan Islam, dengan Parlimen sebagai
badan perundangan bagi Wilayah Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan hendaklah juga, sebagaimana
diharapkan daripada kerajaan negeri, untuk memastikan dasar pentadbiran pada
peringkat Persekutuan bersifat memudahkan, sekali gus memastikan segala
tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dalam hal berkaitan perundangan Islam
dihayati.
Bagi Yang di-Pertuan Agong pula, amanah yang digalas
oleh baginda pada peringkat Wilayah Persekutuan juga seumpama amanah yang
baginda galas di negeri baginda sendiri.
Sementara itu, kerajaan bagi negeri-negeri tanpa Raja,
sebagaimana dinyatakan di atas, hendaklah juga sentiasa mengambil perhatian
bahawa, segala urusan berkaitan Islam, termasuk pentadbiran, perundangan, pendidikan
serta apa jua hal tidak boleh mengetepikan peranan Yang di-Pertuan Agong.
Agensi agensi Islam di negeri terbabit perlulah
membuat tindakan wajar untuk merealisasikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong
sebagai ketua agama Islam bagi negeri berkenaan.
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang Ahmad
Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia